Bahagian 9

65 18 10
                                    

Senyuman ayah. Pesanan ayah. Gurauan ayah.

Tak dapat aku dengar dan lihat lagi. Sepersalinan kurung putih yang tersarung kemas pada tubuh masih belum aku gantikan lagi. Sedari pulang dari tanah perkuburan tadi, aku masih duduk di meja ruang dapur ini. Hanya ditemani baki nasi goreng awal pagi tadi. Sudah berbau tetapi itulah hidangan terakhir yang aku sempat sediakan untuk ayah.

Ayah sudah tiada lagi. Dan, aku tinggal bersendirian mulai saat ini.

"Nami?"

Cepat-cepat aku tepis bawah mata yang bergenang dengan sisa air mata. Pandangan berkaca-kaca terarah pada wajah Pak Dhahir, adik bongsu arwah ayah. Bertahun lama kami tidak pernah bertemu, dan pemergian ayah menjadi titik pertemuan kami semula. Sehinggakan aku langsung tidak dapat mengenali susuk Pak Dhahir ini.

"Ayah su nak cakap sikit dengan Nami, boleh?"

Aku angguk setuju.

Perlahan-lahan Pak Dhahir dekatkan jarak dengan meja di mana aku sedang berada ini. Elok Pak Dhahir duduk di arah bertentangan dengan aku. "Ayah su minta maaf terlebih dulu. Hampir dua puluh tahun ayah su tak jejak kaki ke kampung ni. Sekarang, baru ayah su dapat balik itu pun waktu ayah kamu dah tiada."

Aku diam mendengar. Melihat riak wajah Pak Dhahir di depan aku ini, tak ubah rupa parasnya seperti ayah. Nada suara Pak Dhahir pun tak jauh beza daripada ayah.

Helaan nafas terzahir daripada Pak Dhahir seketika. "Ayah su akan tinggal dekat sini dalam masa dua, tiga hari lagi. Lepas tu, ayah su berangkat balik semula ke bandar. Nami ikut ayah su ye?"

Permintaan Pak Dhahir yang satu itu cukup berat untuk aku pertimbangkan. Aku masih terkilan dengan pemergian mengejut ayah. Sekarang, aku terpaksa pula tinggalkan rumah pusaka yang penuh dengan kenangan bersama ayah sejak aku dari kecil. Bukan mudah untuk aku terima permintaan Pak Dhahir tadi.

Pak Dhahir rapatkan tubuh ke ruang meja. "Tak apa, ayah su faham. Ambillah masa Nami dulu. Nanti beritahu ayah su, apa keputusan akhir Nami."

Pesanan Pak Dhahir sekadar berlalu di corong telingaku. Tidak sampai sesaat, Pak Dhahir bangkit berdiri. Tinggalkan ruang dapur di mana aku kembali berseorangan.

Perlahan-lahan aku buka tudung saji. Mangkuk berisi baki nasi goreng yang sudah basi itu, aku bawa bersama ke arah singki. Dalam ralit membersihkan sisa di dalam mangkuk, salam yang dihulur dari pintu belakang dapur menarik tumpuanku.

Mak Dimah menapak masuk. Wajahnya masih belum kering dari titisan jernih. Memerah menahan hiba dan duka. Tanpa berkata apa, laju tubuhku dibawa ke dalam dakapannya.

Mak Dimah diam. Begitu juga aku. Hanya kehangatan dakapan seorang ibu itu buatkan aku cukup mengerti apa yang Mak Dimah ingin suarakan ketika ini.

Menyedari Mak Dimah bukan seorang diri, aku terus melepaskan tubuh dari dakapan yang masih erat memeluk belakang tubuh ini. Pipi Mak Dimah yang sudah basah itu, aku kesat dengan telapak tangan.

"Nami tak apa-apa, Mak Dimah janganlah sedih. Nami ada ayah su. Ayah su akan jaga Nami lepas ni," luahku walaupun keputusan akhir belum aku putuskan lagi. Sekadar mahu menyenangkan hati dan fikiran Mak Dimah sahaja.

Dari berdiri, Mak Dimah mula melangkah lemah ke ruang meja makan. Ternyata, kenduri kesyukuran yang sepatutnya berlangsung pada ketika ini terpaksa Mak Dimah tangguhkan.

"Mak ada bekalkan nasi dengan lauk untuk Nami jamah, makan. Mesti perut Nami kosong, tak sempat makan apa-apa tadi," luah Mak Dimah setelah dua bekas berisi lauk dan nasi diletak keluar dari bungkusan plastik. "Nanti Nami makan, jangan tinggalkan sikit. Makan bagi habis. Baru hati mak senang." Mak Dimah sempat menyeka butir air mata yang meluru jatuh ke pipinya.

Perlahan-lahan aku angguk.

"Mak nak jumpa ayah su sekejap." Mak Dimah bangun berdiri. Langkahnya dibawa menuju ke tangga naik ke ruang atas.

Sekarang, tinggal aku ditemani lelaki yang masih berdiri tidak jauh dari ruang meja ini.

NAMIWhere stories live. Discover now