Bahagian 2

66 14 0
                                    

Kain kapas yang pernah Mak Dimah hadiahkan sewaktu ulangtahun kelahiran aku lima tahun lepas, masih elok dalam simpanan. Sudah cantik dijahit menjadi sepasang baju kurung. Dan, pada malam ini kain yang sama aku sarung pada tubuh.

Sebelum maghrib tadi, ayah sudah hantarkan aku dulu ke rumah Mak Dimah memandangkan ayah mahu ke masjid pula. Ayah pesan supaya aku turut bantu apa yang patut. Sebab itu ayah sengaja hantarkan aku seawal yang boleh.

Tapi, aku cukup pasti kehadiran aku pada ketika ini tidak dapat memenuhi kehendak ayah yang meminta aku bantu apa yang patut. Sebabnya, anak-anak Mak Dimah yang lain langsung tidak menyapa aku seawal aku munculkan diri di ruang dapur ini. Dan, kalau aku menawarkan diri sekalipun pastilah bagaikan bercakap dengan angin lalu saja.

Menyedari terdapat sebiji buah tembikai di atas meja yang sekadar separuh kulitnya dibuang itu, aku cepatkan langkah. Pisau yang masih ada di dalam talam kecil, aku capai.

"Eh, siapa suruh potong tembikai tu?"

Tajam menikam suara yang memetir dari arah tangga turun ke dapur ini. Bola mata laju berlari ke arah tuan empunya diri. Kak Long Asiyah.

Sambil mendukung anak berumur tiga tahun di sebelah kiri, laju Kak Asiyah merentap pisau dari pegangan tanganku pula.

Tanpa sepatah kata, hanya jelingan tajam Kak Asiyah lempar ke wajahku sebelum pisau tadi dicampak ke dalam talam bersebelahan.

Yang lain di ruang dapur ini turut membatu sama. Tiada sesiapa yang terkecuali daripada menjadi saksi tindakan Kak Asiyah itu tadi.

"Tak payah sibuk-sibuk dekat sini!" suara Kak Asiyah. Tanpa memandang kepada sesiapa tetapi aku yakin kata-katanya itu dituju untuk aku seorang. "Kalau tak nak menyusahkan keluarga kami lagi, tak payah merajinkan diri tu sangat. Duduk diam-diam. Buat cara macam orang luar," sinis Kak Asiyah menutur kata.

Tersentak aku yang mendengar. Jika dulu, aku boleh buat tidak tahu ataupun sengaja memekakkan telinga. Namun, cara dan gaya Kak Asiyah kali ini sangat melampau. Tapi, aku tahu jika aku bersuara walau sepatah nanti pasti akan ada anak panah yang bakal mematah benteng kesabaran aku.

"Ya Allah, Asiyah!" Mak Dimah meluru turun ke ruang dapur. Telekung putih masih elok tersarung pada tubuh. Cepat-cepat ditarik tubuh Kak Asiyah supaya berdiri mengadapnya pula. "Kenapa cakap macam tu? Nami ni bukan orang luar, dia sepupu kamu juga. Darah daging mak juga! Anak abang kepada mak. Keluarga mak!" bidas Mak Dimah.

"Mak tak boleh nak lebih-lebihkan Nami lagi sekarang ni. Orangnya dah besar. Dah boleh fikir pun. Kalau kak long tak suka, adik-adik lain pun mesti tak suka!"

Terpempan aku dengar luahan Kak Asiyah. Tanpa tahu hujung pangkal cerita, seolah-olahnya aku seorang punca segala-galanya sekarang ini.

"Asiyah!" lengking Mak Dimah. Terbit butir jernih membasahi pipi berusia itu. "Mak dengan arwah abah tak pernah ajar anak-anak mak jadi kurang ajar," terketar-ketar nada suara Mak Dimah meluah kata.

"Sebab tu mak jangan baik hati sangat nak asuhkan budak ni dari dulu lagi. Sebab dialah, kami jadi kurang ajar dengan mak sekarang ini." Kak Asiyah merentap lengannya daripada pegangan Mak Dimah. Laju dia meninggalkan ruang dapur.

Yang lain turut sama. Membuka langkah meninggalkan ruang dapur yang sedari tadi dipenuhi manusia, kini tinggal aku dengan Mak Dimah. Berdua saja.

Mak Dimah terduduk di atas kerusi. Basah hujung kain telekung tatkala dia mengesat kasar tubir mata. Memandangkan anak lelaki Mak Dimah yang lain, begitu juga menantu lelakinya ke masjid. Mungkin itulah yang menjadi sebab kenapa Kak Asiyah berani meninggi suara tadi. Jika suaminya, Abang Rushdi ada bersama tadi aku cukup yakin Kak Asiyah tak akan melampaui batas seperti tadi.

"Nami, tak apa-apa?" dibelek-belek tubuhku, padahal soalan itu sepatutnya aku tanyakan kepada Mak Dimah dan bukan sebaliknya. "Entah angin apa kak long kamu tu. Mungkin penat agaknya," bibir Mak Dimah masih lagi mampu mengukir senyum.

"Nanti Nami minta ayah balik terus kalau ayah dah sampai dari masjid," suaraku.

"Nami pun bencikan mak ke?"

Tersentak aku dengar soalan pendek Mak Dimah. Tanpa sempat aku menutur sebarang kata, Mak Dimah mula teresak-esak malah tangisannya mula jelas kedengaran. Laju aku menarik tubuh Mak Dimah ke dalam dakapan. Perlahan-lahan aku usap belakang tubuh Mak Dimah. Buat ketika ini, aku sekadar mampu meminjam dakapan dan juga telinga tatkala Mak Dimah masih tenggelam dalam lautan kesedihan. 

NAMITempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang