Kain pelikat yang ayah selalu pakai ke masjid dulu, aku turut sumbat ke dalam beg pakaian. Walaupun aku belum menyatakan sebarang keputusan akhir lagi kepada ayah su, tetapi persiapan akhir sudah hampir selesai.
Beberapa ketika, daun pintu diketuk berkali-kali dari laluan luar bilik. Pasti ayah su. Zip beg terus aku tarik bagi menutup penuh ruang yang terisi dengan pakaian seharian aku. Perlahan-lahan aku menapak ke pintu bilik.
Hanya suku daun pintu aku kuak tatkala sudah menyedari ada tubuh lain yang berlegar-legar di ruang depan. Masakan tidak jika bilik tidur aku ini jaraknya sedikit dekat dengan ruang depan berbanding bilik ayah.
"Betul kamu naik suara dengan Abid pagi tadi?"
Bola mata berlari laju ke wajah ayah su. Naik pelik apabila perkara sebegitu yang ayah su persoalkan. "Kenapa ayah su tanya macam tu?"
"Keluar ke depan. Ayah su tunggu." Terus tombol pintu ditarik Pak Dhahir lalu terkatup kemas daun pintu.
Aku sudah terpinga-pinga tatkala sedar aduan Abid itu sudah membuatkan emosi Pak Dhahir sedikit serius, malah nada suaranya cukup tegas apabila memberi arahan kepada aku tadi.
Aku berdecit kecil. Entah kenapa lelaki yang seorang itu seperti tiada tempat asal untuk dia kembali dan pulang. Sudah berhari-hari mukanya lalu-lalang di rumah ini. Sekarang, sudah pandai mengadu kepada Pak Dhahir pula.
Dengan rasa sebal, aku capai tudung sarung yang elok tercampak di kaki katil. Tanpa melengah, kaki dibawa melangkah keluar dari ruang bilik.
Tiba di ruang depan, kelibat Abid tidak aku nampak di mana-mana. Hanya ada Pak Dhahir yang elok berdiri mengadap jendela yang masih belum bertutup itu walaupun waktu sudah hampir lewat malam.
"Dia ada mengadu apa dengan ayah su?" suaraku.
"Abid?"
Laju aku mengangguk apabila Pak Dhahir sudah mengalih tubuh, berdiri menghala ke arahku pula.
"Waktu kamu marah Abid, ayah su baru sampai ke rumah. Ayah su saja tinggalkan kereta tepi jalan luar tu, jalan kaki masuk ke dalam. Saja nak exercise kaki."
Alasan Pak Dhahir sedikit mencurigakan bagi aku.
"Kenapa marahkan dia kalau Nami marah dengan ayah su?"
Aku terpana. Soalan Pak Dhahir kali ini buat aku jadi serba salah pula. "Nami tak marah dengan ayah su."
"Kalau marah Abid, atas alasan apa? Sebab dia nak tumpangkan kamu ke rumah Mak Dimah? Ke sebab kamu ada isu peribadi sampai tak suka Abid tolong kamu?"
Perlahan-lahan aku angguk. Tekaan Pak Dhahir memang mengena, tetapi reaksi aku yang itu buat Pak Dhahir tergelak kecil pula. Sambil menggeleng sendiri, Pak Dhahir dekatkan jaraknya dengan aku.
"Nami, Abid dah banyak bantu arwah ayah kamu walaupun dia langsung tak kenal siapa pun arwah ayah kamu tu. Kamu tak ingat siapa yang bantu arwah ayah kamu masa dia jatuh sakit dulu?"
Terdiam aku dengar ayat Pak Dhahir. Tidak dinafikan, ada betul juga. Selama berhari sebelum ayah pergi buat selama-lamanya, Abid yang sentiasa ada di sini. Yang bantu ayah. Sewaktu uruskan jenazah ayah dulu, Abid tak pernah lari macam anak-anak lelaki Mak Dimah yang lain.
"Nami tak nak orang cakap buruk kalau selalu nampak Abid dekat rumah sini," luahku.
"Orang cakap buruk? Siapa?"
Aku menunduk. Tidak mahu memanjangkan isu yang satu itu.
"Nami ada dengar orang cakap belakang tentang kamu berdua ke?" soal Pak Dhahir pula.
Laju aku menggeleng. Menafikan perkara itu.
"Habis tu?" sambung Pak Dhahir lagi.
"Khadija," luahku perlahan.
Pak Dhahir menghela nafas seketika. "Khadija ada cakap apa tentang kamu berdua?"
Aku geleng.
Lagi sekali Pak Dhahir menghela nafas.
"Ayah su tak kenal Khadija macam mana Nami kenal dia."
Berkerut dahi Pak Dhahir ketika ini.
"Abid cakap dia pernah ada hubungan dengan Khadija sebelum ni. Kenapa Abid masih datang ke sini kalau dia dah tak ada apa-apa perasaan kepada Khadija? Lagipun, Nami perasan cara Khadija layan Abid, Khadija masih ada perasaan dengan Abid," luahku, panjang lebar.
Pak Dhahir masih tekun mendengar.
"Anak-anak Mak Dimah, semua tak suka Nami. Termasuklah Khadija. Dia pernah hasut kawan sekolah Nami yang lain supaya tak lagi tegur Nami. Alasannya, Nami ni tak ubah macam anak pungut dalam keluarga mereka. Padahal, Nami darah daging mereka juga. Kalau nak benci Nami, benci Nami seorang. Jangan libatkan ayah. Sampai sekarang, mereka bencikan Nami sampai ayah dah tak ada!" luahku. Tapi, tak setitis air mata gugur kali ini. Padahal, jika aku meluahkan rasa hati kepada ayah pasti basah kedua belah pipi sekarang ini.
"Jadi, Nami tak nak ada isu dengan Khadija kalau nampak kamu berdua dengan Abid?"
Laju aku mengeyakan tekaan Pak Dhahir." Nami tak nak anak-anak Mak Dimah bertambah benci lagi kalau ada yang tersalah faham."
Pak Dhahir angguk perlahan. Seketika, langkahan dibuka menuju ke ruang beranda rumah pula.
Abid muncul. Hanya pandangan bisu membalas riak wajah bersahaja Abid yang lalu di ruang mata ini.
"Maaf kalau cara saya buat awak tak selesa, Nami. Tapi, niat saya baik. Saya rasa awak tersalah faham dengan maksud ayat saya sebelum ni. Berkaitan saya dengan Khadija. Ya, memang kami berdua hampir bertunang tetapi jodoh tak kesampaian. Saya datang ke kampung ni bukan atas undangan sesiapa. Khadija pun tak tahu yang saya akan muncul dekat rumah keluarga dia hari tu. Saya cuma nak tolong awak. Sebagai balasan budi awak dan arwah Pak Hab semasa saya ada di sini."
Aku pandang Abid. Mungkin aku terlalu beremosi sebelum ini. Mungkin Abid benar-benar jujur dengan setiap cara dan tingkah laku dia dan aku yang terlalu mudah bersangka buruk terhadap setiap satu daripada perilaku Abid.
"Saya minta maaf sekali lagi, Nami."
Aku pandang Abid. "Permohonan maaf tu sepatutnya datang daripada saya."
Abid senyum lega. "Awak tak pernah salah apa kepada saya. Mungkin saya yang muncul pada waktu yang salah, dalam situasi yang salah sebelum ni."
Aku hela nafas. Terasa bebanan berat mula runtuh daripada terus menghimpit benak fikiran.
"Saya minta diri dulu ayah su. Nami. Saya tak nak sampai lewat ke rumah nanti." Abid mula melangkah ke ruang beranda luar.
Aku mula membuka langkah. Ternyata, Abid sudah mahu meninggalkan kampung ini. Hanya sekadar pandangan bisu menghantar langkah Abid yang mula menghampiri badan keretanya itu.
Pak Dhahir datang mendekat, ke sebelah. "Begitulah selalunya, tersalah faham itu sangat mudah bagi kita. Tapi, daripada terus rasa bersalah dan menyesal tak sudah ada baiknya setiap permasalahan diselesaikan sebelum terlambat."
"Nami patut minta maaf lebih awal tadi," luahku.
"Ayah su ingat, Nami marah Abid sebab dia dah nak tinggalkan kampung malam ni."
Bingung aku mendengar ayat Pak Dhahir itu.
Menyedari kereta Abid mula meninggalkan halaman rumah, Pak Dhahir sempat mengangkat tangan tatkala hon kereta kedengaran sebelum Abid meredah kepekatan malam semasa melalui laluan ke arah jalan luar. Seketika Pak Dhahir memaling pandangan ke arahku. Tiada berkata apa tetapi senyuman nipis yang hadir pada wajah berusia itu cukup membuatkan aku tertanya-tanya pula.
YOU ARE READING
NAMI
Ficción GeneralKisah Nami. Seorang gadis yang ingin mencari kebahagiaan di dalam hidupnya. Namun, jalan untuk meraih kebahagiaan itu bukanlah dipenuhi dengan madu mahupun manisan tetapi jalan yang penuh halangan yang berliku. Jika untuk mencapai bahagia itu perl...