Aku fikirkan Abid bermalam di tempat lain malam tadi, tetapi elok sahaja sekujur tubuh itu berbaring di lantai bawah bersebelahan tilam ayah. Itupun aku tersedar akan dirinya tatkala menggerakkan ayah bangun untuk solat subuh.
Sarapan pagi kami kali ini bukan lagi berdua. Abid kelihatan cukup berselera walaupun menjamah nasi goreng yang sekadar dicampur dengan ikan bilis dan bawang merah itu. Nasi goreng bodoh, ayah selalu katakan.
Melihat ayah kembali bersemangat dan bertenaga pada hari ini, aku tidak lagi runsing dan risau.
"Tengah hari nanti, Nami pergi rumah Mak Dimah. Bantu mana yang patut untuk kenduri malam nanti."
Aku baru berhajat untuk tidak ke mana-mana hari ini, bahkan tidak mahu terus terlibat dengan kenduri di rumah Mak Dimah lagi. Namun, permintaan ayah itu sukar untuk aku tolak. Ayah sendiri pernah berpesan supaya aku tak patut pentingkan diri sendiri. Dan, ayat yang sama aku pernah sebutkan kepada Abid.
"Rumah mertua Abang Rushdi?" celah Abid yang sedari tadi menikmati juadah sarapan.
Ayah menoleh, "Kamu kenal dengan Rushdi?"
"Lebih dari kenal pak cik. Dia senior saya waktu sekolah menengah dulu."
Terangguk-angguk ayah mendengar. Seketika pandangan ayah kembali terarah kepadaku. "Lepas makan ni, terus ke rumah Mak Dimah."
Aku diam. Akur. Apa yang telah terjadi lewat petang semalam langsung aku tidak sebut di depan ayah. Lebih-lebih lagi dengan adanya Abid.
"Awak boleh tumpang kereta saya. Alang-alang saya pun nak ke sana." Abid bersuara.
Ayah diam seketika. Aku sekadar menunggu keputusan daripada ayah sahaja. Memberi keizinan ataupun tak. "Hantar Nami ke sana, jangan nak singgah tempat lain pula." Hanya itu yang ayah pesan sebelum ayah mula bangkit dari meja makan.
Perlahan-lahan aku tarik piring dan cawan yang telah ayah gunakan itu. "Saya rasa, ayah tak suka kalau awak hantarkan saya ke rumah Mak Dimah. Lagipun, rumah Mak Dimah tak jauh mana pun. Saya boleh jalan kaki." Aku menjelaskan tanpa memandang Abid.
"Tak apalah. Alang-alang saya nak ke sana juga. Terima kasih untuk sarapan pagi ni dan juga sudi terima saya bermalam di sini malam tadi."
Aku angguk walaupun ayat terakhirnya itu langsung tidak pernah aku suarakan malam tadi. Mungkin ayah yang izinkan dia bermalam di bilik malam tadi, mana tahu ayah terjaga dari lena. Mustahil kalau dia mereka-reka cerita pula. Sebab ayah langsung tidak berkata apa selepas tersedar dari tidur awal pagi tadi.
Laju aku bawa kaki ke singki. Cuci piring dan cawan yang sudah digunakan tadi.
"Awak dah lama kenal Abang Rushdi?"
Aku berdeham perlahan. "Kenal lepas Abang Rushdi jadi suami Kak Asiyah," balasku jujur.
"Kakak Khadija kan?"
Sebaiknya terlintas sebaris nama itu, aku curi pandang ke arah Abid. Kelihatan riak wajah Abid sukar untuk aku teka tetapi senyuman yang menghiasi setiap inci wajahnya cukup memberi tanda bahawa Abid pasti punya perasaan kepada Khadija.
"Jadi, apa kaitan awak dengan keluarga Mak Dimah?"
Aku tutup pili air. Keringkan kedua belah tangan dengan kain tuala kecil di atas meja kecil bersebelahan singki itu. "Saya nak bersiap dulu. Awak tak kisah kan kalau tunggu saya sekejap?" Aku terus tinggalkan ruang dapur tanpa menanti balas Abid. Malah soalan berkaitan keluarga Mak Dimah itu terus aku abaikan. Bagi aku, tiada kepentingan apa-apa untuk dia ketahui apa kaitan antara keluarga kami berdua.

ANDA SEDANG MEMBACA
NAMI
Fiksi UmumKisah Nami. Seorang gadis yang ingin mencari kebahagiaan di dalam hidupnya. Namun, jalan untuk meraih kebahagiaan itu bukanlah dipenuhi dengan madu mahupun manisan tetapi jalan yang penuh halangan yang berliku. Jika untuk mencapai bahagia itu perl...