Bahagian 7

52 18 4
                                    

Potongan kayu yang sudah dijamah api membara itu, aku kuis dengan hujung ranting di pegangan tangan. Keenakkan haruman masakan air tangan Mak Dimah ini tak boleh dinafikan lagi. Dengan beralaskan suratkhabar, aku duduk bersila di atas lantai tanah.

Ingatkan hanya aku seorang di ruang memasak luar ini, tetapi elok pula Abid munculkan diri.

"Kenapa cakap macam tu tadi?"

Terpinga-pinga aku jadinya. Wajah Abid dicari. Hanya pandangan keliru aku balas kepada pertanyaan spontan Abid tadi.

"Awak segan kalau anak-anak Mak Dimah nampak awak datang dengan saya ke sini?"

Aku hela nafas. Ranting yang menguis bara kayu terus aku lemparkan ke dalam api yang masih rancak menyala itu. "Tak ada apa-apalah," balasku.

"Khadija cakap yang awak pernah rapat dengan dia dulu."

Aku diam.

"Rupanya awak sepupu dengan dia. Kenapa tak cakap dari awal-awal?"

"Tak ada kepentingan."

Dari berdiri, Abid mula meletak duduk di atas kerusi panjang yang diperbuat daripada buluh itu. "Saya pun tak ada kepentingan apa-apa dekat sini, tapi sebab saya pernah jadi orang istimewa dalam hidup Khadija. Saya tetap tabahkan hati untuk berjumpa dia semula."

Aku pandang Abid yang posisi kedudukannya bertentangan dengan aku ketika ini. "Saya ada dekat sini sebab Mak Dimah," balasku.

"Jadi, kita senasib."

Aku hela nafas. Malas untuk memanjangkan topik perbualan dengan Abid ini, aku mula bangkit berdiri. Tangan laju menepis bekas tanah yang melekat di belakang baju kurung sebelum berura-ura mahu membuka tapak. "Kalau tak ada perkara penting yang nak diborakkan lagi, saya nak masuk ke dapur. Tolong Mak Dimah semula." Menonong aku tinggalkan Abid. Tanpa tunggu dia balas apa, sengaja aku biarkan dia terpinga-pinga di kerusi buluh itu.

Masuk ke ruang dapur, wajah Kak Asiyah menyapa pandangan mataku pula. Kelihatan anak kecil yang berada dalam dukungan merengek, menangis. Bersungguh-sungguh Kak Asiyah memujuk tetapi anaknya semakin galak menangis pula.

Aku perasan, Kak Asiyah seperti hendak membancuh susu di dalam botol. Itupun setelah aku tersedar bakul berisi susu tepung dan bekas air panas elok terletak di atas meja. "Kak long nak saya tolong bancuhkan susu untuk Aizat?" sengaja aku menawarkan diri.

Kak Asiyah masih diam. Wajahnya yang tegang dan mencuka itu sedikit pun tak buat aku terasa hati. Aku tetap berdegil. Bantu apa yang patut. Lagipun, tiada kelibat sesiapa di ruang dapur ini yang boleh bantu Kak Asiyah kecuali aku sendiri.

Tatkala penutup puting botol susu terkatup kemas, laju Kak Asiyah merentap badan botol susu dari pegangan tanganku. Langsung tiada ucapan terima kasih, tapi aku faham. Hati Kak Asiyah mungkin keras mengalahkan batu. Namun, suatu hari nanti pasti Kak Asiyah akan berlembut hati untuk aku.

"Nami."

Laju aku berpaling ke arah pintu belakang dapur. Khadija menyapa pandangan aku dengan senyuman mesra pada wajah.

"Kau tak rindu dengan aku?" soal Khadija tatkala dia mula menapak mendekati.

"Mak Dimah lagi rindu dengan kau," balasku bersahaja.

"Kau masih marah dengan aku?"

"Aku dah maafkan kau pun."

"Kalau dah maafkan aku, kenapa kau masih tak layan aku mesra macam dulu?"

"Aku maafkan. Tak sama dengan aku dah lupakan. Lagipun, aku datang sini sebab Mak Dimah. Itu je," luahku jujur.

Khadija diam.

Aku mula menapak ke pintu dapur di mana Khadija sudah menjauhi tadi. "Kalau masa kita kecil dulu, aku tak faham gurauan kau tu sebenarnya ejekan yang menghina aku dengan ayah. Tapi, bila aku dah besar aku dah mula faham." Aku bersuara tatkala sudah berada di muka pintu. "Tak perlu tunggu belajar sampai ke peringkat tinggi baru nak hormat orang lain, Khadija." Tanpa memandang Khadija, aku terus melangkah.

NAMIWhere stories live. Discover now