Aku pasti keputusan aku ini bukanlah satu keputusan yang sia-sia. Pak Dhahir cukup berselera menjamah sarapan walaupun sekadar lempeng kosong dengan kuah kari ayam, itupun selepas mendengar persetujuan aku untuk mengikutnya tinggal di bandar. Dan, aku yakin jika ini adalah satu langkah untuk aku tambah baik kehidupan aku kelak.
"Nami naik bersiap dulu, ayah su."
Terangguk-angguk Pak Dhahir bersama senyuman ceria.
Aku tahu Pak Dhahir akan bertolak pulang sekejap lagi. Itupun setelah aku terdengar perbualan telefon Pak Dhahir sewaktu menyediakan sarapan awal pagi tadi. Pak Dhahir kata, akan terus bertolak jika jawapan aku positif tetapi akan tetap bermalam di sini lagi jika jawapan aku belum memuaskan hatinya.
Lagipun, keputusan yang aku buat ini bukanlah kerana perbualan curi dengar itu tadi tetapi jika aku terus berada di sini, aku pasti akan terasa hati dengan layanan anak-anak Mak Dimah walaupun Mak Dimah cukup senang dengan kehadiran aku di rumah sana.
"Sebelum bertolak nanti, ayah su nak ajak Nima jumpa Mak Dimah."
Aku yang sudah menapak di atas anak tangga segera berpaling ke arah Pak Dhahir. Tidak tahu jika itu satu soalan ataupun sekadar arahan untuk aku. Jadi, aku sekadar angguk faham.
Menapak di laluan untuk ke bilik tidur, langkahku terhenti tatkala teringatkan ruang bilik ayah yang sudah tidak berpenghuni itu. Setapak demi setapak aku dekati. Daun pintu aku tolak perlahan.
Melihat kekosongan ruang yang masih belum berubah walau seinci barangan di sekeliling bilik, hati aku jadi sayu untuk tinggalkan rumah pusaka ini. Namun, aku pasti ayah tak akan suka jika aku sentiasa meratapi pemergiannya yang abadi itu.
"Nami." Bahuku disentuh perlahan.
"Nami tak bersiap lagi," cepat-cepat aku katup kemas pintu bilik itu. Namun, sempat Pak Dhahir menghalang langkah aku daripada terus berlalu.
"Kalau rindu, Nami boleh balik ke sini bila-bila masa je nanti. Ayah su tak akan pisahkan Nami terus dengan kenangan yang ada di sini."
Aku angguk faham.
Pak Dhahir senyum, "Ayah su turun ke kereta dulu. Beg baju, Nami tinggalkan dekat beranda tu. Nanti ayah su masukkan ke dalam kereta."
Aku angguk mengeyakan.
Melihat Pak Dhahir sudah beransur menuju ke ruang beranda, aku segera masuk ke dalam bilik tidur di sebelah kiri. Tudung yang elok berpin itu, segera aku sarung ke kepala.
Bola mata laju mengitari ruang sekeliling bilik tidur ini. Banyak perkara yang aku pendamkan telah aku luahkan di sudut bilik ini. Bilik inilah saksi tangis aku, tawa aku, gembira aku dan sedih aku. Untuk kali terakhirnya, aku merenung setiap ruang yang ada.
Selamat tinggal semuanya!
Tidak mahu Pak Dhahir menunggu lama di kereta, laju aku menuruni anak tangga tatkala pintu rumah dikunci. Setelah berpuas hati dan yakin dengan setiap ruang tingkap dan pintu telah dikunci dengan baik.
Pintu penumpang hadapan aku buka, melihat wajah cerira Pak Dhahir menyapa aku. Terus aku menghenyak tubuh ke atas kerusi penumpang. Selesa. Kereta mewah milik Pak Dhahir ini bukan selalu aku naiki.
Dahulu, Pak Dhahir tidaklah berjaya macam yang aku nampak sekarang. Disebabkan rumah tangga Pak Dhahir pernah gagal dua kali, Pak Dhahir terus tinggalkan kampung. Dan, segala perkembangan hidup Pak Dhahir hanya ayah yang ambil tahu. Dan, apa yang terjadi kepada Pak Dhahir selama dia berada di sini tidak semuanya ayah ceritakan. Hanya kisah kegagalan perkahwinan Pak Dhahir yang selalu menjadi buah mulut orang kampung.
Mungkin kerana itu, Pak Dhahir membawa diri ke bandar dan langsung tidak kembali ke kampung lagi. Sehinggalah hari pemergian ayah.
Masuk ke simpang rumah Mak Dimah, aku sudah dapat menangkap kelibat anak-anak Mak Dimah yang masih bujang elok duduk di meja kayu. Tetapi, tiada pula wajah Khadija di mana-mana.
Sedang elok Pak Dhahir berhentikan kereta di halaman depan, susuk Mak Dimah muncul dari arah anjung rumah. Langkahnya sedikit laju, riak wajahnya kelihatan muram tanpa senyuman yang biasa aku lihat.
Belum sempat pintu dikuak, Mak Dimah sudah meluru ke arah pintu penumpang. Ditarik daun pintu sebelum tubuhku yang masih dalam posisi duduk disentap ke dalam dakapannya pula. "Kenapa Nami nak tinggalkan mak?" perlahan Mak Dimah menyoal, suaranya tenggelam dalam nada hiba.
"Nami bukan nak terus tinggalkan Mak Dimah. Kalau Mak Dimah rindu, Nami akan balik tengokkan Mak Dimah," pujukku.
"Nami janji Nami tak akan lupakan mak," pinta Mak Dimah yang sudah melepaskan dakapannya pada tubuhku.
Aku senyum, angguk mengeyakan permintaan Mak Dimah yang satu itu.
"Adik su tolong jaga Nami untuk kak ngah." Mak Dimah pandang ke arah Pak Dhahir yang sememangnya sudah menapak keluar dari perut kereta.
"Kak ngah jangan risau. Selagi usu mampu jaga Nami, usu jagakan dia untuk kita semua. Termasuklah arwah Abang Hab."
Kata-kata Pak Dhahir ternyata mampu menghadirkan segaris senyuman pada wajah Mak Dimah ketika ini.
Dan, bagi aku itulah senyuman yang akan aku rindui nanti. Apabila aku sudah keluar dari kampung, Mak Dimah antara wajah yang sentiasa aku nantikan dalam setiap lena aku nanti.
TAMAT BAHAGIAN SATU

ANDA SEDANG MEMBACA
NAMI
General FictionKisah Nami. Seorang gadis yang ingin mencari kebahagiaan di dalam hidupnya. Namun, jalan untuk meraih kebahagiaan itu bukanlah dipenuhi dengan madu mahupun manisan tetapi jalan yang penuh halangan yang berliku. Jika untuk mencapai bahagia itu perl...