Hampir sepanjang malam aku berkurung di dalam bilik ayah. Walaupun ayah dah tak ada tapi pada aku, keberadaan ayah sangat terasa apabila aku berada di ruang dalam bilik ini.
Selimut ayah. Bantal yang ayah selalu gunakan. Aku peluk rapat ke tubuh. Sambil baring mengiring ke arah jendela yang terbuka sebelah itu, aku rasa tenang.
Kering sudah kolam air mata. Tiada lagi dirasakan basah pada pipi wajah. Yang mengalir laju ketika ini adalah kolam tangisan di sudut hati yang paling dalam.
"Ayah, Nami rindu..." Perlahan-lahan aku cuba lelapkan kelopak mata. Namun, sesaat aku mula hanyut dalam lena kedengaran suara bercakap-cakap di luar pintu bilik.
Sedikit terganggu. Tetapi, tidak aku hiraukan. Cuma, semakin aku cuba abaikan semakin rancak suara-suara tadi menampar cuping telinga.
Bergegas aku bangun dari pembaringan. Tudung sarung yang elok tersangkut pada kayu kepala katil terus aku sarung ke kepala. Kedua kaki laju mengatur langkah setelah menapak di lantai tadi.
Perlahan-lahan aku menguak daun pintu. Ternyata, suara-suara yang rancak berbual itu datangnya dari ruang beranda depan. Niat sekadar mahu abaikan dan kembali menyambung lena tetapi setelah sedar yang suara itu adalah milik Pak Dhahir dan Abid, aku tak jadi nak mengatup pintu semula.
Terjengket-jengket aku mengatur langkah. Tiada niat untuk mencuri dengar tetapi aku sekadar mahu menyapa jika kehadiran Abid lewat malam ini sekadar mahu berbual kosong dengan Pak Dhahir.
"Saya pun tak sangka dengan apa yang saya dengar, ayah su. Arwah Pak Hab pesan perkara tu dengan saya macam arwah sendiri dah tahu bila dia akan pergi."
Dari mengintai di sebalik dinding laluan ke ruang tengah, aku mula mendekatkan jarak. Apatah lagi bicara Abid mula menyentuh perihal ayah pula.
"Malam yang sama masa saya tumpang tidur dekat dalam bilik arwah, arwah masih ulang pesanan yang sama. Walaupun kami tak pernah kenal satu sama lain. Nama pun tak tahu. Tapi, cara arwah buat saya jadi serba salah," luah Abid lagi.
Pak Dhahir yang elok duduk di atas kayu penghadang beranda sambil menyandar pada tiang seri masih diam dan tekun mendengar.
Beberapa minit kesunyian melanda, barulah Pak Dhahir mula bersuara. "Nami dah tahu tentang semua tu?"
Abid menggeleng perlahan.
Terlepas helaan nafas Pak Dhahir. "Kamu rahsiakan. Hal Nami, biar ayah su uruskan lepas ni."
"Mungkin Nami patut tahu yang..."
"Tak usah, Abid." Pak Dhahir geleng, tegas nada suaranya membantah celahan Abid. "Anggap apa yang kamu dengar tu, cuma kata-kata kosong saja. Mustahil kamu nak penuhkan hajat sebegitu padahal kamu dengan Nami tak pernah kenal rapat antara satu sama lain."
Abid diam.
Aku turut diam. Malah tidak langsung memahami sebarang butir bicara Pak Dhahir dan Abid. Tapi, aku jadi semakin keliru tatkala mendengar ayat Pak Dhahir tadi.
Tidak mahu terus memasang telinga, perlahan-lahan aku berpatah langkah. Penuh berhati-hati aku menapak ke pintu bilik ayah.
"Nami?"
Termati langkah yang baru sahaja menapak satu tapak ke lantai ruang dalam bilik. Laju pandangan aku singgah pada wajah yang menyapa tadi.
"Tak masuk tidur lagi? Dah lewat ni."
Aku balas pertanyaan Pak Dhahir dengan anggukan faham. "Nami turun ke dapur, minum air tadi. Dahaga," bohongku.
"Masuklah tidur. Berehat. Jangan fikir banyak sangat. Apa-apa, ayah su ada dengan Nami mulai hari ini."
Aku angguk faham. Seketika bola mata mencuri pandang ke arah daun pintu menuju ke beranda yang masih terbuka luas itu. "Ada siapa di luar?" soalku seolah-olah tiada langsung pengetahuan aku mengenai kehadiran Abid tadi.
"Eh, ayah su seorang je dari tadi! Saja ambil angin malam dekat beranda sana. Sejuk sikit." Pak Dhahir senyum ceria.
Aku sekadar angguk faham walaupun cukup yakin telinga dan mataku tidak tuli dan buta lagi. Jadi, pasti apa yang menjadi perbualan antara Pak Dhahir dan Abid seketika tadi adalah perkara yang sememangnya wajib dirahsiakan daripada pengetahuan aku.
YOU ARE READING
NAMI
General FictionKisah Nami. Seorang gadis yang ingin mencari kebahagiaan di dalam hidupnya. Namun, jalan untuk meraih kebahagiaan itu bukanlah dipenuhi dengan madu mahupun manisan tetapi jalan yang penuh halangan yang berliku. Jika untuk mencapai bahagia itu perl...