Bahagian 8

47 14 4
                                    

"Ayah!" Berlari laju aku mendaki anak tangga. Sememangnya fikiran aku mula dihantui perihal ayah apabila aku mula sedar langsung tiada kelibat ayah di mana-mana sewaktu aku melalui pekarangan rumah Mak Dimah tadi.

Selepas bertemu dengan Khadija di ruang dapur. Terus aku niatkan dalam hati untuk pulang ke rumah. Aku dah bantu apa yang patut tadi, jadi biarlah kenduri malam ini berjalan tanpa kehadiran aku di sana lagi.

"Ayah?" ruang kamar ayah aku tuju seawal kaki menapak lantai rumah kayu ini. "Ayah!" berkali-kali aku laung panggilan ayah tetapi tiada suara yang menyahut. Mata meliar ke setiap ruang pandangan, nyata ayah tiada di mana-mana.

Sedar yang aku hanya seorang diri di rumah, bergegas aku tuju ke ruang beranda semula. Anak tangga dituruni tanpa sesaat aku berhenti melangkah. Sandal sudah disauk ke kaki tetapi tingkahku mati apabila sedar kereta milik Abid sedang memasuki halaman depan ini.

Keluar saja Abid dari tempat pemandu, terus aku menyambung langkah.

"Nak ke mana?"

Soalan Abid, aku tak endahkan.

"Nami!" seru Abid dengan nada sedikit tegas kali ini. Itupun setelah aku berada di tengah laluan ke jalan sebelah luar.

"Saya nak cari ayah. Ayah tak ada dekat rumah." Aku jawab tetapi tetap teruskan langkahan setelah tiada lagi kedengaran soalan lain daripada Abid.

"Ayah awak ke kebun!"

Terhenti langkah aku tatkala mendengar ayat Abid. "Ayah tak pernah balik lewat," balasku apabila sudah pasti jam masuk ke lewat tengah hari sekarang ini. Mustahil kelibat ayah tiada di rumah lagi, padahal jam 11 paling lewat ayah tiba di rumah kalau awal pagi tadi sudah ke kebun.

Aku teruskan melangkah. Tak lagi menghiraukan seruan Abid yang berkali-kali meminta aku supaya tidak terus melangkah pergi.

Jejak sahaja bahu simpang jalan, dari arah laluan sebelah kiri sudah kelihatan beberapa orang kampung membonceng motosikal menghala ke laluan rumah kami ini. Aku sudah terpinga-pinga apabila menyedari mereka sedang menuju ke arah di mana sedang aku berdiri sekarang.

"Nami! Ayah kau... ayah kau..." Pak Damak, pemilik tanah kebun bersebelahan kebun ayah sekadar menuding jari ke arah laluan jalan besar tanpa ada apa-apa perkataan kedengaran bagi menyambung sapaan bernada cemas tadi.

"Kenapa dengan ayah?"

Satu per satu wajah yang sudah menghentikan motosikal kelihatan begitu runsing. Malah turut ada riak kesesalan yang dapat aku congak.

"Kenapa dengan ayah Nami?" jerkahku tatkala masing-masing seperti hilang kata-kata waktu ini.

"Ayah kau terbabas dekat simpang depan kedai Mak Anim tu!" Akhirnya Pak Damak bersuara juga.

Tak! Tak mungkin!

"Ayah!" Dari celahan motosikal yang elok berhenti itu aku redah mencari laluan. Apa yang aku dengar dari mulut Pak Damak, pasti gurauan semata-mata.

"Ayah!" seruku berkali-kali. Kaki mula laju membawa larian. Butir mata pula sudah terasa berat. Menampung bebanan empangan air mata yang bila-bila masa akan runtuh ini tetapi, aku tetap cekalkan diri. Ayah tak akan terbabas! Semua itu tak benar sama sekali!

NAMIWhere stories live. Discover now