"Baguslah kalau awak nak tinggal dengan ayah su lepas ni," suara Abid tanpa dijangka.
Aku yang sedang mahu menjamah nasi dan lauk yang Mak Dimah bekalkan itu mula terhenti laku. Bola mata naik meniti pada wajah bersahaja Abid. "Saya nak jaga hati dan perasaan Mak Dimah."
Entah kenapa, terbit senyuman senget pada belahan bibir Abid. "Lebih baik dari jaga hati sepupu awak yang lain."
Tersentak aku dengar ayat balas Abid kali ini. Lebih-lebih lagi dia menyebut perihal anak-anak Mak Dimah pula. Sebab itu juga selera aku turut menjauh pergi. Tidak jadi untuk menjamah makanan, aku tutup bekas berisi nasi dan lauk di atas meja itu semula.
Namun, perilaku aku terbantut apabila Abid mula menapak ke meja makan. Dibuka semula penutup bekas nasi dan lauk yang aku sudah katup rapat tadi. Sekarang, elok Abid menuang kuah gulai ikan ke atas nasi yang telah aku letak sedikit di dalam pinggan kaca itu.
"Mak Dimah kan dah pesan tadi, makan sampai licin."
Aku diam.
"Awak sendiri cakap, nak jaga hati dan perasaan Mak Dimah kan?" dari berdiri, Abid duduk di kerusi bertentangan. Sekadar memandang aku yang masih belum mula menjamah nasi di dalam pinggan di hadapan.
Tanpa berkata apa, aku cebis sedikit isi ikan masak gulai lalu digaul dengan secubit nasi. Saat nasi disua ke bibir, tubir mata mula memberat tanpa aku pinta. Jatuh setitis demi setitis air mata, mengalir laju di kedua belah pipi. Cepat-cepat aku seka dengan kekura tangan.
Abid larikan pandangan. Namun, aku sempat mengintai hujung pucuk hidungnya yang sudah memerah itu.
"Saya tak sempat nak minta maaf dengan ayah," luahku perlahan. Dalam esakan yang mula menghuni segenap ruang suara itu, aku tetap cekalkan lidah untuk mengalun kata-kata.
Suapan pertama tadi, berjaya untuk aku sua ke bibir. Tapi, untuk suapan kedua. Aku mula dibanjiri butir jernih yang langsung tiada tanda akan berhenti menghujani wajah saat ini. "Saya tak sempat nak tanya ayah, ayah sakit apa? Saya tak tahu ayah ada sakit apa..."
"Nami," perlahan Abid seru namaku.
"Ayah nampak sihat pagi tadi, tapi kenapa tiba-tiba ayah... ayah..." Tangisan tak mampu aku kawal lagi. Semakin memberat tubir mata, semakin tersekat corong nafas dengan esakan yang semakin menggunung.
"Nami." Dari duduk berhadapan, Abid bergerak ke kerusi bersebelahan.
Terasa pipi dikesat kain lembut, dari menunduk aku dongak wajah. Melihat Abid yang sedang mengelap kesan air mata pada wajahku dengan sehelai sapu tangan. Aku segera menepis perbuatannya itu.
Laju aku tarik hujung tudung yang masih kekal menyarung kepala. Disapu bersih kedua belah pipi tanpa menunggu perilaku Abid lagi. Aku masih sedar batas diriku dengan dirinya ketika ini. Apatah lagi kami hanya tinggal berdua di ruang dapur. Apa pula Mak Dimah dan Pak Dhahir akan fikirkan jika mereka terlihat perilaku Abid terhadap aku tadi?
"Ada baiknya kalau awak tinggalkan saya seorang diri di sini. Saya perlukan masa untuk bersendirian," pintaku dengan alasan sebegitu.
Elok Abid akur dengan permintaan aku. Lagipun, setelah aku sedar siapa dia sebenarnya aku tidak mahu ada apa-apa isu berbangkit pula di lain hari.
Mungkin Abid hadir ke kampung ini adalah untuk menjaga hati Khadija. Mana tahu, suatu hari nanti dari niat untuk menjaga hati Abid terbuka hati untuk menyambung hubungan dengan Khadija semula?

ANDA SEDANG MEMBACA
NAMI
Fiksi UmumKisah Nami. Seorang gadis yang ingin mencari kebahagiaan di dalam hidupnya. Namun, jalan untuk meraih kebahagiaan itu bukanlah dipenuhi dengan madu mahupun manisan tetapi jalan yang penuh halangan yang berliku. Jika untuk mencapai bahagia itu perl...