Hanya dengan berjalan kaki, aku ziarah pusara ayah. Kebetulan pusara ayah tidak jauh jaraknya dengan puasa ibu. Aku nak luangkan masa yang masih bersisa ini dengan sentiasa mendoakan ketenangan buat roh ayah dan ibu.
Keputusan akhir belum aku luahkan kepada Pak Dhahir. Selesai sarapan tadi, Pak Dhahir sudah menyatakan niatnya untuk melawat Pak Damak di hujung kampung. Jadi, aku langsung tak ada kesempatan untuk suarakan perihal pertanyaan Pak Dhahir malam tadi.
Seketika fikiran aku teringatkan perihal Mak Dimah. Sejak dari awal pengebumian jenazah ayah, hanya kelibat Mak Dimah yang terlintas di ruang pandangan aku. Tiada seorang pun, anak Mak Dimah datang bertandang. Termasuklah Abang Rushdi.
Aku faham jika mereka benci dengan kehadiran aku dalam keluarga mereka sebelum ini. Tapi, tak adil jika hukuman itu turut dijatuhkan buat ayah juga. Bapa saudara mereka sendiri. Darah daging mereka juga.
Lalu sahaja laluan jalan tuju ke pekarangan rumah, kedengaran hon kereta muncul dari arah belakang pula. Laju aku ke tepi, sempat wajah menoleh. Mengintai kereta milik siapa yang masuk ke laluan sama ketika ini.
Abid. Tak salah lagi.
Kelajuan kereta semakin perlahan, Abid berhentikan betul-betul di sisi jalan di mana sedang aku diam berdiri ketika ini.
Tingkap kereta sebelah pemandu, diturunkan separuh. "Ayah su minta saya hantar awak ke rumah Mak Dimah kejap lagi."
Tanpa mukadimah kata, arahan sebegitu yang aku dengar dari mulut Abid. "Saya nak kemas rumah, dah dua hari rumah tak terurus. Dapur tak sapu. Pinggan, mangkuk tak bersusun. Tu, halaman belakang rumah dah lama tak diuruskan." Panjang lebar aku beri alasan. Semata-mata tak nak patuh dengan kehendak Pak Dhahir.
"Kerja mudah. Saya boleh tolong." Cermin tingkap dinaikkan, tanpa sempat aku mencelah laju Abid menuju ke halaman rumah. Kereta diberhentikan di sebelah tangga naik ke beranda sebelum susuk Abid kelihatan di depan mata.
"Awak baliklah!"
Terpinga-pinga riak air muka Abid. Dari dia bersemangat mahu menyusun langkah ke laluan menghala dapur, kini pandangan tertanya-tanya menghiasi ruang pandangan aku pula. "Balik?" soalnya pelik.
"Sini bukan tempat awak. Bukan kampung awak. Ada baik kalau awak balik sebelum orang kampung buat cerita tak elok tentang awak," balasku serius.
"Oh?" terjongket kening Abid. Namun, tidak langsung menghalang dia daripada terus melangkah ke mana arah yang mahu ditujunya dari tadi.
"Saya tak perlukan pertolongan awak!" Aku gagahkan langkah. Cuba mengejar susuk Abid yang menonong ke halaman belakang dapur. "Nanti apa Khadija cakap kalau awak asyik ke sini?"
Abid berhenti melangkah. Nampaknya satu nama itu berjaya buat dia matikan cita-citanya untuk menolong aku sekarang ini.
Tapi, sangkaan aku meleset. Abid tetap menyambung tingkah. Langsung tidak menoleh malah dia begitu bersahaja mencapai pencakar sampah yang elok tersandar pada dinding luar dapur itu.
"Kalau awak masih berdegil, saya tak nak ikut awak ke rumah Mak Dimah."
"Siapa yang degil sekarang ni?" elok Abid membidas, tetapi masih dalam perilakunya yang galak mencakar daun-daun kering yang hampir menghapus lantai rumput di sekitar tanah itu. "Bukan saya dah ajak awak dengan cara elok tadi? Tapi, awak beri alasan. Sekarang, saya cuba kurangkan alasan awak dengan niat tak nak hampakan permintaan ayah su."
Aku merengus perlahan. Terasa panas matahari awal pagi ini cukup membahang walaupun masih belum terpacak di atas kepala. "Saya dah tak nak jejak kaki ke sana lagi," balasku jujur.
"Kenapa?" soal Abid pula. Malah dengan riak wajah seperti tidak tahu apa-apa masalah yang sedang aku hadapi apabila berkunjung semula ke rumah Mak Dimah walaupun dia seperti dapat meneka hubungan aku dengan anak-anak Mak Dimah tidak begitu baik.
Aku sekadar memeluk tubuh. Tidak langsung sepatah kata kedengaran. Diam itu lebih baik untuk aku ketika ini.
"Risau kalau Kak Asiyah marahkan awak lagi? Atau gurauan Khadija yang melampau?"
Ternyata Abid tahu tetapi cara dia menyoal 'kenapa' itu tadi buat perasaan aku cukup memberontak sekarang ini. "Saya cakap tak nak pergi, tak nak pergilah maksudnya!" naik setingkat aras suaraku.
Tidak lagi menunggu kata balas Abid, aku terus berlari menuju beranda rumah. Naik ke ruang atas sebelum kaki menapak gagah ke pintu bilik. Masuk saja ke ruang dalam, daun pintu aku kunci kemas.
Tubuh dihempas ke atas tilam katil bujang. Empuk. Tetapi tidak mampu membuat panas di hati aku ini reda. Masih membahang dengan setiap ayat Abid yang bernada perlian kepada aku tadi.
YOU ARE READING
NAMI
General FictionKisah Nami. Seorang gadis yang ingin mencari kebahagiaan di dalam hidupnya. Namun, jalan untuk meraih kebahagiaan itu bukanlah dipenuhi dengan madu mahupun manisan tetapi jalan yang penuh halangan yang berliku. Jika untuk mencapai bahagia itu perl...