Bahagian 6

49 16 2
                                    

Tidak jauh dari simpang jalan masuk ke pekarangan rumah Mak Dimah, segera aku minta Abid berhentikan keretanya. Dalam riak terpinga-pinga, Abid sekadar memerhati tingkah aku yang sudah keluar dari perut keretanya ini tanpa berkata apa.

"Saya terlupa nak kutip pucuk paku tepi selekoh tu tadi, Mak Dimah dah pesan semalam. Awak terus masuk simpang jalan sebelah kanan nanti," jelasku tatkala Adib turunkan tingkap pintu penumpang bersebelahannya ini. "Terima kasih tumpangkan saya." Aku terus berpatah langkah.

Sedar yang kereta Abid masih belum bergerak, tetapi aku langsung tidak hiraukan. Langkah sehabis baik aku lajukan menuju selekoh yang menjadi alasan tipu-tipu aku tadi. Lagipun, aku memang tidak selesa jika mata-mata orang lain memandang aku dengan Adib pula jika tiba di rumah Mak Dimah bersama lelaki asing itu.

Semak sebelah kiri selekoh aku redah. Selepas perhatikan kereta Abid mula kembali bergerak, helaan nafas berat terlepas. Cepat-cepat aku melompat ke bahu jalan semula. Kemuncuk yang sempat memanjat kaki kain segera aku buang tatkala langkahan mula diatur.

Dari bersemangat untuk melangkah ke pekarangan rumah Mak Dimah, aku mula memperlahankan langkah. Setelah bola mata sempat menangkap kelibat Khadija yang muncul di halaman tatkala kereta Abid elok dihentikan di sebelah pangkin kayu.

Tidak salah lagi sangkaan aku. Memang Khadija dengan Abid kelihatan cukup mesra ketika bertegur sapa ketika ini. Dari hendak terus melangkah, aku sudah berura-ura mahu berpatah balik. Namun, kelibat aku berjaga menarik perhatian Abang Rushdi pula.

"Nami!" laung Abang Rushdi tanpa hiraukan sesiapa di situ.

Saat yang sama juga, Khadija dan Abid turut memanah pandangan ke arah laluan jalan di mana aku sedang terpacak berdiri ini.

"Nami, mak dah lama tunggu dekat dapur!" jerit Abang Rushdi lagi.

Nak tak nak, terpaksa aku tebalkan muka. Melangkah masuk walaupun telapak kaki terasa cukup berat untuk menapak.

Tidak singgah di pangkin di mana Abang Rushdi sedang berada dengan Khadija dan Abid. Aku terus tuju ke pintu belakang dapur. Langsung tidak menyapa Khadija walaupun aku perasan dia seperti mahu menegurku terlebih dahulu.

Masuk ke ruang dapur, kelihatan Mak Dimah seperti tidak cukup tangan menyediakan bahan masakan. Tidak seperti yang aku lihat sebelum ni, jika semalam ada anak-anak Mak Dimah yang lain. Kali ini, hanya Mak Dimah seorang diri menguruskan semuanya.

Tak sempat aku menegur dulu, Mak Dimah sudah berpaling wajah ke arahku. "Datang juga, Nami. Puaslah mak tunggu tadi," sapa Mak Dimah dengan riak wajah gembira.

"Nak Nami tolong apa?"

"Eh, banyak... banyak benda yang mak nak Nami tolong." Mak Dimah sempat menyeka dahi dengan hujung lengan baju kurung.

Besen berisi beberapa potong timun hijau itu Mak Dimah hulur kepadaku bersama papan pemotong dengan pisau nipis. "Lepas tu, Nami tolong mak siapkan bahan arca mentah yang lain pula ye?"

Aku angguk. Tidak sedikit pun aku persoalkan ke mana anak-anak Mak Dimah yang lain. Sebab senario sebeginilah yang biasa aku tonton setiap kali Mak Dimah adakan kenduri di rumah ini. Lebih-lebih lagi selepas kematian suaminya.

Dalam fokus menyediakan bahan untuk arca mentah, terasa seperti ada kelibat yang lain masuk ke ruang dapur ini. Tidak aku hiraukan. Pasti anak Mak Dimah yang lain.

"Tak nampak pula pucuk paku dekat mana-mana."

Tersentak dengan perihal pucuk paku yang menjadi topik pertanyaan itu. Jadi, hanya ada seorang yang tahu mengenai alasan pucuk paku itu. Pasti Abid.

"Nak buat apa dengan pucuk paku?" kebetulan Mak Dimah masuk ke ruang dapur setelah menghantar keluar besen berisi santan kelapa tadi.

Aku masih diam.

"Itulah yang Abid tertanya-tanya juga. Nak buat apa dengan pucuk paku tu semua? Sebab Mak Dimah dah cerita semua jenis lauk untuk kenduri malam nanti."

Aku getap bibir. Malas hendak mencelah, sengaja aku buat tidak tahu saja.

"Ada-ada saja kamu ni Abid." Mak Dimah menggeleng bersama segaris senyuman ceria.

Terus aku masukkan lada yang sudah siap dihiris bahagian tengahnya itu ke dalam mangkuk. Begitu juga lobak merah yang sudah dihiris bulat. Tidak mahu berlama di ruang dapur itu, terus aku letak semua bekas di atas meja yang tersedia sebelum kaki dibawa melangkah ke ruang memasak di luar sebelah sana pula. 

NAMIWhere stories live. Discover now