Bahagian 3

59 20 0
                                    

Sepatutnya, ayah sudah sampai ke halaman rumah Mak Dimah ini jika kelibat anak dan menantu lelaki Mak Dimah tiba di sini hampir sepuluh minit yang lepas. Tak akanlah ayah ada urusan lain dengan tok siak ataupun tok imam masjid?

Hampir sepuluh minit juga aku berdiri di ruang anjung rumah, langsung tidak dapat berdiam diri. Bola mata masih liar memerhati sepanjang jalan luar yang dapat dilihat dari atas anjung ini.

Muncul Abang Rushdi di ruang yang sama. Menapak dia ke sudut hujung anjung, melihat kotak rokok dan pemetik api diletak elok di atas para kayu bersebelahan pasti dia akan berlama di situ.

"Abang long ada nampak ayah Nami tak tadi?"

Terjongket kening Abang Rushdi. "Abang ingat pak long dah sampai dulu tadi sebab abang tak ada pula ternampak waktu keluar masjid tadi."

Mendengar jawapan Abang Rushdi. Aku mula rasakan ada perkara yang tak baik terjadi dekat ayah ketika ini. Tanpa menghiraukan kelibat Abang Rushdi, laju aku menuruni anak tangga. Sekadar berkaki ayam memandangkan sandal kepunyaan sendiri berada di pintu luar sebelah dapur.

"Eh, nak ke mana tu Nami?" Abang Rushdi menapak ke muka tangga.

Aku dongak. "Cari ayah."

Abang Rushdi mula menapak turun sama.

"Nami nak cari seorang diri. Abang long tak payahlah tolong sekali. Abang long tolong jaga Mak Dimah dengan kak long ye. Tadi, kak long ada naik suara dekat Mak Dimah," luahku tanpa menyembunyikan apa-apa lagi. Jika dulu, aku boleh diamkan kali ini perilaku Kak Asiyah agak melampau.

Terhenti tingkah Abang Rushdi apabila aku sempat berpesan sebegitu. Terkebil-kebil matanya cuba memahami kata-kataku tadi. "Patutlah abang rasa ada benda tak kena je masa balik dari masjid tadi," luah Abang Rushdi.

"Kalau ayah Nami ada sampai ke sini, abang long minta ayah terus balik ke rumah. Nami nak cari ayah dekat rumah," sempat aku berpesan lagi sebelum berlari anak menuju ke bahagian dapur. Sandal yang dikutip itu sekadar aku pegang tatkala telapak kaki sudah laju mengatur langkah untuk pulang ke rumah semula.

"Eh, Nami! Abang boleh tolong hantarkan!" laungan Abang Rushdi, aku abaikan.

Yang ada dalam fikiran aku adalah keberadaan ayah sekarang ini. Itu saja.

Sepanjang jalan luar ini masih terang diterangi lampu jalan, tetapi masuk sahaja ke simpang sebelum tiba ke rumah. Di situlah yang jadi masalah buat aku ketika ini. Gelap dan sunyi. Sungguhlah aku terlupa perihal jalan dalam yang satu itu. Tapi, aku dah pun separuh jalan. Sudah hampir dengan jalan masuk ke rumah pun ketika ini.

Dalam keadaan samar-samar. Aku menapak sebaik mungkin. Sempat tangan kiri mencapai ranting kayu yang elok tersadai di tepi simpang jalan tadi. Berhati-hati aku mengatur tapak.

Hampir sahaja dengan pagar luar rumah. Bola mata terhenti pada kenderaan yang elok terletak di ruang halaman rumah ini. Melihat pada nombor plat kereta itu, aku langsung tidak dapat meneka siapa pemiliknya.

Cahaya terang di ruang dalam rumah membuatkan aku cukup yakin bahawa ayah sudah berada di dalam sekarang ini. Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, laju aku mendaki anak tangga anjung depan.

Ranting kayu di pegangan segera aku campak ke halaman bawah sebelum pintu rumah aku tolak kasar. "Ayah? Ayah!"

Ya, perkara pertama yang meniti di ruang pandangan saat kaki melangkah masuk dan panggilan ayah dilaungkan adalah sekujur tubuh berusia yang sudah tersandar di dinding ruang depan ini.
Dari berdiri kaku di muka pintu, bergegas aku menerpa ke tubuh ayah. Melihat garis riak wajah ayah yang sedang menahan sakit, aku tidak pasti apa yang telah ayah lalui sehingga ayah tersandar lemah sebegini. "Ayah? Kenapa?" tak dapat aku tutur ayat sebaik mungkin. Hanya ombak kerisauan menghempas kuat dinding perasaan dan fikiran saat ini.

Perlahan-lahan ayah cuba bergerak tetapi menyedari ada kelibat asing muncul di laluan dari arah ruang dapur. Tumpuanku beralih tanpa sempat menunggu ayah menutur kata-kata.

"Pak cik jatuh dekat simpang masjid tadi. Terus tak sedarkan diri." Cawan yang berisi air masak itu diletak elok di atas meja kecil bersebelahan tempat ayah bersandar ini.

"Ayah saya sakit apa?" luahku tanpa tertahan lagi.

"Saya bukan doktor," balasnya pendek tetapi sempat dia hulurkan sepapan bekas ubat yang sudah kosong tanpa isi itu. "Ubat ayah awak mungkin dah habis. Saya terjumpa dalam saku baju ayah awak tadi."

"Ayah tak pernah cakap apa-apa dengan saya tentang sakit ayah," luahku jujur.

Ketika ini juga tangan ayah laju memaut kemas lengan lelaki di sebelah kirinya itu. Gelengan lemah ayah berikan sebelum ayah mengalih pandangan kepadaku lalu cuba membuka bibir untuk bersuara. "Ayah cuma penat..."

Aku tak boleh terima alasan ayah itu. Mustahil ayah jatuh pengsan sebab penat. Kalau betul ayah ada penyakit lain yang aku tak tahu, kenapa ayah sembunyikan daripada pengetahuan aku selama ini?
"Maaf kalau saya terpaksa biarkan ayah awak berbaring dekat atas lantai ni. Saya tak tahu bilik ayah awak yang mana satu."

Tumpuan aku yang sedari tadi masih cuba mengintai kebenaran di sebalik kata-kata ayah kembali teralih ke wajah lelaki asing itu. "Saya boleh papah ayah saya sendiri," jelasku sambil mula memaut bahu ayah supaya ayah dapat berdiri sama.

Aku masih cuba menahan bibir daripada menyoal kebenaran terus kepada ayah tetapi melihat kepada usaha aku untuk memapah ayah sendiri ke bilik semakin gagal ketika ini.

"Saya boleh bantu," tawarnya setelah diam memerhati sedari tadi.

Aku akur dengan kehendak lelaki yang sudah berjaya memapah tubuh ayah. "Bilik ayah sebelah kiri," jelasku apabila kami bertiga mula menghampiri ruang tengah rumah.

Aku biarkan ayah diuruskan lelaki tadi. Sesekali aku membetulkan bantal di kepala ayah. Melihat riak wajah ayah yang meminta aku supaya tidak terus risau dengan keadaannya membuatkan aku jadi lebih runsing. Apatah lagi, aku dapat meneka yang ayah sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku ketika ini. 

NAMIWhere stories live. Discover now