Bab 1

7 0 0
                                    

MENTARI memancarkan sinaran yang terik membahang. Permukaan bumi di kota raya yang dipenuhi oleh jalan tar dan lantai berbatu bata menambahkan lagi bahang yang terpantul. Di tambah lagi dengan kesesakan kenderaan yang sarat menyusuri jalan, hawa di kota semakin terasa panasnya. Suasana hingar bingar dengan bunyi deruan enjin pelbagai jenis kenderaan di susuli pula dengan bunyi hon yang membingitkan telinga. Asap yang keluar dari ekzos kenderaan pula berkepul-kepul di udara sebelum ditolak oleh angin yang mendatang. Angin semilir turut bertiup, menerbangkan debu-debu di jalanan. Hawa panas yang penuh dengan kotoran itu bagaimanapun tidak menerobos ke dalam bangunan yang berdiri megah dan tersusun rapi.

Di antara ratusan bangunan yang tersusun itu, salah satunya menjadi pejabat pengurusan kepada sebuah syarikat tekstil dan pakaian. Di dalam pejabat, udara terasa lebih nyaman dengan pendingin hawa yang terpasang. Para pekerja kelihatan sibuk dengan urusan masing-masing. Di salah satu sudut, seorang perempuan sedang tekun menaip di komputer. Matanya berselang seli berkalih di antara paparan monitor komputer dan dokumen yang berada di atas mejanya. Jari jemarinya laju menekan papan kekunci tanpa perlu penglihatannya mengarah ke sana. Idayu kemudian menyandarkan belakang badannya ke kerusi dan mendongakkan kepala sambil memejamkan mata. Seraya itu juga gadis tersebut menghembuskan satu nafas panjang.

Gadis itu merasa lega setelah berjaya menyelesaikan tugasnya. Idayu kemudiannya kembali menatap monitor komputer dan tangannya mengawal tetikus. Kerja yang baru disiapkannya sebentar tadi segera dicetak ke atas kertas. Setelah selesai proses mencetak semua dokumen yang dia kerjakan, Idayu tersenyum puas sambil membelek kertas hasil cetakan sehelai demi sehelai. Semua hasil kerjanya itu dimasukkan ke dalam sebuah fail.

Tanpa membuang masa, Idayu segera bangkit berdiri dari kerusi dan membawa fail yang mengandungi dokumen penting itu bersamanya. Gadis yang berusia lewat 20an itu berjalan dengan langkah yang teratur, melintasi beberapa meja karyawan lain yang turut bekerja di pejabat tersebut. Tidak lama kemudian, gadis itu tiba di hadapan pintu sebuah bilik. Di pintu tersebut, tertera perkataan Ketua Pegawai Eksekutif yang menandakan sebagai bilik kepada pegawai tertinggi di pejabat tersebut. Idayu kemudian mengetuk pintu bilik beberapa kali.

"Masuk." Kedengaran suara lelaki dari dalam bilik memberikan kebenaran untuk memasuki biliknya itu. Tanpa berlengah, Idayu segera memulas tombol pintu dan membuka pintu tersebut, seraya melangkah masuk.

"Encik Adam.. ini ada dokumen yang perlu Encik Adam tanda tangan." Idayu menyatakan kehadirannya untuk menyerahkan dokumen kepada majikannya itu. Di hadapan Idayu, seorang lelaki yang berusia lewat 30an sedang duduk dan meneliti beberapa lembaran kertas di atas mejanya. Lelaki yang digelar sebagai Encik Adam itu langsung tidak menoleh ke arah Idayu yang mendatanginya.

"Hmm.. letak kat situ." Adam bersuara tanpa memandang ke arah Idayu. Dia hanya mengisyaratkan melalui mulutnya agar Idayu meletakkan dokumen yang dibawa ke atas mejanya. Lelaki itu tetap fokus kepada kertas yang ditatapnya. Idayu pula meletakkan fail di tangannya itu perlahan-lahan ke atas meja. Mata gadis itu terpaku kepada majikannya yang sedang ralit membaca.

'Handsome juga bos aku ni.. tapi sayang.." Idayu bermonolog di dalam hatinya. Gadis itu terus terpegun menatap Adam.

"Ada apa lagi?" Adam bersuara lagi setelah menyedari Idayu masih berdiri di hadapannya setelah menyerahkan dokumen yang ingin dihantar. Adam kemudian menjeling ke arah Idayu melalui ekor mata.

"Tak..takde apa-apa.." Idayu langsung terpinga-pinga setelah disapa. Gadis itu kemudian menundukkan kepala sebelum berpaling punggung dan berjalan keluar dari bilik tersebut. Setelah keluar dari bilik, Idayu sempat mengintai sekejap ke dalam bilik melalui cermin. Gadis itu kemudian mencebikkan bibir seraya berjalan meninggalkan kawasan tersebut. Baginya, Adam adalah seorang lelaki yang dingin dan langsung tidak menarik. Namun pegawai tertinggi dan juga pemilik kepada syarikat itu sebenarnya menjadi kegilaan ramai wanita. Lelaki itu mempunyai rupa paras yang menarik dan berharta. Pada usia muda, Adam sudah memiliki empayar perniagaannya sendiri. Namun yang menjadi masalah kepada para wanita, Adam adalah seorang lelaki yang sukar di dekati dan bersikap dingin. Lelaki itu langsung tidak menegur mana-mana perempuan sekali pun. Jika ada perempuan yang ingin mendekat, Adam pasti akan segera menjauh dan menyisihkan perempuan tersebut.

ISTERI UPAHAN ENCIK ADAMWhere stories live. Discover now