BAB 10

19 3 0
                                    

TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?

Sudah beberapa kali Warda berguling di atas katil rumah sewanya. Semua posisi sudah dicuba. Semua posisi juga dirasakan serba tidak kena dan tidak selesan. Hendak terlelap apatah lagi. Jam sudah menginjak pukul dua pagi tapi sedikit pun Warda tidak mengantuk!

Nasib baik esok hujung minggu. Kalau tidak, ada yang tidak tidur semalaman dan muncul di wad dengan lingkaran hitam bawah mata.

Warda menelentang. Belakang kepala dialas dengan sebelah lengan. Entah mengapa saat ini, bayangan wajah Amrullah menghiasi siling putih tempat dia menatap waktu ini.

Ukiran wajah itu masih sama seperti waktu mereka sekolah menengah dahulu. Kening yang sedikit tebal, terurus elok seperti didandan. Ukiran glabella dan rangka bahagian orbital yang prominen ditambah dengan hidung yang sedikit mancung tidak pernah gagal menjadi nilai tambah maskulin lelaki itu. Dagunya terlukis elok dengan jawline yang tajam. Hanya sahaja rona sawo matangnya sudah sedikit gelap ke arah tanned skin. Rambut Amrullah yang dahulunya panjang pula kini sudah tidak lagi tersisir rapi ke tepi. Sebaliknya, lelaki itu muncul dengan gaya buzz cut.

Dua kali pandang, memang Warda tidak mampu nafikan bahawa Amrullah tampak sepuluh kali lebih maskulin setelah empat tahun mereka terputus hubungan dan khabar berita.

Warda berpusing badan lagi. Kali ini, dia meniarap dengan telefon bimbitnya terletak di sebelah siku yang menongkat badan. Dalam sela masa yang singkat, telefonnya dia capai lalu dia membuka aplikasi Instagram. Bibir diketap rapat sementara jari menekan-nekan papan kekunci dengan sebaris nama yang melekat di dalam kepalanya waktu ini.

"Apa yang aku tengah buat ni?" Baru dia hendak menekan hasil carian, Warda berhenti seketika lalu menyoal dirinya sendiri. "Kenapa aku stalk dia?"

Soalan Warda hanya dijawab oleh bunyi kipas yang berputar di siling bilik. Warda menggeleng kepala. "Tak apa. Kan dah lama tak dengar khabar. Takkan tak boleh kot nak catch up keadaan kawan sendiri?"

Warda mengabaikan segala perihal yang menjengah isi kepalanya. Dia menekan akaun yang berada di tangga teratas dalam senarai hasil carian. BINGO! Memang itu akaun Amrullah. Buktinya, gambar Amrullah terpampang pada profil pengguna. Laju sahaja anak mata Warda jatuh pada tombol biru bertulis followback.

Warda tersenyum kekok apabila menyedari dia tidak mengikuti Amrullah sejak beberapa tahun lepas. Bukan Amrullah sahaja, semua rakan sekolahnya yang berjantina lelaki, dia tidak ikuti. Maklumlah, sedang patah hati.

Satu demi satu gambar Warda perhatikan. Hantaran-hantaran Amrullah banyaknya hanyalah gambar langit, bukit-bukau tempat lelaki itu mendaki dan gambar dengan rakan-rakan universiti. Entah mengapa, jari Warda berhenti menyorot skrin apabila dia tersinggah satu hantaran gambar Amrullah dengan kemeja putih berblazer hitam digandingkan dengan tali leher dalam rona sama. Berdiri di tengah-tengah gambar dengan senyuman yang biasa menghiasi wajahnya.

Gambaran Amrullah yang minda Warda lukiskan di siling tadi kini menjadi kenyataan.

"Entah-entah... dia dah ada awek tak?" "Orang kata kalau someone ni berubah especially in terms of appearance and style... ada hati yang dia jaga. Ada imej yang dia pelihara, kan?"

Warda mengetuk-ngetuk bibir sendiri. Baru beberapa saat dia berfikir, telefon bimbitnya menyala menandakan ada panggilan masuk. Berkerut dahi Warda apabila menyedari bahawa Ifa mendail nombornya pagi-pagi buta sebegini.

"Assalamualaikum, dah tidur."

Usikan Warda menerima tawa daripada Ifa di hujung talian. "Waalaikumussalam nak kacau kau tidur."

TIADA LAIN SELAIN KAMUWhere stories live. Discover now