BAB 5

10 3 0
                                    

TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?

Warda mematah-matahkan jarinya setelah pen diletakkan di atas meja. Muka surat yang sudah penuh terisi dengan karangan bernilai seratus markah yang perlu mereka hantar beberapa minit lagi.

Warda mengerling ke arah jam dinding yang tergantung elok di bahagian atas papan putih. Ada lagi beberapa minit sebelum waktu akhir habis, Warda menoleh ke hadapan. Amrullah masih belum selesai dengan karangannya. Dia menoleh ke sisi, Ifa juga sama.

Baru dia hendak meletakkan kepalanya di atas meja sementara menanti guru Bahasa Melayu mereka bercakap sebentar lagi, pandangannya bertaut dengan Iskandar.

Serta-merta Warda tersentak apabila menyedari Iskandar memerhatikannya sejak tadi. Warda tersenyum manis ke arah lelaki itu.

"Dah siap ke?" tanyanya sekadar beramah mesra. Entah kenapa, sejak Ifa memberitahunya perihal yang langsung tidak pernah dia fikir itu semalam, dia jadi kekok pula hendak berkawan dengan Iskandar seperti biasa.

"Belum lagi." Iskandar memberi jawapan dalam senyuman yang tidak kurang manisnya. Apatah lagi dengan wajahnya yang boleh dikatakan sedap mata memandang itu. Memang padanlah Iskandar sering menjadi bualan pelajar-pelajar perempuan tingkatan bawah. Mana tidaknya, sudahlah ada rupa, ada harta lagi. Ish-ish, untung jadi kawan rapat dia.

Siapa kawan rapat dia? Wardalah kot. Untung ke? Entah.

"Dah tu, siapkanlah. Nanti karang cikgu panggil tak siap lagi kan susah." Warda membalas dalam nada sedikit bergurau.

Entah memang kelakar ataupun Iskandar memang jenis yang suka tertawa, lelaki itu ketawa kecil menampakkan lesung pipit di pipi sebelah kirinya. Aduhai manis.

Hujung mata Warda menangkap pandangan Ifa ke arah mereka berdua tetapi Warda hanya buat tidak peduli.

"Saje aje. Mungkin bila tengok kau aku dapat idea? Kau kan selalu dapat markah penuh bahagian karangan ni?" Iskandar menjawab dalam nada yang tidak kurang mesra.

Kalau sebelum ini, Warda akan ketawa tanpa kesopanan kerana dipuji sebegitu oleh Iskandar— kini tidak lagi. Warda hanya tersengih sahaja. Dia menggeleng menidakkan dakwaan Iskandar kepadanya.

Sementara itu, Ifa kelihatan sudah selesai dengan karangannya. Gadis itu meletakkan pen dan meneguk sedikit air mineral di atas mejanya.

"Eh, nak tanya. Topik ni apa peribahasa yang kau letak dekat kesimpulan?" Iskandar bertanya kepada Warda.

Hujung mata Warda mengerling ke arah Ifa yang sedang memandangnya saat ini. Kalau boleh, mahu sahaja dia mencubit pipi Ifa kuat-kuat. Reaksi muka Ifa memang betul-betul tak boleh hendak disembunyikan. Nampak sangat curiga!

"Entahlah. Aku letak aje seperti telur sesangkak, pecah satu pecah semua sebab aku pilih sentimen masyarakat dekat hujung-hujung ni." Warda menjawab dalam nada biasa.

"Oh... faham-faham. Alright, thank you Warda," balas Iskandar dengan ceria.

Warda mengangguk sebagai balasan. Sesudah itu, Iskandar menyambung karangannya sementara Warda dan Ifa berbalas pandangan. Mereka seperti berbisik dalam bahasa komunikasi minda. Ifa seolah-olah memberitahu Warda bahawa benarlah apa yang dia perkatakan tempoh hari.

Ifa berdehem sejenak. "Weh, Is."

Iskandar mengangkat kepala. Dia memandang ke arah Ifa dan mengangkat kedua belah kening tanda bertanya tentang sebab namanya diseru.

"Petang ni kan tak ada kelas tambahan. Kau dengan Amrullah ada latihan archery ke?" tenang Ifa bertanya.

Mendengar namanya turut disebut, Amrullah mengangkat kepala sama, memandang ke arah Ifa.

TIADA LAIN SELAIN KAMUWhere stories live. Discover now