TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
Dua tahun kemudian...
"Warda... jomlah pergi sekali. Temankan aku?" Ifa mengerdip-ngerdipkan matanya di hadapan Warda. Bersungguh-sungguh dia memujuk gadis itu untuk bersama-samanya hujung minggu ini.
"Ish... aku tak naklah. Kau pergi ajelah tanpa aku. Kan ramai lagi kawan kau selain aku." Warda merungut dalam bicaranya. Dia mengubah tempat duduknya di atas kerusi batu itu. Tidak lagi menghadap Ifa. Sebaliknya, susunan bunga orked di taman mini ibunya menjadi jamahan mata.
Sudah beberapa bulan berlalu sejak hari terakhir Warda bergelar mahasiswi di universitinya. Sekarang, dia sudah bergelar doktor secara tidak rasmi menanti masa untuk dia melapor diri sebagai houseman di tempat dia akan berkhidmat nanti. Disebabkan cutinya yang tidak begitu lama sebelum tempoh lapor diri itulah, dia begitu malas hendak keluar rumah.
Lagipun, sejak dia menjauhkan diri daripada semua orang sewaktu dia patah hati dahulu... dia berubah menjadi seorang yang kurang gemar keluar dan bersosial. Walaupun dengan rakan-rakan sekolah menengah mereka dahulu.
Boleh pula Ifa tiba-tiba ajak Warda teman gadis itu ke karnival keusahawanan sekolah? Bukan sahaja berisiko untuk terserempak dengan rakan-rakan sewaktu sekolah dahulu, bahkan dengan guru-guru, staf-staf sekolah pun akan berselisih bahu.
Malulah dia!
"Alah, kau jangan overthinking sangatlah pasal dia orang tu. Paling-paling pun cuma 'hai apa khabar?' pastu bual sikit-sikit aje."
Aminatul Warda menggeleng-gelengkan kepalanya. "Sikit pun, it is still an interaction."
Ifa menggigit bawah bibir mendengar bicara Warda. Dia menggaru belakang kepala yang bertutup tudung. Hakikatnya, dia hampir buntu hendak mengajak gadis itu bersamanya ke karnival itu hujung minggu nanti. Itulah...jangan jadi seperti mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Benda yang belum pasti, jangan yakin sangat. Ini tidak, yakin betul Ifa memberitahu rakan mereka bahawa Warda akan ada sekali nanti.
"Hm... okeylah kalau macam tu, aku ada cadangan."
"Cadangan apa?"
"Kau sarung aje purdah yang mak cik kau bagi masa dia balik umrah dulu tu? Kau belum pernah pakai kan?"
Terus Warda berpusing duduk ke arah Ifa. Dia berkerut dahi. "Kau gila ke apa? Kau ingat senang ke nak sarung benda tu dekat public? Beban dia besar tau sekali dah sarung."
Ifa menggigit bibir bawah. Kalau cadangan yang itu tidak diperbolehkan...
"Okey-okey, kau pakai mask. Kalau terjumpa dengan siapa-siapa yang kenal kau or ajak bual ke apa, aku cover. Aku tolong jawabkan sebab kau sakit tekak. Nanti, kau pura-puralah batuk ke apa ke?" Ifa menjongketkan sebelah kening ke arah Warda. Kali ini, dia memang sudah tidak ada idea lain. Talian hayat pun tiada. Kalau cadangan yang ini pun Warda tolak, mahu dia pengsankan sahaja Warda dan dibawanya terus ke sana pada hari kejadian.
Asalkan janjinya tertunai.
Warda diam sejenak. Dia kelihatan teragak-agak hendak menolak cadangan Ifa. Apatah lagi apabila melihat riak wajah Ifa dan kerdipan matanya yang benar-benar mengharap agar Warda menerima ajakannya itu. Selang beberapa saat, Warda melepaskan keluhan perlahan. "Janji sekejap aje. Jangan makan sana. Beli semua bungkus. Makan either dekat rumah or dalam kereta anywhere."
Mendengar kata putus daripada Warda, wajah Ifa terus bersinar-sinar. Dia mengangguk-angguk tanda bersetuju seraya mengangkat sebelah tangan seperti orang berikrar. Belum sempat Ifa menyambut, Warda sudah menambah, "Tapi tak payahlah sampai nak pura-pura sakit segala. Over betul. Nanti, pandai-pandailah aku maniskan muka kalau jumpa siapa-siapa pun. Sampai bila aku nak mengelak daripada semua orang kan?"
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomantiekKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
