TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?-BAB 3-
Kepala dibaringkan di atas meja perpustakaan. Mata terkebil-kebil memandang ke arah rak-rak buku yang tersusun. Suasana sunyi-sepi di dalam perpustakaan itu hanya diisi dengan bunyi angin daripada pendingin hawa yang terpasang.
Sebentar lagi, kelas tambahan akan diadakan di dalam perpustakaan ini. Memandangkan Warda uzur syarie, dia tidak ke surau. Sebaliknya, dia ke perpustakaan terus.
Warda menguap sekali. Mata dikebil-kebilkan. Kantuknya bukan kepalang. Manakn tidak, malam semalam dia habiskan semua modul biologi sekali harung dan hanya mampu melelapkan mata saat jarum pendek sudah menghampiri angka tiga.
Perlahan-lahan, matanya tertutup.
Baru beberapa ketika Warda terlelap, kedengaran pintu perpustakaan dikuak daripada luar. Suara keramaian dari luar kedengaran mengisi ruang. Warda malas hendak mengambil kesah. Dia langsung tidak membuka matanya mahupun mengangkat kepala meskipun sudah dapat dia dengar bahawa ruang yang tadinya kosong kini sudah berpenghuni.
Selang beberapa minit kemudian, pandangannya yang tertutup dengan kelopak meredup— seperti sesuatu menghalangi matanya daripada cahaya. Dalam masa yang sama, bauan yang wangi mula menerobos rongga nasal membuatkan tidurnya terganggu. Tambahan, kepalanya juga terasa berat seperti ditutupi dengan sesuatu.
Warda membuka mata. Gelap!
Gelabah, dia terus mengangkat kepala. Fabrik yang menutupi kepalanya jatuh melorot membenarkan anak mata kembali menancap cahaya. Satu susuk tinggi lampai kemas beruniform sekolah beserta dengan bersongkok di kepalanya mengisi padang pandangan. Warda berkerut dahi. Tangannya menggapai fabril yang jatuh ke bahunya tadi lalu dibawa ke atas meja.
'Blazer ni ke dia buat serkup kepala aku? Mamat ni punya ke?' fikirnya.
"Kau bunuh aku ke apa?" soal Warda, berura-ura hendak memarahi gerangan kerana telah mengganggu lenanya yang sekejap itu.
"Bangun, duduk dalam kamar pujangga sana." Amrullah memberi arahan tanpa menjawab soalan Warda membuatkan Warda tambah bengang. Sudahlah mengantuk. Bangun-bangun sahaja sudah diberi arahan oleh si ketua pengawas ini.
"Apahal pula? Suka hati akulah nak tidur sini pun." Warda membuat keras kepala. Blazer di tangannya yang dia agak kepunyaan Amrullah. Bau minyak wangi ni memang bau dia. Tak dapat dinafikan lagi!
"Tak boleh. Pergi bilik pujangga sana. Sini semua lelaki. Budak perempuan belum sampai dari surau." Amrullah menyambung arahannya. Nadanya tegas, wajahnya juga.
Warda mengetap bibir geram saat dia menyedari kebenaran yang diberitahu oleh Amrullah. Pelajar lelaki menunaikan solat Zohor berjemaah di dewan— benar-benar berhadapan dengan perpustakaan manakala pelajar perempuan pula di surau yang terletak di bangunan belakang. Logiklah perpustakaan sekarang hanya diisi oleh pelajar-pelajar lelaki sahaja.
"Kamar pujangga panas." Warda masih berkeras. Bukannya dia kesah sangat pun kalau perlu pindah ke bilik pengajaran dan pembelajaran yang dituding oleh Amrullah sekali pun. Egonya membuatkan dia tidak mahu mendengar arahan Amrullah yang terlalu tiba-tiba itu.
"Lain kali duduk aje surau tu, boleh solat ke tak boleh solat. Jangan merayap sorang-sorang. Pergi aku cakap." Amrullah masih berkeras dengan suruhannya membuatkan Warda semakin marah.
"Kau ni tak boleh cakap elok-elok ke?!" Warda bangkit dengan pantas. Kerusinya ditolak kasar. Serabut!
"Kau nak dengar ke kalau aku cakap elok-elok?"
Warda membulatkan matanya. Amrullah ni memang sengaja cari pasal ke apa?
"Aku benci kau." Warda terus angkat kaki meluru ke arah bilik pengajaran dan pembelajaran yang bertanda 'Kamar Pujangga'. Tangan menekan suis bagi menghidupkan pendingin hawa. Lantas, dia menurunkan suhu pendingin hawa dengan menggunakan alat kawalan jauh.

ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomanceKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...