TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?Warda mengolengkan mata ke atas saat anak mata jatuh pada susuk tinggi lampai kemas berkemeja biru dengan bertali leher biru gelap itu menghampirinya. Rotan di tangan, dihayun-hayunkan di sisi badan.
"Assalamualaikum cik kak, awalnya cik kak datang jadi jaga ini hari." Pantas sahaja bibir lelaki itu menegur saat dia berdiri berhadapan dengan Warda. Warda sedikit mencebik mendengarnya.
"Waalaikumussalam encik. Bukan saya yang awal, awak tu yang lambat." Warda membalas dengan bidasan. Sengaja dia menelek jam analog yang terlilit pada pergelangan tangan kanan, berpura-pura hendak tahu sangat tentang masa sedangkan melihat betapa terangnya cahaya mentari yang menampar terus pada wajah lelaki itu, dia sudah dapat mengagak jarum pendeknya berada di mana.
"Excuse me. Saya lambat bukan sebarang lambat. Saya lambat setelah berbakti pada ummah. Lagipun, ada lagi masa sebelum pagar tutup kan?" Pantas bibir Amrullah menukas pertuduhan yang dijatuhkan ke atasnya. Rotan yang masih berada di tangan dibawa ke belakang. Kedua-dua tangan disatukan di belakang badan seolah-olah seorang guru disiplin.
Alang-alang rota ini Cikgu Tarmizi yang punya, baik dia berlakon jadi Cikgu Tarmizi sekejap sementara menanti 'urusan pagi' mereka.
"Dah tahu diri sendiri tu jawatannya dekat mana, nak juga jadi imam sekolah. Patutnya diri tu kenalah belajar tinggal mana yang tak penting, genggam mana yang penting. Lagi pula, setiap hari Al-Mathurat tu sama aje ayat-ayatnya, makhrajnya, lagunya. Kenapa tak record lepas tu play aje hari-hari. Kalau susah sangat, guna audio dekat dalam Youtube tu." Warda membebel panjang lebar sementara matanya masih memandang ke hadapan. Langsung dia tidak hiraukan bunyi kenderaan-kenderaan dari jalan besar yang sibuk—lalu-lalang memandangkan mereka berada di sebelah pagar sekolah menengah yang masih terbuka.
Sambil membebel, sempat dia tersenyum dan menyapa hormat guru-guru yang baru memasuki pagar utama. Para pelajar yang masuk sama ada dengan berjalan kaki mahupun bermotosikal— yang sempat bertentang mata dengannya juga, dia hadiahkan senyuman manis.
"Mana boleh macam tu, nanti bosanlah dengar suara yang sama aje hari-hari. Lagipun, ada suara sedap apalah salahnya bagi satu sekolah dengar. Dapat pahala lagi. Dramalah kau. Aku datang aje sini setiap hari— cuma lambat sikit aje kalau aku bertugas dalam bilik multimedia tu, bukannya selalu pun. Seminggu sekali aje." Amrullah masih enggan kalah mempertahankan hujahnya.
"Lelaki dan alasan." Warda menelek jamnya sekali lagi. Sudah empat minit berlalu selepas jam tujuh setengah pagi. Lagi seminit sebelum waktu 'ihsan' habis, Warda terus angkat kaki menuju ke arah pagar utama. Dia hendak menarik pagar utama sehingga separuh terbuka sebagai petanda bahawa waktu masuk ke sekolah sudah tamat lima minit yang lepas.
Rasionalnya adalah, para pelajar yang masuk bermotosikal, mahupun berjalan kaki akan terus dibawa ke astaka berdekatan tepi pagar utama untuk direkodkan namanya sebagai pelajar yang datang lewat ke sekolah manakala kenderaan para guru dan kenderaan lain masih dibenarkan masuk seperti biasa. Bagi rekod pelajar yang datang lambat dengan berkereta, akan ada pengawas lain bertugas di tempat parkir kereta pelajar.
Warda mengambil nafas sebelum memegang besi paling hujung dengan kedua-dua belah tangan. Pagar ini memang agak berat. Kalau tak kena gaya, tak bergerak dibuatnya.
Baru dia hendak menarik dengan sekuat hati, besi yang dipegangnya sudah bergerak ke arah tempat sepatutnya ia ditarik. Warda mengangkat muka dan berpaling ke hujung yang satu lagi. Kelihatan Amrullah sedang menolak pagar tersebut dengan sebelah tangan.
Warda hanya memerhatikan sehinggalah Amrullah selesai melakukan tugasnya. Lelaki itu mendekatinya. "Lain kali ringankan mulut tu minta tolong. Ego sangat."

ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomanceKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...