TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?Warda membuang pandang ke arah tingkap. Helaan nafas berat dia lepaskan. Melihat pada pelajar keluar keluar daripada pintu pagar utama sekolah yang terletak berdekatan dengan hospital tempat dia menjalani latihan kedoktoran ini membuatkan dia teringat kepada momen-momen terakhirnya bergelar pelajar sekolah menengah.
Sekarang barulah Warda mengerti kata-kata kakaknya sewaktu dia berada di sekolah menengah dahulu. Benarlah, zaman sekolah rendah hingga sekolah menengah adalah zaman yang paling seronok. Waktu itu mereka hanya perlu belajar pada waktunya dan bermain pada waktunya. Tidak perlu memikirkan tentang perihal yang menanti sebaik sahaja mereka pulang daripada sekolah. Politik? Ekonomi? Masalah peribadi? Langsung tidak ada di dalam kepala.
Sekarang?
Sudahlah dada sesak memikirkan pelajaran, dia perlu pula memberi sedikit ruang untuk berfikir tentang ekonomi sendiri. Politik juga. Itu belum dikira lagi dengan masalah peribadi. Masalah paling kerap membuat orang seusianya puyeng dan tidak tidur malam sudah tentulah perihal keluarga dan masalah dalam perhubungan.
Nasib sahaja Warda masih solo. Jika tidak, mahu dia juga menjadi seperti rakan-rakannya yang sudah berteman dan bertunang. Ada kala, makan pun tidak lalu memikirkan belahan jiwa.
Kopi berasap nipis di dalam mug yang dipegangnya diperhatikan sesaat. Entah mug keberapa entah yang dipegangnya sekarang, Warda tidak tahu. Apa yang dia tahu, dia sangat memerlukan kopi itu agar dia tetap cergas menghadapi hari ini.
Manakan tidak, sekarang dia sedang posting di jabatan pembedahan. Jabatan yang dikatakan sebagai jabatan paling menyakitkan kepala dalam satu-satu tahun pengajian. Sesi oncall malam tadi pula habis pada jam satu pagi. Tolak-tarik dengan waktu Warda pulang ke rumah sewa, membersihkan diri, mengemas apa yang patut dan tidur, dia hanya mampu lelap pada jam tiga setengah pagi. Setelah itu, seawal lima pagi dia sudah bangkit untuk bersiap ke hospital kerana dia perlu hadir sebelum jam enam pagi.
Letih?
Entah.
Warda sendiri tidak tahu apa yang dia rasakan sekarang. Hakikatnya, memang penat tetapi ini pilihan dia. Sejak sekolah lagi, dia sudah dapat melihat bayangan dirinya di dalam barisan para doktor pakar. Kalau bukan jalan ini yang perlu dia hadapi, dia sendiri tidak tahu dia akan berakhir di mana.
Jam di pergelangan tangan dia kerling. Ada lagi kurang lebih empat puluh lima minit sebelum tempoh rehat bagi makan tengah hari tamat. Warda telah menghabiskan satu jam tadi untuk qadha tidur. Lagipun dia masih belum lapar jadi bangun sahaja daripada tidur, dia mencari kopi terlebih dahulu.
Warda meneguk kopi yang berbaki seraya mencapai telefon bimbit di atas meja seraya dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Dia membuka langkah menuju ke arah surau.
Setelah menunaikan solat, Warda lekas-lekas keluar menuju ke wad tempat dia bertugas. Hanya tinggal sepuluh minit sebelum waktu untuk ward round yang seterusnya. Dia perlu sampai paling kurang lima minit lebih awal. Kalau dia lambat, memang habis! Mahu sampai hujung posting dia kena aim dengan pensyarah yang mengajar kumpulannya hari ini.
Warda mengemaskan kot putih yang disarungkan di badannya. Sambil dia berjalan, dia memeriksa poket-poket kot putihnya bagi memastikan dia membawa sekali semua peralatan yang diperlukan sebelum ke ward round. Steteskop, ada. Torchlight, ada. Tendon hammer, ada. Poket lagi satu diseluk. Buku nota kecil untuk history taking patients hari ini, ada.
Senyuman Warda mati apabila dia menyedari sesuatu. Pen? Pen! Pen mana?! Mana dia letak pen dia tadi?!
Rahang Warda jatuh apabila dia teringat bahawa pennya ada dipinjam oleh specialist yang berselisihan dengannya di dalam wad sebelum dia keluar untuk rehat tengah hari tadi. Warda mengetap bibir mengenangkan dia terlupa hendak meminta semula pen yang dipinjamkannya tadi.
YOU ARE READING
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomanceKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...