TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
Tulis, padam. Tulis, padam.
Akhirnya Amrullah menutup telefon seraya menyimpannya ke dalam poket seluar. Tidak berani hendak mencuba nasib menghantar mesej pada nombor lama Warda selagi belum mendapat izin wanita itu. Sudahnya, dia membuang pandang ke arah padang kawad yang kosong. Daripada kedudukannya di balkoni tingkat tiga, bukan sahaja padang kawad menjadi cakupan matanya, sports arena juga dapat dia lihat. Subuh masih hening tetapi matanya sudah segar dek terbiasa bangkit seawal lima pagi setiap hari.
Baru beberapa ketika dia mengelamun, bahunya terasa dipegang oleh seseorang.
Yusuf mengangkat kedua-dua belah kening saat wajah Amrullah berpaling ke arahnya. "Jauh betul kau mengelamun. Fikirkan apa?"
Amrullah menggeleng. Dia berpusing badan menghadap ke arah Yusuf yang sedang mengemaskan uniform yang tersarung pada badan. "Topi aku."
Yusuf menghulurkan topi berlambang sauh hitam di tengah-tengahnya itu kepada Amrullah. Sebaik sahaja topi berkenaan bertukar tangan, Amrullah menepuk-nepuk sedikit bahagian atas topi itu seraya mengemaskan bentuknya. Dipakaikan di kepala.
Yusuf juga melakukan hal yang sama dengan Amrullah. Mereka berdua jalan beriringan menuju ke arah tangga. "Ceritalah. Kau ni berat betul mulut. Kalau kau ada masalah, beritahu pada aku. Aku ni kawan kau. Nak juga aku tolong kau."
Amrullah memperlahankan langkah sebaik sahaja mereka memijak pada anak tangga terakhir. "Aku tak tahu nak cerita dekat kau macam mana."
Yusuf tertawa kecil. Dia berdiri di hadapan Amrullah menghalang laluan lelaki itu. "Hek eleh... dengan aku pun nak guna ayat template tu ke? Kau cerita ajelah biar aku tolong susunkan. Meh."
"Semalam aku terjumpa dengan kawan perempuan aku zaman sekolah dulu."
"Lepas tu?"
Amrullah mengeluh perlahan. "Cerita dia complicatedlah. Aku tak rasa sempat nak cerita sekarang. Dahlah, jom cepat. Nanti karang lambat habis semua kena." Amrullah mengelak daripada Yusuf. Deras langkahnya meninggalkan Yusuf terpinga-pinga di belakang.
"Oi! Tunggulah!"
MATAHARI sudah tegak di atas kepala, Warda masih berselubung di bawah selimut. Biliknya masih gelap dek langsir yang belum disingkap. Sebaik sahaja menunaikan solat subuh, Warda tidak terus bangun dan membersihkan diri. Sebaliknya, dia tidur semula. Manakan tidak, malam tadi dia hanya boleh terlelap jam empat pagi. Alang-alang hari ini cuti, biarlah dia bermalas-malasan bagi menggantikan seminggu yang sudah dihabiskan dengan pembelajaran di hospital.
Warda membuka kelopak matanya perlahan. Dia menelentang menghadap ke arah siling putih di atas kepala. Jari naik mengesat mata. Dengan mata yang masih separa tertutup, dia meraba-raba ruang katil di sebelahnya. Telefon dicapai dan dihidupkan.
Warda hanya mampu tersenyum saat melihat nombor yang terpapar sebagai penanda waktu. Sudah pukul dua belas setengah petang. Padanlah rasa panas semacam.
Tidak dapat tidak, Warda bangkit daripada tidurnya. Rambut yang berserabai dikuak ke belakang sebelum kaki mengorak malas ke arah langsir yang menutupi tingkap. Sebaik sahaja kain gelap itu disingkap, anak matanya terus disapa cahaya yang menerangi seluruh bilik.
"Selamat pagi dunia." Warda berbisik perlahan. Dia terus beralih ke bahagian almari. Tuala diambil dan ke tandas dia menuju.
Sesudah membersihkan badan dan terasa lebih segar, Warda bergerak ke luar bilik. Rambut yang basah dibalut dengan tuala khas untuk mengeringkan rambut. Telefon dibiarkan di atas meja sebelum anak mata mengerling ke segenap ruang.
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomanceKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
