Uniform tentera terletak kemas pada badan. Dikemaskan kolar baju sebelum dia bergerak ke meja. Bingkai gambar yang menjadi hiasan di atas meja diangkat. Gambar keluarga Wang ditatap sebelum kembali diletakkan di atas meja. Sebelum berlalu keluar daripada rumah, tabik hormat diberikan kepada ahli keluarganya.
Kereta milik Zach meluncur laju memasuki kawasan kem tentera. Hari ini, dia akan mula melatih pelatih-pelatih baharu. Sebaik sahaja dia tiba di dalam perkarangan kem tersebut, dia berlalu ke bilik ketuanya. Pintu bilik dikuak daripada luar. Dia melangkah sehingga kaki akhirnya terhenti di hadapan meja ketuanya. Tabik hormat diberikan.
"Welcome back, captain."
"Terima kasih tuan. Boleh saya tahu kenapa tuan nak jumpa saya?"
Mejar Razi teragak-agak untuk berbicara. Dia mempelawa Zach untuk duduk di kerusi berhadapan dengan mejanya.
"Duduk."
Zach melabuhkan duduk dan masih setia menanti apa yang bakal keluar daripada mulut ketuanya. Perlahan-lahan komputer riba dipusingkan supaya Zach dapat melihat skrinnya.
Zach membaca artikel yang terpapar pada skrin komputer riba itu. Artikel tersebut dikeluarkan setelah seorang lelaki dilaporkan hilang sewaktu pulang dari tempat kerjanya. Kereta yang dipandu mangsa telah dijumpai di dalam semak-samun. Pihak berkuasa juga telah menemukan sekeping kertas pada tempat duduk pemandu. Nama mangsa telah ditulis pada kertas itu dengan darah yang telah dikenalpasti sebagai darah milik mangsa.
"Kenapa tuan tunjuk artikel ni pada saya?" Zach menyoal kepada ketuanya. Dia bingung dengan tujuan Mejar Razi menunjukkan artikel tersebut.
"Saya cuma nak awak bersedia dengan sebarang kemungkinan." Suara Mejar Razi serius.
Dahi Zach berkerut. Bersedia untuk sebarang kemungkinan? Apakah kaitan kes tersebut dengan dirinya?
"Kemungkinan apa, tuan?"
"Kes orang hilang makin menjadi-jadi sekarang. Tapi, kes kali ini bukan seperti yang biasanya. Penculikan mangsa-mangsa yang hilang ini mungkin telah dirancang."
Wajah Zach menjadi serius. Dia kembali menyoal mengenai kes itu.
"Apa maksud tuan?"
Mejar Razi hanya menjuihkan bibir ke arah komputer riba itu. Jari-jemari Zach mula bermain dengan tetikus. Dia skrol ke bawah artikel itu. Dia kembali mendongak melihat ketuanya. Kemudian, satu video dimainkan.
Rakaman sekumpulan manusia yang ditutupi dengan topeng menakutkan yang berlainan. Suara mereka menjerit-jerit meminta pertolongan. Tiba-tiba, suara garau seorang lelaki menyapa di sebalik rakaman itu. Dia ketawa dan mengilai seperti orang gila sebelum rakaman itu dimatikan.
"Tuan?" Nafasnya tersekat. Gelisah mula mengawal diri.
"Rakaman tersebut dihantar kepada saya semalam. They believe that it might be some terrrorist. Sekarang, saya nak awak dan pasukan awak bersiap-sedia. Berkemungkinan kita akan mengetuai misi ini. Saya letakkan harapan yang tinggi pada awak, kapten."
Zach terus berdiri.
"Tuan! Kalau dah tahu, kita kena bertindak cepat, tuan!"
"Kita tak dapat sebarang arahan lagi, kapten. Berkemungkinan rakaman tersebut adalah palsu. Tak ada bukti yang menunjukkan bahawa kes kehilangan ini telah dirancang. Cuma, jangan beritahu fasal ni kepada sesiapa lagi sampai kita dapat arahan nanti. Faham, kapten?"
Tangan dikepal menjadi penumbuk. Mahu tidak mahu, dia perlu patuh dengan arahan ketuanya.
"Faham, tuan!"
"Then, you're free to go. Welcome back, captain." Mejar Razi tersenyum kepada Zach.
Tabik hormat diberikan lalu dia berlalu keluar. Sepanjang dia berjalan menuju ke kawasan latihan, otaknya sedang geliga memikirkan rakaman tadi. Hatinya berasa seperti rakaman itu seperti sebuah ancaman kepada pasukannya atau lebih tepat lagi kepada dirinya. Sewaktu dia leka dengan fikiran sendiri, bahunya dirangkul oleh tangan sasa seseorang.
"Helo Dage! Abang besar kita sudah mari. Lama kau cuti. Selamat datang kembali ke rumah asal kau."
Tangan itu dialihkan daripada bahunya dengan sedikit kasar. Mata dijulingkan ke atas. Dia melemparkan riak menyampah manakala gerangan di sebelahnya sedang tersengih girang.
"Kau nak apa, Aqeel?"
"Hehehe. Sajalah aku nak beramah mesra dengan kau, kapten. Aku sunyi tahu masa kau tak ada dekat kem ni." Aqeel memaparkan riak sedih. Tangan naik merangkul lengan Zach lalu kepala dilentokkan ke bahu ketuanya itu.
"Kau ni dah macam songsang dah aku tengok. Pergilah sana. Geli tahu tak?!"
Wajah Aqeel ditolak kasar menjauhinya. Lengannya dikibas kasar.
"Aish, jijik!"
Dia berlalu dengan pantas meninggalkan Aqeel yang sedang ketawa terbahak-bahak. Dia berpuas hati dapat mengenakan sahabat baik yang merangkap ketuanya itu. Cepat-cepat dia mengekori langkah besar ketuanya itu.
"Hoi, perempuan! Bangunlah! Matahari dah tunggu masa je nak terbenam. Tak tahu nak bangun lagi ke?"
Tubuh Rania ditampar dengan kuat. Angela geram kerana dia telah cuba untuk membangunkan Rania daripada tidur yang berjam-jam lamanya. Hari ini mereka berdua bercuti kerana kafe milik Encik Rafiq ditutup pada hari Sabtu. Mereka kini berada di rumah ibu Rania untuk meluangkan masa menyambut hari lahir adik kembar Rania iaitu Amir dan Amar semalam. Dek kepenatan, mereka mengambil keputusan untuk bermalam di situ.
Mereka sepatutnya bertolak pulang ke rumah sewa pada petang ini namun rancangan asal itu tergendala akibat Rania yang tidur lena seperti mati. Berkali-kali ibu Rania dan Angela memanggilnya untuk bangun namun dia kembali melelapkan mata.
"Okey, kau tak nak bangun kan? Kau tunggu kejap."
Angela memberi amaran kepada Rania. Dengan bibir yang terkumat-kamit membebel, dia berlalu ke ruang tamu. Kemudian, dia kembali ke dalam bilik Rania.
"Ibu! Banjir!" Kuat suara Rania menjerit memanggil ibunya.
Angela yang berada di sebelah katil hanya mencekak pinggang. Teruk betul sahabatnya itu bermimpi. Botol penyembur air milik Puan Melissa yang berada di tangannya dipicit berkali-kali menyembur air ke muka Rania.
Sebaik sahaja Rania sedar, dia mengelap wajahnya yang kebasahan dengan lengan baju. Jelingan maut diberikan kepada Angela. Angela hanya menayangkan riak mendatar tidak terkesan dengan amaran Rania.
"Kau dah apa pasal main sembur-sembur muka orang ni?" Rania mencebik kegeraman.
"Dah kau tu yang tak tahu nak bangun. Silap hari bulan, gempa bumi pun kau tak sedar. Bangunlah. Nak balik dah ni. Esok kerja. Aish, membongkang je kerja kau."
"Enyenyenye." Rania mengajuk cara Angela berbicara.
Geram dengan sikap Rania, Angela bertindak membaling bantal tepat ke arah wajah Rania. Kemudiannya, dia keluar dari bilik itu. Dari luar bilik dia menjerit,
"Mandi cepat, Rania! Dasar kambing!"
"Diamlah! Aku nak mandilah ni!"
Setelah semuanya siap, kedua-dua sahabat baik itu meminta diri untuk pulang ke rumah sewa mereka. Mereka memandu kereta Perodua Myvi milik Rania memasuki lebuhraya utama. Kereta tidak begitu banyak di atas jalan raya keran ia bukan musim cuti sekolah. Angela yang leka memandang ke luar tingkap melihat ke arah cermin sisi kereta. Dahinya berkerut.
"Rania..." Angela menyeru nama Rania.
"Apa?"
Dengan mata yang masih merenung ke cermin sisi, Angela memberi arahan kepada Rania untuk mengubah lorong ke lorong kiri.
"Kau masuk lane kiri. Kereta belakang ni ikut rapat sangat."
Rania melihat ke cermin pandang belakang. Sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam sedang memandu terlalu rapat dengan keretanya. Dia mengubah laluan ke lorong kiri. Sangkaan mereka, kereta tersebut bakal memecut laju ke hadapan namun mereka silap. Kereta tersebut turut menukar laluan ke lorong kiri. Pada saat itu, mereka sedar bahawa mereka sedang diekori.
YOU ARE READING
THE DEATH EATER
ActionKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...