*Ehem2! Haluo!!! Saya update bab baru ni huehueheue... Happy reading!
*Seluruh idea dalam penulisan The Death Eater adalah milik penulis sendiri, Adwa Nafeesa. Dilarang sama sekali untuk plagiat. Terima kasih!
***
"Roti... Mi segera... Kopi segera... Mi segera lagi..."
Beberapa jenis makanan dimasukkan ke dalam troli. Rania bergerak daripada satu rak ke rak yang lain dan terus memasukkan barang-barang ke dalam troli. Angela yang sedang menolak troli sudah membuka kalkulator pada telefon pintarnya untuk mengira harga kesemua barangan itu.
Tidak berkedip mata Angela apabila melihat Rania yang seperti dirasuk hantu apabila dia menjerit sambil berlari mendapatkan mi segera edisi terhad yang sudah lama diinginkan. Troli ditolak mendekati Rania. Badan ditundukkan sedikit dan lengan diletakkan pada pemegang troli tersebut.
"Kau ni macam tak pernah jumpa makanan dah kenapa? Banyak dah ni makanan kita beli. Lari bajet kita nanti..."
Rania menarik muncung sambil mengedipkan kedua-dua matanya berkali-kali meminta keizinan Angela untuk membeli mi segera edisi terhad itu. Jelingan tajam diberikan kepada Rania. Angela diam sejenak sebelum dia mendengus geram. Kaki dihentak berkali-kali dengan kuat di atas lantai.
"Ish! Belilah! Benci aku dengan kau ni tahu tak?"
Rania melompat dengan girang lalu memeluk erat Angela. Pipi Angela cuba dicium namun gagal apabila Angela menjarakkan wajahnya.
"Ibu! Tolong Angela! Ada ikan cuci cermin dekat sini!" Tubuh Rania ditolak dengan kekuatan penuh.
"Kurang asam betul! Kau kata aku ni ikan cuci cermin?"
Di dalam pergelutan antara dua sahabat itu, ada seorang lelaki yang berjalan menghampiri mereka. Lelaki itu menyeru mereka berdua daripada belakang dan berjaya menarik perhatian dua orang gadis itu.
"Err, hai... Maaf tapi awak berdua ni Angela dengan Rania ke?" soal lelaki itu dengan senyuman.
Angela dan Rania terus menoleh ke belakang melihat wajah lelaki itu. Dahi mereka berkerut. Mereka berasa seperti wajah itu pernah dilihat sebelum ini tetapi mereka lupa.
"Hahaha, nampaknya betullah ni kau orang berdua. Ini akulah, Izhar! Tak ingat? Kita satu sekolah dulu." Tawa lelaki itu terletus apabila melihat mereka berdua kebingungan.
"Oh! Izhar rupanya. Lain betul kau sekarang... Kau nampak makin..." Rania membalas.
Rambut lelaki itu tersikat rapi sekarang. Berbeza dengan rambutnya ketika masih bersekolah. Baju kemeja berwarna biru cair dikenakan pada tubuh dan dilengkapi seluar slack hitam. Pandangan Angela dilemparkan sekeliling lalu mendarat kembali pada lelaki di hadapannya. Si lelaki ini mahu membeli barang rumah ataupun pergi ke pejabat? Tetapi, hari ini merupakan cuti umum. Siap dengan tali leher lagi.
"Makin kacak bergaya kan? Hahaha! Macam oppa Korea kan?" Semakin kuat tawa Izhar.
'Opah kau!' Hati Angela menjerit.
Angela pula sudah memaparkan wajah tidak selesa dengan kehadiran lelaki itu. Wajahnya bertukar bengis. Lelaki itu merupakan murid kelas sebelah ketika di sekolah dahulu. Izhar sangat terkenal dengan sifat buaya daratnya sewaktu di sekolah. Berita mengenai Izhar menyukai Rania juga telah menjadi topik hangat sehingga Rania terpaksa berpindah sekolah.
Para gadis yang meminati Izhar menyebarkan fitnah bahawa Rania telah menggoda Izhar. Reputasi Rania menjadi buruk disebabkan fitnah itu walaupun sudah berkali-kali dia cuba menerangkan situasi sebenar. Rania tidak pernah tahu dengan kewujudan Izhar sehinggalah berita itu tersebar. Ibu bapa Rania memilih untuk menukarkan Rania ke sekolah yang lain untuk menjaga kesihatan mental Rania.
Angela juga turut berpindah ke sekolah yang sama dengan Rania. Ibu bapa Rania membiayai perbelanjaan Angela di sekolah dan hanya meminta Angela untuk sentiasa berada di sisi Rania dan melindunginya. Sebelum berpindah, Angela hampir bertumbuk dengan Izhar kerana geram. Lelaki durjana itu. Siapa sangka mereka bakal bertemu dengan lelaki ini lagi?
"Kau buat apa dekat sini?! Aku dah cakap jangan tunjuk muka kau lagi depan Rania?!" Angela meluru ke arah Izhar lalu mencekak kolar baju lelaki itu. Dada berombak menahan amarah. Tindakan Angela menarik perhatian beberapa orang pelanggan di situ. Rania terus menarik Angela. Dia cuba meredakan kemarahan Angela.
Izhar sudah terbatuk-batuk sambil cuba mencari nafas yang bagai direntap sebentar tadi. Angela masih tidak berubah. Di sekolah, Angela mendapat gelaran sebagai harimau putih. Gadis itu sentiasa kelihatan tenang namun mereka tidak dapat menduga bila dia akan mengaum seperti seekor pemangsa yang hebat. Tiada sesiapa yang berani mendekatinya. Izhar menunduk sambil meminta maaf kepada Angela.
"Aku minta maaf. Bukan niat aku untuk sakitkan Rania dulu. Aku pun tak tahu kenapa mereka sebar fitnah tu. Aku tak berani nak buat apa-apa masa tu. Aku minta maaf sangat-sangat." Takut-takut Izhar menyatakan permohonan maafnya.
"Angela... Sudahlah tu... Perkara tu dah lama berlalu. Kita pun dah habis sekolah bertahun-tahun. Sabar, okey?" Rania mengusap lembut belakang Angela yang masih menahan api kemarahan.
"Kau bernasib baik Rania ada sekarang. Kalau tak, dah lama kau makan penumbuk aku." Angela bersuara dengan rahang diketap kuat. Tangan dikepal menjadi penumbuk, bersedia untuk dilayangkan bila-bila masa sekiranya dia mendapat arahan daripada Rania.
"Err... Kami pergi dulu, Izhar. Jangan risau, perkara dah lepas. Aku tak berdendam pun dengan kau. Kita pun budak-budak lagi masa tu. Tapi, aku harap kau tak ulang lagi kesalahan tu. Maruah perempuan bukan sesuatu untuk kau pijak-pijak. Kau pun tahu aku tak ada perasaan pada kau."
Izhar hanya mampu mengangguk. Tiada kata-kata yang terkeluar daripada mulut lelaki itu. Dia bimbang sekiranya dia bersuara, dia bakal menjamah penumbuk Angela. Rania terus menarik Angela dan mula berjalan meninggalkan lelaki itu. Setelah siap membayar, mereka beransur ke kereta untuk menyimpan barang-barang itu sebelum kereta itu dihidupkan dan meluncur laju keluar dari perkarangan parkir kereta.
"Angela... Kau marahkan aku ke?" Perlahan suara Rania bertanya.
Rania masih dapat merasakan bahawa api kemarahan masih marak di dalam hati Angela. Dia melihat tangan Angela yang menggenggam erat stereng kereta. Setelah lama berdiam diri, Angela melepaskan keluhan berat. Dia menggelengkan kepala beberapa kali.
"Aku tak marahkan kau. Aku cuma tak boleh nak maafkan lelaki tu. Maruah kau rosak disebabkan dia. Semua orang pandang serong pada kau disebabkan dia. Aku tak faham macam mana kau boleh maafkan dia." Angela meluahkan rasa kesalnya.
"Perkara tu kan dah lama berlalu. Biarlah dekat dia. Aku kan ada kau? Kau selalu jaga aku."
"Haih... Suka hati kaulah. Kau nak pergi kedai buku tak? Kau pun dah lama tak beli buku kan?"
"Nak! Jom!" Rania terus tersengih menayangkan barisan gigi putihnya.
Angela turut tersenyum sebelum dia memutar stereng menuju ke sebuah kedai buku di pusat beli-belah berdekatan. Setibanya di pusat beli-belah itu, mereka turun daripada kereta yang diparkir lalu menuju ke kedai buku tersebut.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kedai buku itu, langkah mereka terhenti apabila ada suara-suara garau yang bergaduh mulut. Dua orang lelaki itu sedang berebut buku terakhir di atas rak buku. Laju kaki Angela mahu berpatah balik sebelum dia diseru oleh salah seorang lelaki itu.
"Eh, Angela!"
Mata terpejam rapat dan laju dia membuka langkah untuk keluar daripada situ sebelum dia tercekik apabila Rania menarik hud baju sejuknya. Tanpa rela dia diheret oleh Rania mendekati dua orang lelaki itu. Hatinya menangis mempersoalkan nasibnya. Ramai betul manusia yang dia perlu hadap hari itu.
'Hari ni memang hari perjumpaan sedunia ke? Aku nak balik!'
Dua orang lelaki itu hanya tertawa melihat Angela yang melangkah secara paksa rela. Wajah gadis itu sudah masam mencuka. Gelagat Angela mencuit hati jejaka yang sedang berdiri di hadapannya sekarang. Adakah ini jodoh?
YOU ARE READING
THE DEATH EATER
AcciónKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...