*Nota penulis: Assalamualaikum semua... Pertama sekali saya nak minta maaf sebab tak dapat update dengan kerap untuk beberapa minggu ni sebab saya busy dengan study. InsyaAllah, saya akan cuba update bila saya dah ada masa sikit nanti ya? Jangan marah sebab lambat update tau... Sini, saya update dulu bab baru yang saya sempat tulis minggu lepas...
Telefon pintar bergetar di atas meja. Angela menghampiri meja makan sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala kecil. Telefon pintar itu dicapai lalu dilihat nama pemanggil pada skrin. Nombor yang tidak dikenali. Tidak menjawab mahupun mematikan panggilan itu, dia hanya merenung kosong sehingga getaran telefon pintar itu berhenti bergetar. Telefon pintar itu kembali diletakkan di atas meja.
Tidak sampai beberapa saat telefon itu mendarat di atas meja, ia kembali menjerit menandakan ada panggilan baru. Angela menekan ikon merah untuk mematikan panggilan tersebut. Baru sahaja dia mahu melangkah, telefon itu berbunyi lagi. Dia terus mencapai telefon pintar itu dan menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali itu dengan rasa sebal.
"Helo?"
"Angela! Ingat saya tak? Saya Aqeel."
Telefon pintar yang ditekap pada telinga dijarakkan sedikit. Bingit telinganya akibat jeritan Aqeel di hujung talian.
"Tak kenal." Angela berkata dengan wajah yang mendatar.
Baru sahaja dia berura-ura mahu mematikan panggilan tersebut, cepat-cepat Aqeel menjerit untuk mendapatkan perhatiannya.
"Jangan letak panggilan dulu! Saya Aqeel, kawan bos awak. Encik Rafiq. Err... Awak ingat?"
Jeda. Setelah beberapa saat, Angela kembali bersuara.
"Ya, saya ingat. Encik Salam." Suara Angela tetap mendatar tiada perasaan manakala Aqeel sudah terpinga-pinga di hujung talian.
"Encik Salam? Siapa tu? Dia cuba mengurat awak ke?" Aqeel menyoal dengan penuh tanda tanya. Siapa pula Encik Salam ini? Adakah dia pernah mengurat Angela juga?
Hati mula rasa terbakar apabila nama lelaki asing bermain di mulut Angela, gadis idamannya yang telah mencuri hati sejak pertama kali bertemu. Satu-satunya gadis yang tidak berminat dengan kehadirannya berbeza dengan gadis-gadis yang lain.
"Encik yang beri salam dekat saya masa dekat kafe hari itu kan? You were with your Chinese friend. Kawan kepada Encik Rafiq."
"Err... Hahaha... Ya, betullah tu. Sayalah Encik Salam tu." Sekali lagi Aqeel diperingatkan tentang kejadian yang memalukan itu. Malu tujuh keturunan kerana keputusan melulu untuk memberi salam kepada gadis itu. Jika dia membuat keputusan melulu seperti itu di medan perang, memang dia menggali liang lahad sendiri.
"Ada apa-apa yang encik nak cakap pada saya? Siapa yang bagi nombor telefon saya pada encik?"
"Oh, Rafiq yang bagi. Erm... Rafiq bagitahu saya yang awak dan kawan awak kena kejar dengan orang yang tak dikenali hari tu. Awak okey ke?" Dengan penuh prihatin soalan itu ditanya kepada Angela.
"Okey." Sepatah sahaja yang dituturkan oleh gadis itu.
"Awak takut ke? Trauma?"
"Tak."
"Awak nak saya temankan awak balik setiap kali habis syif ke? Saya tentera tahu? Keselamatan negara pun saya boleh jaga apatah lagi nak menjaga keselamatan awak." Dengan penuh bangga dia menuturkan ayat itu. Ayat buaya darat.
"Tak."
Aqeel mencebik. Begitu panjang ayat yang dikarang untuk berbual dengan gadis itu malah hanya sepatah perkataan yang dibalas oleh gadis itu iaitu... Tidak. Tidak. Dan... Tidak.
"Awak simpanlah nombor telefon saya ni. Kalau ada apa-apa, awak telefon saja saya. Saya akan selalu bersedia untuk jawab panggilan daripada awak kecuali sewaktu saya dalam operasi. Awak simpan tahu! Jangan tak simpan!"
"I'll see about that later." Tiada perubahan pada nada dan riak wajah Angela. Masih beku seperti ais. Mungkin otot wajahnya tidak berfungsi dengan baik. Susah betul mahu senyum. Apabila dengan Rania, bukan main dia mengilai tidak ingat dunia.
"Okeylah kalau macam itu... Maaf kacau awak malam-malam macam ini. Saya cuma risaukan awak lepas dengar Rafiq cerita hari tu. Jaga diri. Selamat malam, Angela." Lembut suara Aqeel mengucapkan selamat malam kepada Angela sebelum panggilan dimatikan sendiri kerana dia tahu bagaimana reaksi Angela selepas itu. Beku. Beku dan dingin seperti kutub utara.
Skrin telefon pintar yang bertukar hitam itu direnung lama. Lama dia berfikir sama ada mahu menyimpan nombor Aqeel ataupun tidak. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk menyimpan nombor jejaka itu. Nama pada kontak itu ditaip sebelum telefon itu dilemparkan ke atas meja makan.
Angela berjalan menuju ke ruang tamu di mana Rania sedang menonton drama Hindustan. Beberapa gumpalan tisu dengan kesan hingus Rania berselerak di atas sofa. Sebelum melabuhkan duduk di sebelah Rania, tisu-tisu itu dikuis ke arah Rania menggunakan kaki.
"Ish! Najis!"
"Diamlah kau! Potonglah kau ni. Aku tengah layan perasaan ni." Mata Rania masih tertancap pada skrin televisyen sambil mengelap hingusnya yang mengalir bak air terjun akibat menahan tangisan.
"Kau ni... Tak mencabar langsung. Menangis, menyanyi. Lepas itu, mati katak. Lepas itu, menangis lagi. Itu saja plot ceritanya. Sedih betul kau ni."
"Eh, perempuan. Kau diam sekarang sebelum aku sumbat tisu-tisu ni dalam mulut kau."
Angela mencebik. Baru sahaja dia mahu menonton filem aksi kegemarannya namun dia terlambat. Rania sudah memiliki kuasa sepenuhnya ke atas alat kawalan jauh itu. Maka, terpaksalah dia melayan tangisan-tangisan di kaca televisyen dan juga daripada gadis di sebelahnya.
"Rania..." Angela menyeru sahabatnya itu.
Tiada jawapan.
"Rania..."
Tiada jawapan.
Angela menoleh ke kiri lalu bantal kecil di atas sofa dilayangkan ke muka Rania. Dia menjeling geram. Buat-buat pekak pula si Rania ini. Entah berapa tahun tidak korek telinga. Tisu yang digunakan untuk mengesat hingus itu sudah masuk ke dalam lubang hidung Rania sepenuhnya.
"Hoi! Sakitlah!"
Tisu yang tersekat di dalam lubang hidung dihembus keluar. Jelingan tajam diberikan. Angela menayangkan riak jijik. Harap sahaja muka cantik tetapi pengotor nak mampus!
"Aku panggil kau berkali-kali. Sejak bila kau jadi pekak badak ni?"
"Apa pasal kau panggil-panggil aku ni?" Mata kembali menonton televisyen.
"Herm... Kau rasa kita dah selamat ke eh?"
"Apa pasal pula kau ni? Dah nak dekat seminggu kan kes tu... Kelibat dia pun tak nampak. Tak ada apalah. Tak payah risau." Rania cuba meredakan resah di hati Angela.
"Aku tak sedap hatilah..." Wajah Angela diselubungi kerisauan.
"Alah... Tak ada apalah. Tak payahlah fikir yang bukan-bukan. Daripada kau fikir yang bukan-bukan, baik kau pergi tidur. Syuh!" halau Rania.
Angela mencebik kegeraman. Sampai hati Rania menghalau dia pergi? Dia bingkas bangun menuju ke bilik tidur. Sempat dia memberi pesanan khidmat masyarakat kepada Rania.
"Sebelum kau masuk tidur, kau kemas dulu segala khazanah-khazanah kau atas sofa tu. Dasar pengotor!"
Pintu bilik tidur terus ditutup rapat lalu dia merebahkan badan ke atas katil yang dialas dengan cadar berwarna biru gelap. Otaknya masih bergeliga memikirkan motif individu yang mengejar mereka tempoh hari. Lama-kelamaan, kelopak mata mula memberat lalu dia beransur ke alam mimpi.
YOU ARE READING
THE DEATH EATER
ActionKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...