BAB 6

149 12 0
                                        

Kereta Perodua Myvi milik Rania kembali menukar laluan ke lorong kanan. Kembali ke kiri. Kemudian, kembali ke kanan. Kereta di belakang masih mengikut rapat di belakang. Otak Rania dan Angela sedang geliga memikirkan jalan keluar. Mereka perlu menyelamatkan diri secepat mungkin atau sesuatu yang berbahaya mungkin berlaku kepada mereka. Tambahan pula, mereka berdua sama-sama perempuan.

"Eh! Apa pasal dengan kereta ni? Gila ke apa?!" Rania mendengus geram.

"Tak apa, kau bawa saja macam biasa." Angela cuba untuk kekal tenang. Mereka berdua terus memandang ke hadapan bagi mengelak berlanggaran dengan kenderaan-kenderaan yang lain.

Menoleh ke kiri, kereta Honda Civic berwarna hitam itu sedang menyaingi kereta mereka di sebelah. Hati semakin resah. Mereka berdua cuba untuk kekal fokus. Mereka tidak boleh membenarkan kereta itu memotong mereka di hadapan.

"Tekan minyak, Rania! Tekan minyak sekarang! Speed up!"

Rania terus menekan pedal minyak dan kereta itu terus meluncur laju meninggalkan kereta hitam itu di belakang. Dengan kelajuan penuh, mereka menyelit di antara kenderaan-kenderaan lain bagi menghilangkan jejak mereka daripada terus diekori. Apa-apa pun yang terjadi, mereka tahu bahawa pemandu kereta Honda Civic hitam itu mempunyai niat yang tidak baik terhadap mereka.

"Angela, dia ikut kita lagi ke?"

Angela menoleh ke belakang.

"Dia tengah follow lagi."

Bibir digigit geram. Hormon Adrenalin mula mengambil alih tubuh mereka. Cepat Angela! Think!

"Rania. Dekat depan tu nanti ada junction keluar. Kau bawa terus je. Kau tekan minyak lepas tu terus masuk ke kiri."

Rania mengangguk lalu pedal minyak kembali ditekan sehingga habis untuk memecut. Kereta di belakang tidak kurang lajunya mengejar. Setibanya berdekatan dengan susur keluar persimpangan, Rania memandu di lorong kiri secara terus. Apabila tiba di situ, kereta terus melencong ke susur keluar itu.

Akhirnya, kereta Honda Civic itu terlepas susur keluar dan mereka berdua selamat daripada terus diekori individu tidak dikenali itu. Hati terus-menerus mengucapkan rasa syukur. Mereka berhenti di sebuah stesen minyak berdekatan. Nafas dalam ditarik dan dihela.

"Kau okey tak?" Angela menyoal kepada Rania.

Rania hanya mampu menganggukkan kepalanya. Rasa terkejutnya masih tidak meninggalkan diri. Tangan masing-masing menggigil dengan hebat. Sekiranya mereka panik sebentar tadi, pasti mereka tidak akan selamat seperti sekarang.

"Kau ada bagi lampu tinggi dekat kereta tadi ke?"

"Mana ada. Kereta tu memang ada dekat belakang je dari tadi. Dia tak potong ke depan pun sampailah kita ubah lorong tadi." Rania membalas dengan penuh yakin. Dia yakin bahawa kereta tadi memang ada di belakang sahaja sepanjang dia memandu.

"Habis itu, kau ada stalker ke?" Angela menyoal lagi. Dia tidak berpuas hati. Siapakah individu sebentar tadi? Apa motif dia mengekori mereka berdua?

"Mana ada! Entah-entah, tu stalker kau."

Dahi Angela berkerut.

"Nampaknya, mungkin bukan stalker. Mungkin road rage. Dia saja nak tunjuk hebat dengan kereta dia tu."

Rania mengalihkan pandangan memandang wajah Angela.

"Kau ada nampak plat nombor dia tak? Kalau nampak, kita boleh buat report."

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang