BAB 1

380 23 0
                                        

Buk! Buk! Buk!

Tumbukan demi tumbukan dilayangkan pada punching bag berwarna merah itu. Rambut hitam basah dengan peluh. Baju lengan pendek berwarna hitam juga sudah melekat pada tubuh sasa itu kerana berpeluh. Nafas menjadi laju seiring dengan setiap tumbukan yang dilayangkan. Tumbukan demi tumbukan. Tendangan demi tendangan.

"Kapten!"

Dia tidak menghiraukan panggilan itu. Dia hanya fokus melayangkan tumbukan dan tendangan.

"Kapten Wang Zhen Wei!"

Masih tiada jawapan daripada dia.

"Hoi, Zach! Kau pekak ke apa?"

Bibir diketap kuat. Mata dijulingkan ke atas sebelum dia berpusing ke belakang untuk memandang pemilik suara itu. Tangan kanan mencekak pinggang manakala tangan kiri mencapai botol air lalu diteguk rakus air minuman itu. Nafas diatur kembali.

"Kau nak apa Leftenan Aqeel Raihan? Terpekik- terlolong macam orang gila ni. Pekak telinga aku lah."

Leftenan Aqeel hanya tersengih memandang ketuanya. Kapten Wang Zhen Wei dikenali sebagai seorang ketua yang sangat tegas. Anak-anak buahnya tidak akan melawan arahannya. Namun, ada seorang sahaja yang mampu membuat lawak bodoh apabila bersama-sama dengannya iaitu Leftenan Aqeel Raihan merangkap kawan baik Kapten Wang Zhen Wei.

"Sajalah aku panggil kau. Dah macam orang gila kau tumbuk punching bag tu. Tak lama lagi lunyai punching bag tu kau kerjakan. Dah, jom pergi makan. Aku laparlah." Aqeel mempelawa sahabatnya itu untuk pergi makan bersama-samanya.

"Malaslah. Aku nak balik rumah. Kau pergilah sendiri." Dingin suara Zach membalas.

Aqeel mencebik. Dia melangkah mendekati ketuanya itu.

"Kau ni dah macam kera sumbang tahu? Kalau tak ada dekat kem, kau ada dekat rumah. Kalau tak ada dekat rumah, kau ada dekat kem. Cubalah keluar tengok dunia sekali-sekala. Asyik terperuk je dalam rumah. Patutlah tak kahwin sampai sudah."

Mata Zach mencerlung tajam ke arah sahabatnya itu. Ketika luar waktu bertugas, memang tidak makan saman kawannya itu memerli dirinya. Kadang kala terdetik juga mahu mencekik si Aqeel itu.

"Dah puas hidup ke kau ni? Mana ada aku jadi kera sumbang. Aku cuma malas nak menghadap manusia. Banyak lagi benda yang aku kena buat daripada nak mengadap manusia-manusia ni." Zach membalas dengan nada yang bosan. Dia mengemas peralatan-peralatan yang digunakan lalu mula beransur untuk meninggalkan gimnasium tersebut.

"Habis tu, aku ni bukan manusia ke?" Aqeel menyoal sambil mengekori langkah ketuanya itu.

"Siapa kata kau manusia? Kau kan beruk. Patutnya aku panggil perhilitan tangkap kau." Pedas sindiran yang diberikan kepada Aqeel membuatkan lelaki itu terpinga-pinga sendirian. Langkahnya terhenti dan otak sedang memproses kata-kata Zach.

"Hoi! Kau kata aku beruk?!"

Jeritan Aqeel hanya dibalas dengan lambaian tangan sebelum keretanya meluncur laju keluar dari perkarangan kem.

Setibanya di rumah, dia terus membersihkan diri lalu dia duduk di hadapan komputer ribanya. Lama ditenung komputer riba itu sebelum dia menghidupkannya. Jelas terpapar gambar keluarganya sebagai latar belakang skrin. Dia tersenyum lemah melihat gambar itu.

Keluarga Wang adalah antara keluarga yang paling dihormati masyarakat. Bukan setakat asbab kekayaan mereka namun mereka juga terkenal dengan sikap pemurah mereka membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan. Namun, suatu peristiwa menyebabkan keluarga itu lebih diingati penduduk setempat.

Sewaktu Zach berusia 13 tahun, keluarganya dibunuh dengan kejam sekali. Namun, pelaku itu masih tidak dapat dijejaki sehingga sekarang. Tujuan Zach menyertai anggota tentera setelah tamat pengajiannya di peringkat ijazah adalah untuk mencari pembunuh keluarganya dan menghukum mereka.

Setelah kejadian ngeri itu, dia dijaga oleh sebuah keluarga yang menyayanginya seperti anak kandung. Dia membesar dengan penuh kasih sayang dan diberikan didikan yang sepatutnya. Namun, hatinya masih menyimpan dendam dengan rapi. Dia perlu mencari mereka secepat mungkin.

"Abang janji untuk cari pembunuh-pembunuh tu sampai dapat. Mama dengan papa jangan risau. Abang akan tuntut pembelaan bagi pihak keluarga kita. Itu janji abang."

Tangan lincah menaip papan kekunci. Pelbagai maklumat yang dikumpulnya selama ini dibaca berkali-kali. Walaupun sudah banyak informasi yang dikumpul namun tiada satu pun yang membawa kepada pembunuh-pembunuh itu. Dia merenung komputer ribanya. Otak sedang berfikir. Jari-jemari diketuk di atas meja. Bibir digigit resah.

Telefon pintar dicapai lalu dia menghubungi individu yang dibayarnya untuk mengumpul informasi.

"Apa informasi baru yang kau dapat?"

"Setakat ni,belum ada apa-apa informasi baru yang aku dapat." Suara garau lelaki menjawab soalan Zach.

"Aku bayar kau untuk buat kerja! Apa yang lembab sangat kau ni?!" Kuat Zach menjerkah lelaki itu namun lelaki itu kekal tenang.

"Aku akan cari maklumat baru secepat mungkin." Panggilan terus dimatikan.

Rambut diraup ke belakang. Zach mendengus geram. Kalau tak disebabkan lelaki misteri itu ialah seorang yang profesional, pasti sudah lama dia memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Namun, dia perlu bertahan dengan sikap menjengkelkan lelaki itu demi mendapatkan maklumat mengenai pembunuh keluarganya. Dia yakin bahawa mereka masih lagi bebas di luar sana.

"Stupid!"

Mata dipejam rapat. Jari naik memicit pelipis mata. Badan disandarkan pada kerusi. Insiden ngeri itu akan berputar setiap kali dia memejamkan mata. Tangisannya terngiang-ngiang. Dahi mula berpeluh. Nafas mula berasa sesak. Dia bingkas bangun daripada duduk lalu menuju ke katil.

Badan dibaringkan di atas katil lalu dia memasang alunan lagu yang perlahan. Siling berwarna putih dipandang tidak lepas. Insomnia dia makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Lengan diletakkan di atas dahi lalu dia memaksa matanya supaya terpejam.

"Mama! Papa!" Dia menjerit. Api semakin marak menjilat rumah agam itu.

"Gege!" Suara kecil itu memanggil abangnya.

"Weiwei!" Zach menjerit dari luar rumah. Dia yang baru pulang daripada latihan bola sepaknya ditahan oleh anggota bomba yang sedang cuba memadam kebakaran itu.

"Mama... Papa... Weiwei... Weiwei!"

Zach terjaga daripada mimpi ngeri itu. Terbuntang matanya. Dada berombak laju. Dia duduk bersila di atas katil. Nafas cuba diatur untuk kembali stabil. Air mata mula bergenang. Tangan naik menyeka air mata yang kini mengalir. Mimpi ngeri yang sama sejak peristiwa hitam itu. Wajah sayunya sebentar tadi berubah menjadi bengis.

"Selagi aku tak jumpa pembunuh-pembunuh itu, hidup aku tak akan tenteram. Tidur aku tak akan lena. Aku akan buat kau orang menyesal seumur hidup! Argh!" Keras suaranya berbicara. Tangan naik memukul kepala dengan geram. Gigi diketap dengan kuat.

Jam pada telefon pintar dilihat. Jam menunjuk pukul 6.00 pagi. Dia bingkas bangun daripada katil menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Baju T-shirt hitam dan seluar sweatpants berwarna hitam dikenakan sebelum dia mengambil beg peralatan gimnya lalu meninggalkan rumahnya. Hidupnya hanya dikelilingi kem, rumah, gimnasium. Kem, rumah, dan gimnasium.

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang