"Rafiq..." Aqeel menyeru rakannnya itu.
Rafiq menjungkitkan keningnya. Lain macam sahaja nada Aqeel memanggilnya. Pasti ada sesuatu yang mahu diminta.
"Kau ada nombor telefon staf kau yang seorang tu tak?"
Kening Rafiq bertaut.
"Staf aku ramai. Yang mana satu?" Rafiq menyoal kembali kepada Aqeel untuk mendapatkan kepastian.
"Alah, yang Angela tu.... Aku rasa aku dah jatuh hati dekat dia lah." Tangan diletakkan ke dada sambil tersenyum suka.
Rafiq hanya tertawa sinis. Kuat berangan betul si Aqeel. Sejak masih bersekolah sehinggalah sekarang, tidak berubah sikap buaya daratnya itu.
"Oh... Angela... Aku sarankan kau undur diri sajalah kalau nak yang itu. Tak ada harapan untuk kau. Kalau kau berkenan dengan si Rania tu, bolehlah aku tolong arrange."
Aqeel menggeleng kepalanya dengan laju. Tidak. Dia tidak berkenan dengan Rania. Baginya si Rania itu terlalu bersemangat untuknya.
"Aku tak mahu yang Rania tu. Hyper sangat. Aku nak berkenalan dengan si Angela tu. Kali ni aku serius tak main-main. Aku rasa dah tiba masanya untuk aku menamatkan zaman bujang aku."
Zach dan Rafiq hanya mampu menggelengkan kepala. Tangan disilangkan ke dada masing-masing.
"Kau tahu kan yang dia bukan Islam?" Rafiq membalas.
"Tahu. Tapi, tugas aku sebagai seorang suami yang mithali adalah membimbing isteri ke jalan yang benar. Demi menjadikan dia sebagai isteri aku yang sah, aku sanggup bimbing dia untuk masuk Islam."
Terletus tawa Zach dan Rafiq. Kepala mereka tergeleng ke kiri dan kanan.
"Kau tu pun terpesong lagi. Ada hati nak membimbing anak orang. Lagipun, kau rasa si Angela tu nak ke dekat kau? Tadi pun dia tak layan kau." Zach pula bersuara. Dia menjadi saksi di saat Aqeel ditolak mentah-mentah oleh Angela. Dia menyaksikan permulaan perbualan mereka berdua sehinggalah Aqeel tertunduk malu.
Aqeel mencebik. Malunya dia diceramah oleh Angela sebentar tadi kembali terasa.
"Aku akan cuba sedaya-upaya untuk cairkan hati dia yang beku tu."
Tangan digenggam lalu diletakkan di dada. Zach dan Rafiq berbagi pandangan.
"Good luck lah aku ucapkan." Cawan kopi milik Zach dicapai lalu dihirup kopi yang pahit itu.
Rafiq tahu bahawa misi Aqeel untuk mencairkan hati wanita itu tidak akan mudah. Wanita itu tiada perasaan. Riak wajahnya sentiasa dingin dan mendatar. Jika ditanya sepatah, maka sepatahlah dijawab. Hanya dengan si Rania sahaja dia akan berbual dengan lebih rancak.
Di rumah sewa Angela dan Rania, kedengaran bunyi televisyen memaparkan berita semasa.
"Seorang lelaki berbangsa Melayu telah dilaporkan hilang sejak Rabu lalu. Keluarga mangsa menyatakan bahawa lelaki tersebut meninggalkan rumah sekitar jam 12 tengah malam. Ahli keluarga tidak dapat menghubungi mangsa."
Dahi Rania berkerut menonton berita. Tangan menyuap roti berperisa coklat ke dalam mulut dengan rakus. Dia menguyah tanpa henti.
"Telefon bimbit milik mangsa telah dijumpai di dalam hutan yang terletak berhampiran dengan rumahnya. Siasatan lanjut akan dikendalikan oleh pihak berkuasa."
Kunyahannya terhenti. Dia menggamit tangan Angela untuk duduk di sampingnya. Angela yang baru keluar daripada bilik mandi berjalan mendekati Rania. Dia turut menonton berita mengenai kehilangan orang itu.
"Makin kerap kes orang hilang sekarang ni kan? Takutnya aku. Lelaki pun dah tak selamat sekarang."
Angela mengangguk. Sejak kebelakangan ini, kes kehilangan individu semakin menjadi-jadi. Ada yang dijumpai dalam keadaan yang mengerikan. Ada juga yang dijumpai dalam keadaan yang selamat. Ada juga yang tidak dijumpai sehingga sekarang.
"Kau makan apa tu? Ada lebih tak? Aku laparlah."
Rania menyuakan sebungkus roti kepada Angela. Bungkusan plastik dibuka lalu roti itu disuapkan ke mulut. Angela menyandarkan badannya ke sofa. Badannya terasa sengal. Dia bekerja keras setiap hari demi membiayai kehidupannya di ibu kota. Angela ialah seorang anak yatim piatu. Dia tinggal di rumah anak yatim setelah kematian kedua-dua orang tuanya.
Di sekolah, dia berkenalan dengan Rania dan mereka membesar bersama-sama. Keluarga Rania juga telah menganggap Angela seperti anak kandung mereka sendiri. Ada kalanya Angela akan berkunjung ke rumah orang tua Rania dan membelikan hadiah kepada adik-adik Rania.
Sewaktu mereka leka menonton televisyen, telefon Rania melalak dengan kuat menandakan ada panggilan yang masuk. Telefon pintar itu dicapai lalu ditekan ikon hijau pada skrin.
"Assalamualaikum ibu."
"Waalaikumussalam. Kakak buat apa tu? Sihat? Makan dah ke?" Bertubi-tubi soalan yang ditujukan oleh Puan Melissa merangkap ibu kepada Rania.
Angela hanya tekun mendengar di sebelah Rania. Rania memasang mod pembesar suara untuk membenarkan Angela mendengar sekali.
"Dah. Tengah menguyah ni dengan si Angela." Rania membalas.
Angela tertawa kecil. Dia pula menyapa Puan Melissa.
"Hai ibu. Ibu sihat? Dah makan ke?"
"Hai anak ibu. Sihat je. Anak ibu ni sihat ke?" Puan Melissa membalas dengan nada lembut.
Rania di sebelah memaparkan riak jengkel. Dia mencebik ke arah Angela. Bukan main lagi si ibunya memanggil Angela sebagai anaknya. Dia berdehem sebelum kembali bersuara.
"Ehem... Ibu kesayangan ku yang paling disayangi. Ratu hatiku. Anakmu di sini. Bukan yang dekat sebelah ni."
Angela dan Puan Melissa tertawa lepas. Kedengaran pula suara adik lelaki Rania di hujung talian.
"Akak kan ibu kutip dekat tong sampah."
Tersedak mereka berdua yang sedang asyik menguyah makanan. Berdesing telinga Rania dibuatnya. Hati terbakar. Mata terpejam rapat dan bibir digigit geram. Muka bertukar merah. Tangan dikepal menjadi penumbuk. Angela sudah ketawa terbahak-bahak. Rania melihat Angela yang sudah berguling-guling di atas lantai. Dia menumbuk kuat bahu Angela. Jika Angela bergabung dengan adik-adiknya, memang dia akan menyerah kalah.
"Eh, kau tu yang kena kutip dekat depan pintu. Kalau ikutkan hati akak, memang akak biar je kau kesejukan dekat luar." Rania membalas geram. Tiada niat di hati pun untuk berkata-kata sebegitu namun keluarganya memang sering bergurau kasar. Tambahan pula jika dia bergaduh mulut dengan adik kembarnya yang lelaki.
"HAHAHA!" Tawa kuat Angela kedengaran di setiap penjuru rumah.
"Ibu... Tengok Amir tu ibu! Angela pun sama! Dah macam puntianak mengilai dekat lantai ni." Rania sudah merengek meminta pembelaan daripada Puan Melissa. Tangan tidak henti-henti memukul Angela. Sahabatnya itu pula sudah menendang kaki ke atas berkali-kali. Tawanya masih tidak berhenti. Masa inilah dia boleh menyakat Rania.
"Mana ada. Semuanya anak-anak ibu. Ibu sayang sama rata. Apa adik ni cakap macam tu dekat akak."
Maka bermulalah sesi pujuk-memujuk Puan Melissa kepada anak-anaknya. Malam itu dihiasi dengan tawa mereka. Hilang segala lelah bekerja seharian setelah berbual-bual dengan ibu mereka. Angela juga tumpang bahagia berkongsi kasih sayang daripada keluarga Rania.
![](https://img.wattpad.com/cover/376637356-288-k861531.jpg)
YOU ARE READING
THE DEATH EATER
ActionKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...