BAB 7

147 10 0
                                        

Syif Rania dan Angela sudah tamat. Mereka bersiap-siap untuk pulang. Hari ini merupakan hari ketiga mereka berdua pulang awal dan syif mereka diganti oleh staf yang lain. Sebelum pulang, sempat mereka memohon maaf kepada staf yang bertugas pada syif petang itu. Sudah menjadi rutin harian mereka minggu ini sebelum pulang.

Langkah diberhentikan di sebuah meja di mana Encik Rafiq sedang duduk dan sibuk menaip sesuatu pada komputer riba yang mahal itu. Lengan baju kemeja berwarna putih disinsing sehingga ke siku. Jam tangan berwarna coklat keperangan itu menghiasi lengan kekar itu. Cermin mata tersangkut elok pada hidung mancung menambahkan lagi ketampanannya.

Melihat dua orang staf yang tercegat di hadapan meja, Encik Rafiq mendongak sedikit untuk memandang wajah mereka.

"Encik Rafiq, kami berdua balik dulu." Angela dan Rania tunduk hormat kepada Encik Rafiq.

Encik Rafiq mengangguk sambil tersenyum.

"Awak berdua naik apa hari ni?"

"Kami jalan kaki saja." Rania membalas.

Mereka berdua akan berjalan kaki jika rajin kerana rumah sewa mereka terletak berdekatan dengan kafe Encik Rafiq. Cumanya, mereka selalu memandu kereta milik Rania kerana malas dan penat setelah tamat syif.

Encik Rafiq menutup komputer ribanya dan mula mengemas barangan yang ada di atas meja ke dalam beg hitamnya. Kemudian, dia bangun sambil menggalas beg menuju ke pintu kafe meninggalkan kedua-dua sahabat itu kebingungan. Mata mereka mengekori langkah Encik Rafiq sehinggalah tubuh itu berhenti di hadapan pintu.

Encik Rafiq memusingkan badan ke belakang sambil membuka pintu kafe. Kemudian, dia menyeru dua orang stafnya.

"Tunggu apa lagi? Jom, saya hantar balik. Bahaya awak berdua nak berjalan sampai ke rumah. Sekarang banyak kes orang hilang. Cepat, saya hantarkan."

Terkocoh-kocoh Rania dan Angela bergerak ke kereta berjenama BMW mewah milik bos mereka. Kereta berwarna hitam berkilat itu menyilaukan pandangan mata mereka. Mereka masuk ke tempat duduk penumpang di belakang seperti kanak-kanak riang. Bukan selalu dapat naik kereta mewah. Encik Rafiq hanya menggeleng melihat perangai kebudak-budakan mereka berdua.

Encik Rafiq masuk ke tempat duduk pemandu lalu deruman enjin kereta kedengaran setelah dihidupkan. Terlopong mulut Angela dan Rania apabila mendengar bunyi enjin kereta itu. Syahdunya bunyi enjin kereta mahal itu berbeza dengan kereta lama milik Rania yang menunggu masa untuk dikuburkan.

"Merdunya suara enjin kereta Encik Rafiq." Rania bersuara.

"Encik Rafiq ni tak macam pemilik kafe tapi dah macam CEO Megah Holdings."

Terletus tawa besar Encik Rafiq mendengar kata-kata mereka berdua.

"Ada-ada sajalah awak berdua ni."

Kereta BMW itu mula meluncur laju ke rumah sewa mereka berdua. Setelah sampai di hadapan rumah, mereka turun dan sekali lagi menunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada bos mereka. Ucapan terima kasih berkali-kali dituturkan. Encik Rafiq memandu semula ke kafe setelah mereka berdua masuk ke dalam rumah.

Di kafe, Encik Rafiq menyambung kerja-kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Cawan berwarna putih diangkat lalu disisip air kopi pekat itu. Sekali-sekala dia akan meregangkan badannya yang lenguh akibat duduk terlalu lama.

Kring!

Pintu kafe terbuka menandakan ada orang yang baru sahaja masuk ke dalam kafe. Encik Rafiq sudah dapat agak siapa gerangan yang masuk menerusi pintu itu. Cepat-cepat kedua belah telinganya ditekap dengan tangan.

"Hello, my brother! Rafiq! How are you doing, my man?!" Suara lantang milik Aqeel bergema di setiap penjuru kafe menarik perhatian beberapa pasang mata di situ.

Zach yang menyusul di belakang terus menekup muka dengan tangan lalu berjalan ke meja Rafiq dengan laju.

"Kau ni buat malu tujuh keturunan tahu tak?!" Rafiq berkata dengan suara yang tertahan.

Aqeel hanya tersengih sebelum duduk di sebelah Zach. Sepasang mata itu meliar ke seluruh kawasan kafe. Rafiq yang melihat gelagat rakannya itu sudah tahu apa yang dicari oleh Aqeel.

"Dia dah balik. Aku baru lepas hantar dia dengan Rania. Kau tak payahlah cari."

Kepala Aqeel terus tegak dan mata mencerlung tajam wajah Rafiq. Kening bertaut dan mulut mencebik.

"Apa pasal pula kau hantar dia?!" Naik seoktaf suara Aqeel bertanya kepada Rafiq.

Rafiq hanya menggeleng. Cemburu buta rupanya si Aqeel ni.

"Dia orang jalan kaki hari ni datang kerja. Lagipun, aku bukan hantar dia seorang. Aku hantar kawan dia sekali, si Rania tu. Aku hantar mereka balik sebab mereka baru lepas kena kejar dengan mamat mana entah semalam."

Giliran Zach pula yang menegakkan badan.

"Kena kejar sebab apa? Dia orang selamat tak?" Zach bertanya dengan nada kerisauan.

"Tak tahu. Mereka kata mungkin road rage. Aku risaukan keselamatan mereka, jadi aku suruh mereka kerja syif pagi untuk minggu ni. Tapi, mereka boleh pula jalan kaki ke tempat kerja." Rafiq menepuk dahi memikirkan dua orang gadis itu.

Aqeel menjadi semakin tidak senang duduk. Dia merisaukan keadaan Angela. Sudah lama dia tidak berkunjung ke kafe itu malah perkara pertama yang dia dengar setelah sampai adalah keselamatan si gadis pujaan hati sedang terancam.

"Rafiq, bak sini nombor Angela. Cepat! Cepat!"

Telefon pintar milik Rafiq terus disambar lalu ditekan skrin telefon itu.

"Weh! Password kau apa?"

"Angela buah hatiku." Rafiq menjawab dengan selamba.

Aqeel terus menjeling rakannya itu dan menayangkan penumbuk ke wajah Rafiq. Terletus tawa Rafiq. Tidak mahu menambah rasa kepada kemarahan Aqeel, dia memberitahu kata laluan telefon pintarnya yang sebenar. Aqeel terus mendail nombor telefon Angela ke dalam telefonnya lalu disimpan nombor itu.

Jari telunjuk ditudingkan kepada Rafiq.

"Kau jangan nak mengada-ngada ambil Angela aku tahu?"

Rafiq menjelirkan lidah manakala Zach pula mengambil nombor telefon Rania secara senyap sewaktu dua orang rakan itu sedang berbalah.

"Kau tolong jaga mereka berdua. Bahaya tahu sekarang? Banyak kes orang hilang. Lagi-lagi mereka berdua tu perempuan. Target mudah untuk orang jahat cekup." Zach bersuara.

"Ya. Sebab itulah aku tolong hantarkan mereka balik. Rumah mereka dekat saja dengan kafe ni tapi masih terlalu bahaya untuk mereka berjalan kaki macam tu."

Zach dan Aqeel mengangguk. Bagus Rafiq kerana menjadi seorang majikan yang bertanggungjawab dan baik hati memastikan keselamatan pekerja terjamin.

"Seorang remaja berumur 17 tahun telah melarikan diri daripada rumah pada hari ini. Remaja tersebut disahkan telah melarikan diri sewaktu pihak polis tiba di rumah suspek untuk menahannya atas jenayah merogol seorang remaja perempuan berumur 13 tahun di kawasan semak berdekatan dengan taman perumahan mereka.

Ketiga-tiga kepala mereka berpaling menghadap televisyen yang tergantung di penjuru kafe.

"Laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa setelah anak perempuannya pulang daripada sekolah dalam keadaan berdarah di kepala disyaki dipukul dengan batu oleh suspek ketika cuba menyelamatkan diri."

Zach terus menggelengkan kepala dan mengeluh.

"Apa nak jadi dengan budak-budak ni? Ibu ayah suruh pergi sekolah belajar. Kau sibuk nak buat perkara-perkara terkutuk macam tu. Mesti kecewa ibu dan ayah dia."

"Tapi kan... Kau perasan tak sekarang ni bila mangsa-mangsa dah dijumpai, mesti kebanyakan suspek pula yang akan hilang tanpa dapat dikesan. Pihak polis pun tak dapat kesan. Bahaya kalau mereka terlepas untuk bersama-sama dengan orang awam." Rafiq pula bersuara.

Mereka terdiam seketika. Apa yang bakal berlaku kepada mereka semua yang hilang? Dimanakah mereka berada sekarang?

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang