EPISOD 1

320 31 2
                                    

2013

"TUNDA? Abang biar betul nak tundakan perkahwinan kita lagi? Abang sedar tak keputusan abang ni bukan berpihak dengan sebelah pihak je?"

Falah menghela nafas panjang. Tubuhnya didekatkan ke arah meja bulat yang terletak di kafe. Jelas, terpancar riak kecewa di sebalik wajah manis gadis bertudung sarung itu. Ada air mata yang mula bertakung di mata bundarnya.

"Nama abang naik untuk operasi kali ni. Abang minta maaf. Bukan niat..."

"Dua kali dah abang tundakan majlis kita. Tak habis-habis dengan alasan yang sama. Abang, orang lain pun kerja macam abang juga. Tapi elok je dia orang tunaikan janji masing-masing. Abang ni serius ke tak nak kahwin dengan Thia sebenarnya?"

Nada suara Fathiah mula kedengaran bergetar. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat. Sungguh, jiwanya saat ini seakan-akan ditabrak ribut. Betapa hancurnya hati tatkala tunangannya menundakan perkahwinan mereka.

Seolah-olah, hanya Fathiah saja terhegeh-hegeh mahukan Falah menjadi pasangan hidup.

"Thia... janganlah macam ni. Thia tahu kan abang dah lama pendam perasaan untuk Thia sejak kita zaman sekolah lagi. Sungguh, abang sayangkan Thia. Cintakan Thia dan sebab itu jugalah abang sanggup datang sini semata-mata nak berdepan dengan tunang abang sendiri."

Falah mengulum senyum pahit tatkala Fathiah sudah menjelingkan matanya. Alahai, comel betul bakal isterinya ini. Bibir yang tercebik-cebik itu buat Falah tak sabar mahu menikahi Fathiah. Boleh dicubit-cubit bibir gadis itu agar tidak mencebik lagi.

"Berapa lama?"

"Tak pasti. Keadaan kat kampung tu makin darurat. Pengganas dah berani serang anggota yang bertugas. Tak nak dengar cakap bila pasukan dah bertegas halau dia orang dari kampung."

Mendengar hal itu, Fathiah mula resah. Pandangannya bertaut lagi dengan Falah yang sedang menyedut teh o ais. Dia tahu kejadian di Lahad Datu Sabah saat ini. Falah sering bercerita setiap kali mereka bertelefon.

"Abang tak payah pergilah. Cakap dengan ketua abang tu... abang nak kahwin dah dengan Thia. Kita dah jemput tetamu untuk datang majlis kita. Lepas je kita akad nikah, kalau abang nak pergi bertugas... abang pergilah."

Falah tertawa kecil tatkala Fathiah mula merengek. Mengerdipkan mata berkali-kali tanda memujuk.

"Apa yang abang pernah cakap dulu sebelum kita tunang?"

Fathiah bersandar di kerusi seraya memalingkan wajahnya. Memerhatikan para pelajar di IPG yang sedang makan tengah hari di kafe. Tatkala titisan air mata mengalir ke pipi, Fathiah kesat dengan kasar. Dia tahu konsep itu.

'Negara keutamaan seorang perajurit.' Arwah ayahnya juga seorang perajurit yang terkorban demi negara.

"Jangan menangis Fathiah."

"Mana ada orang menangis!"

"Habis tu kenapa pipi basah? Nak cakap hujan, panas je abang tengok cuaca kat sini." Falah melilau memerhatikan cuaca yang panas terik.

Suasana sepi buat seketika. Fathiah tertunduk. Menekur jari jemari runcingnya. Cincin belah rotan yang disarung oleh bakal ibu mentuanya dipusing-pusing. Ini dugaan mereka. Namun, Fathiah masih cuba beradaptasi dengan keadaan.

"Thia..."

Tatkala Falah meleretkan suara, Fathiah terdongak. Sekali lagi, air matanya mengalir tanpa dipinta. Terasa kelat liur di rangkungan tika Falah sudah menghulurkan sehelai sapu tangan kepadanya.

"Lap air mata tu. Nanti kita dah kahwin, baru abang boleh lapkan air mata untuk Thia. Nak menangis satu baldi pun abang boleh tadahkan dengan tangan abang ni."

RINDU YANG KEMBALIWhere stories live. Discover now