EPISOD 14

75 14 0
                                    

TIGA bulan begitu pantas berlalu. Mengikut perancangan, hanya tinggal sebulan saja lagi sebelum Fathi dan Fathiah diijab kabul. Sungguh, debaran itu kian terasa. Fathiah risau perkara lama berulang kembali. Dia dan Falah... berpisah kerana kematian.

"Anak mama okey tak ni?" Puan Wati melabuhkan duduk di sebelah Fathiah yang termenung di atas buaian. Jelas, wajah gadis itu kelihatan tak bermaya.

"Nak tembus dah kolam ikan tu kau renung."

Fathiah tertawa kecil. Dia melentokkan kepalanya di bahu Puan Wati. Angin petang benar-benar menyamankan suasana.

"Thia risau pasal Fathi?"

Seketika, pandangan Fathiah bertaut dengan mamanya. Hanya anggukkan kecil diberikan sebelum Fathiah kembali memandang kolam ikan.

"Dah dekat sebulan Fathi tak call Thia. Thia je yang kena start dulu. Kalau tak... dua-dua diam tak tahu khabar berita. Thia risau..."

"Fathi sibuk..."

"Orang lain pun bertunang dengan tentera juga ma. Tapi ada je masa tanya khabar," pintas Fathiah. Keluhan berat dilepaskan tatkala hatinya sudah sakit merindukan Fathi.

"Janganlah bandingkan Fathi dengan orang lain. Dia orang lain, Fathi lain."

"Macam mama dulu... mama dengan arwah ayah pun jarak jauh. Puas dah mama minta pindah tapi tak ada rezeki. Tahun kesepuluh kita orang kahwin barulah ada rezeki duduk dekat dengan arwah ayah. Ayah pun jenis susah nak dihubungi. Tapi kepercayaan dekat pasangan tu yang menguatkan lagi hubungan mama dengan ayah."

Perlahan-lahan, Puan Wati mengusap lembut kepala Fathiah yang bertutup dengan selendang. Memberikan ketenangan buat anak gadisnya yang mula terasa hati dengan Fathi hanya kerana tak punya masa untuk saling berkomunikasi.

"Kuatkan diri, Thia. Jangan lembik. Nanti bila dah kahwin nak tak nak semua benda Thia kena buat sendiri bila suami sibuk bertugas. Kita ni berkongsi dengan negara. Thia kena faham kerja Fathi macam mana."

Pesanan Puan Wati benar-benar memujuk hati rawan Fathiah. Dia bangun. Sudah punya semangat untuk menyibukkan diri daripada terus-menerus mengenang nasib.

"Terima kasih mama. Semua pesanan mama, Thia letak dalam hati. Jadi isteri tentera, kena kuat macam mama!"

Puan Wati tersenyum melihat wajah Fathiah kembali ceria.

"Thia... sejak Thia bertunang dengan Fathi ni kan mama rasa mama dah dapat anak mama balik. Thia yang manja, suka merengek, dah banyak cakap. Paling mama rindu... senyuman anak mama. Mesti Thia dah mula sayangkan Fathi kan?"

Sontak, wajah Fathiah membahang panas dengan bicara ibunya. Benarkah dia sudah kembali ceria? Entah, Fathiah sendiri tak sedar akan perubahan dirinya. Apa yang Fathiah tahu, dia bahagia menjadi tunangan Fathi yang bijak memujuk hatinya.

Malam itu, usai saja Fathiah selesai menanda buku latihan pelajarnya, dia buat keputusan mahu menghubungi Fathi. Sekurang-kurangnya, dia dapat melepaskan rasa debaran menanti hari bahagia mereka menjelang tiba.

Tatkala panggilannya disambut, Fathiah mengulum senyum.

"Thia..."

Sekonyong-konyongnya, tubuh Fathiah menggeletar melihat wajah si pemanggil. Nafasnya sesak di rangkungan. Telefon pintar terhempas di atas lantai. Fathiah terbangun daripada duduknya saat wajah itu terpapar di skrin telefon milik Fathi.

"Thia... tolong aku Thia..."

Suara itu kedengaran. Fathiah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tubir matanya terasa hangat tatkala dinding hatinya seakan dilumat-lumatkan.

Keadaan Fathi... tak bisa diterima saat ini.

"Thia... aku tahu kau masih ada kat sana tapi tolong aku. Fathi dah sentuh aku, Thia. Aku tak tahu aku ada kat mana sekarang..."

"Diam. Diam Iffah! Aku tak nak dengar apa-apa daripada mulut kau!" Tak semena-mena, nada suara Fathiah naik seoktaf. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi.

Iffah dan Fathi. Dalam sebuah bilik. Di atas katil. Masih jelas di ruang ingatan kedudukan Fathi yang tertidur sedang memeluk tubuh Iffah yang terdedah. Hanya gebar yang menutup tubuh kekar pemuda itu.

"Tolong aku Thia! Aku takut... tolonglah aku sebelum Fathi bangun..."

"Ya Allah..." Kaki Fathiah melorot di atas lantai. Dia sudah teresak-esak tika merasakan sedang dikhianati oleh Fathi. Tak mampu lagi berfikiran rasional tika ini.

"Thia..."

"Diamlah!"

"Aku takut Thia! Aku tak mampu nak bergerak dalam keadaan macam ni! Aku perlukan bantuan kau!" Tak semena-mena, tangisan Iffah semakin mendayu-dayu. Dia mengenggam erat telefon pintar milik Fathi.

Fathiah terkesima. Matanya dipejam. Tangannya terketar-ketar ingin mencapai telefon. Laju saja Fathiah menyentuh punat merah sehingga tak lagi kedengaran suara Iffah yang sedang ketakutan.

"Tak mungkin. Dia takkan buat macam tu. Tapi Iffah sepupu aku... tak mungkin juga Iffah sanggup perangkap Fathi. Ya Allah... Ya Allah..."

Air mata Fathiah semakin mengalir deras. Dia mengongoi melepaskan tangisnya. Tak. Ini semua fitnah. Pasti ada yang ingin memisahkan dia dan Fathi hingga tega memerangkap tunangannya itu.

Tapi... Iffah sendiri yang membuat pengakuan bahawa Fathi sudah menyentuhnya. Allahu... dugaan apa lagi kali ini?

BERSAMBUNG...

RINDU YANG KEMBALIWhere stories live. Discover now