EPISOD 17

105 19 2
                                    

"Fikir-fikirkanlah ya siapa yang benar siapa yang munafik."

Tatkala kata-kata Syika bermain-main di gegendang telinganya, Fathiah menyembamkan kepala di atas meja kerja. Rambutnya yang ikal mayang sudah serabut dek rasa bersalah yang sudah seluas samudera.

"Ya Allah... apa kau dah buat ni Thia?"

"Anak mama okey tak ni?"

Terhinggut bahu Fathiah tatkala disergah oleh ibunya. Dia mendongak. Nafas panjang dihela.

"Bergaduh lagi ke dengan Fathi?"

"Biasalah tu ma. Dugaan orang bertunang." Fathiah tersengih kelat. Dia kembali menanda buku latihan muridnya. Namun, moodnya masih merundum. Dia tiada semangat untuk teruskan pekerjaan.

"Jangan bergaduh lama sangat. Selesaikan elok-elok. Tak lama lagi kau orang dah nak menikah. Kena belajar saling memahami. Ni, ada orang nak jumpa Thia. Katanya ada hal mustahak yang dia nak sampaikan dekat Thia. Kawan Fathi."

"Siapa?"

"Tuan Izwan. Pergilah. Ada benda penting kut dia nak bagi tahu."

Tanda tanya mula bermain di benak fikiran Fathiah. Tuan Izwan? Kawan Fathi? Ada apa ya kawannya Fathi ini ingin bertemu dengannya?

"MAAFLAH saya ganggu masa rehat cikgu hari ni. Tapi, ada hal penting saya nak sampaikan dekat cikgu."

Sebaik saja Fathiah melabuhkan duduk setentang dengan Izwan, pemuda itu langsung mengatakan niatnya. Sungguh, dia hanya mahu membantu Fathi saja. Kasihan dengan sahabatnya yang kecewa kerana cinta itu.

"Pasal apa?"

"Pasal Fathi."

Fathiah mula kecut perut tatkala wajah Izwan semakin serius. Kerisauan kembali menjentik tangkai hati gadis itu.

"Saya tahu apa yang dah jadi. Saya dengan Fathi pun dah siasat pasal kes tu. Cuma, sampai sekarang kita orang tak dapat nak jumpa sepupu cikgu tu lagi. Begini ceritanya."

"Malam kejadian tu... sebelum Fathi pulang rumah ibunya dia singgah klinik dulu. Dia dah tak tahan demam panas. Balik je... ada orang serang dia dari belakang sebab tu semuanya gelap masa dia dalam perjalanan nak ke parking. Ni buktinya. Nasib baik ada CCTV kat luar lot kedai tu."

Izwan menghulurkan telefon pintarnya kepada Fathiah. Bukti yang cukup menyatakan Fathi tak bersalah. Sahabatnya difitnah oleh Iffah. Si gadis psiko!

Sekonyong-konyongnya, tubir mata Fathiah terasa hangat. Rakaman hitam putih itu cukup menjelaskan seorang lelaki telah memukul Fathi dari belakang sebelum sebuah lagi kereta muncul. Tubuh Fathi yang tak sedarkan diri itu ditolak masuk ke dalam sebuah kenderaan.

Allahu... apa yang dia dah buat?

"Licik betul Iffah tu. Dia daftarkan nama Fathi kat hotel. Dia upah orang untuk bawa Fathi yang dah tak sedarkan diri naik bilik."

"Kat situlah baru Iffah buat kerja terkutuk yang kononnya Fathi rogol dia. Semua ni fitnah. Senakal-nakal dan segila-gila Fathi tu pun dia tahulah halal haram. Lagi satu, Fathi tu terlalu cintakan cikgu. Sepanjang saya kenal dia, tak pernah sekali pun dia bercerita pasal perempuan. Tapi... bila dia jumpa cikgu... dia dah jadi lain. Dah pandai bercakap soal cinta."

Fathiah tertunduk menekur jari jemarinya. Jiwanya sesak. Bibirnya diketap menahan sesak. Ruang memori membawanya semula kejadian malam itu. Dia sudah menyakiti Fathi yang tulus mencintainya. Dia buat Fathi menangis hingga melutut.

Ya Tuhan, dia yang bersalah dalam hal ini. Terlalu ikutkan emosi berbanding akal. Bahkan, dia juga yang minta pertunangan mereka putus hanya kerana kejadian itu. Walhal, semuanya hanya fitnah semata-mata.

SEBAIK saja pintu rumah dibuka, pandangan Fathi bertaut dengan si gadis yang sedang memegang semangkuk bubur. Ada senyuman menghias wajah gadis yang sembap itu. Tahulah Fathi bahawa Fathiah menangis lagi.

"Mak! Fathi balik dulu. Mak layanlah anak jiran mak ni."

Layanan dingin Fathi mematikan senyuman Fathiah serta-merta. Hanya pandangannya saja memerhatikan Fathi yang sudah memakai kasut. Marahkah Fathi terhadapnya?

"Fathi... kau dah sihat?"

Fathi menghela nafas panjang. Dia menghidupkan enjin kenderaan seraya melangkah masuk ke dalam kenderaan. Namun, Fathiah tangkas mengelak dengan menahan pintu keretanya.

"Kau nak apa lagi? Aku dah lambat ni!"

Nada suara Fathi yang naik seoktaf membuatkan Fathiah terkesima. Tubir matanya terasa hangat diherdik oleh pemuda itu. Wajah Fathi bengis. Tiada senyuman yang sentiasa memaniskan wajah. Inilah kali pertama Fathiah melihat amarah di wajah tunangannya.

"Kau... tak sihat lagi kan. Aku ada masakkan bubur untuk kau."

"Aku sihat ke tak sihat ke kau peduli apa? Aku mati kat tengah jalan sekali pun kau tetap bencikan aku!"

Tak semena-mena setitis air mata mengalir ke pipi Fathiah. Wajahnya membahang panas dengan herdikan Fathi. Dia layak dimarah dengan pemuda ini. Dia bodoh. Membiarkan orang luar menggugat hubungan mereka.

"Menangis? Tu jelah yang kau tahu!"

"Aku minta maaf..."

Fathi tertawa sinis. Pelipis yang tak gatal digaru. Dia melangkah keluar dari kenderaan. Dipandangnya kecil besar saja figura Fathiah yang sudah menahan tangis itu. Ya Tuhan, dia tak mahu Fathiah menangis tapi dalam masa yang sama jiwanya ini masih sakit dengan kebencian Fathiah.

"Kau nak putus tunang kan?"

"Tak nak! Aku... aku tak nak kita berpisah..."

"Kau tak percayakan aku, Thia. Kau nak tengok aku ni pun kau jjiik sangat kan. Perogol! Huh? Kau..."

"Fathi... aku minta maaf... aku tahu aku salah tapi aku tak nak berpisah dengan kau. Aku sayangkan kau Fathi. Demi Allah... aku sayangkan kau..."

Fathiah mula teresak-esak tatkala amarah Fathi sudah sampai ke kemuncaknya. Benarlah, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Maka, dia sudah menyakiti dua hati yang saling menyayangi hanya kerana fitnah.

"Sayang? Sayang ke namanya kalau kau tak guna kepandaian kau untuk siasat pasal aku dengan Iffah? Kau guna emosi! Sudahlah... masih ada sebulan untuk kau fikir lagi sama ada kau sedia untuk jadi isteri aku atau kau nak kita berpisah. Aku tak nak kau overthinking setiap kali kita berjauhan. Aku pergi dulu. Aku nak cari rezeki untuk kita. Assalamualaikum."

Tanpa berlengah, Fathi menerobos masuk ke dalam kenderaan. Pandangannya bertaut lagi dengan Fathiah yang masih menangis. Ya Tuhan, ingin sekali dia mengesat air mata gadis itu. Tapi dalam masa yang sama, Fathi perlu ajar Fathiah tentang kepercayaan dalam sebuah hubungan.

Bagaimana dia mahu teruskan jikalau hanya dia yang mampu meletakkan kepercayaan kepada Fathiah?

BERSAMBUNG....

RINDU YANG KEMBALIWhere stories live. Discover now