EPISOD 7

80 15 6
                                    

C130 Hercules yang diterbangkan oleh Kapten Iman Fathi dan lapan anak kapal yang membawa bancuhan larutan garam bertujuan pembenihan awan di ruang udara mula mendarat di landasan. Mengikut petunjuk yang diberikan oleh Marshal TUDM.

Sudah tiga hari mereka melakukan operasi pembenihan awan menggunakan jet pejuang Hercules untuk menangani impak El Nino yang boleh memberikan kesan kepada sektor pertanian di Kelantan.

Fathi melangkah turun dari jet pejuang seraya menanggalkan bondome yang terletak di atas kepala. Dia membuat handsbump bersama rakan-rakan seperjuangan tatkala misi mereka berjaya diselesaikan dengan sempurna.

"Minggu depan dah nak kahwin, sempat lagi kau kerja kan."

"Nak buat macam mana. Nama aku naik. Ikutlah apa kata pegawai. Apa yang penting, dia bagi aku cuti kahwin seminggu."

Fathi menepuk bahu Izwan bertalu-talu. Wajah sahabatnya itu kelihatan berseri-seri. Aura bakal pengantin.

"Datang tau. Kat Kuantan juga."

"InsyaAllah, aku datang. Asalkan, kau doakan aku kahwin tahun ni juga." Fathi menjungkit-jungkitkan keningnya tatkala Izwan sudah memandangnya dengan pandangan aneh.

"Aku ingatkan kau ni gay! Tak pernah kau minta didoakan kahwin. Tu mak dengan adik kau cari calon untuk kau pun semuanya kau tak berkenan. Tup tup keluarga kau pindah Selangor terus jumpa calon ya."

Tak semena-mena, Fathi terbahak-bahak mendengar bicara sahabatnya. Tercuit hati dicop sebagai lelaki gay. Botol mineral dicapai lalu diteguk membasahkan tekaknya yang kering.

"Siapa gadis tu Fathi? Sepanjang aku kenal kau, tak pernah lagi kau minta doa kahwin." Yamani mula sangsi. Sejak kepulangan Fathi dari Selangor, sahabatnya ini seakan-akan sedang dilamun cinta. Wajahnya berseri-seri. Sudah pandai bercakap soal cinta.

"Itulah orang cakap, kau berpisah sejauh mana sekali pun, kalau kau dan dia bertemu semula itulah namanya jodoh." Fathi mengulum senyum nipis. Dia nekad, sekembalinya dari Kuantan dia akan masuk meminang Fathiah.

Dia mahu cuba nasib.

"Siapa namanya?"

"Imani Fathiah."

"Wow! Nama kau dengan nama dia hampir sama. Sah jodoh kau dah muncul. Kapten Iman Fathi dan Imani Fathiah! Cantik kad kahwin kau orang nanti! Pandai kau cari bakal bini yang ada nama seakan-akan sama dengan nama kau."

Fathi tertawa lagi. Dia mengesat hidungnya dengan ibu jari sambil menjungkit-jungkitkan kening. Bangga menerima pujian daripada sahabat seperjuangannya. Memang namanya dan Fathiah saling melengkapi antara satu sama lain.

FATHIAH terbatuk-batuk sambil membersihkan stor yang berhabuk. Batuknya tak berhenti-henti sejak dia mengemas stor tadi. Mahu dikatakan dia alah dengan habuk, tidak juga.

"Ada yang mengata kau ni, Thia. Tak habis-habis batuk dari tadi. Ke kau tak sihat?"

"Sihat je ma. Dah lama tak masuk stor kot banyak habuk." Fathiah mencapai sebuah kotak yang bertuliskan 'Thia's high school memories'. Tak sangka dia masih menyimpan kenangan zaman sekolah di dalam stor.

"Kau tak buang lagi?"

"Tulah Thia ingatkan dah buang. Berbelas tahun dah ni ma. Cuba kita tengok apa yang ada dalam kotak ni." Perlahan-lahan, Fathiah meletakkan kotak tersebut di atas meja kopi. Dia menyapu debu yang melekat di atas kotak kayu berwarna coklat itu.

Ada beberapa buah majalah sekolah. Ada kad-kad ucapan hari raya dan biodata yang ditulis oleh rakan-rakan zaman sekolahnya. Senyuman terukir di bibir Fathiah. Kenangan manis. Berbeza dengan generasi sekarang yang lebih menggunakan telefon.

Rindunya.

Tatkala tangannya mencapai beberapa keping gambar, senyuman Fathiah kian melebar. Dahulu, dia tidak bertudung. Lengan bajunya sentiasa disingsing hingga ke lengan. Samseng. Teringat arwah ayah pernah merotannya kerana ponteng sekolah.

Hanya kerana dia mabuk bercinta bersama Fathi hingga habiskan masa di pusat karaoke dan kafe siber.

"Eh... masih simpan gambar zaman bercinta dengan Fathi ke tu?"

Wajah Fathiah merah serta-merta disergah oleh ibunya. Matanya tertancap ke arah fotonya bersama Fathi. Masih berpakaian sekolah. Ada foto semasa mereka terlibat dalam acara sukan. Bahkan, gambar semasa mereka berkelah bersama rakan-rakan lain.

"Thia nak buang gambar ni..."

"Apasal nak buang? Boleh tunjuk kat anak-anak kau orang nanti. How I met your father. Hah gitu!"

"Ish mama ni! Thia dengan Fathi takkan lalui zaman percintaan tu lagi, okey. Biarlah Thia ni jadi anak dara tua daripada kahwin dengan orang tak semenggah macam Fathi." Laju saja Fathiah menutup semula kotak tersebut lalu diletakkan ke dalam tong sampah berwarna hitam.

Namun, Puan Wati menghalang. Mengeluarkan album gambar Fathiah dan Fathi lalu diletak di tapak tangan anaknya. "Simpan. Bagi Fathi. Mesti dia suka."

"Saja nak buat orang serba salah ke?"

"Mama tak cakap apa-apa. Kenapa pula nak serba salah?" Tanpa menanti jawapan Fathiah, Puan Wati kembali menyambung pekerjaannya mengemas stor yang berselerak.

Fathiah menghela nafas berat. Dia melabuhkan duduknya di sofa. Memandang semula foto-fotonya bersama Iman Fathi. Mereka kelihatan bahagia. Masing-masing saling mencintai meskipun ketika itu zaman cinta monyet.

Sungguh, Fathiah masih tak dapat menerima bahawa hati Fathi tak pernah berubah untuknya. Bagaimana dia mahu melupakan cintanya buat Falah dan memberikan peluang buat dia dan Fathi ya?

Sungguh, Fathiah buntu.

BERSAMBUNG...

RINDU YANG KEMBALIWhere stories live. Discover now