EPISOD 12

70 11 1
                                    

31 OGOS. Tarikh yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia bagi meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan bagi memperingati tentang perjuangan pejuang-pejuang Tanah Melayu. Pelbagai aset negara yang dipertontonkan oleh badan-badan beruniform.

Apa yang lebih menarik, perarakan anggota beruniform menambahkan daya tarikan pengunjung yang berada di Dataran Putrajaya.

"Oh kau mentang-mentang dah ada abang airforce terus gigih eh bawa aku pergi sini. Tak pernah-pernah pun kau rajin turun dataran semata-mata nak tengok perarakan." Syika mengipas-ngipas wajahnya yang membahang kepanasan.

"Bukan selalu aku bawa kau datang sini. Bersesak semata-mata nak tengok aset-aset negara tu."

Fathiah benar-benar terpegun melihat aset negara yang dipertontonkan oleh anggota PASKAL yang serba hitam. Diikuti oleh anggota VAT 69 yang kelihatan gah membawa senjata di tangan masing-masing.

Dahulu, arwah ayahnya juga sering membawa ke perarakan kemerdekaan. Jadi, dapatlah juga melepaskan rindu melihat perarakan yang sedang berlangsung ini.

"Iffah tak join ke?"

"Malaslah! Dia tu macam tak suka aku je. Majlis tunang aku pun dia tak pergi."

Sebenarnya, semenjak majlis makan malam itu Fathiah jadi tak selesa dengan Iffah lagi. Sepupunya itu seakan-akan tak berpuas hati tatkala Iffah sendiri yang pulang tanpa berpamitan dengannya.

Bila dihubungi, Fathiah pula yang dimarah jangan menyibuk urusan sepupunya itu.

"Kau orang tak gaduh kan?"

"Mana ada. Eh... comelnya anjing K9 tu. Ni anjing yang selalu terlibat dalam misi pencarian orang hilang kan?" Fathiah ubah topik. Tak mahu diganggu tatkala Iffah menjadi topik perbualan mereka. Kamera telefon dihalakan ke arah anggota bomba dan penyelamat yang berarak bersama anjing K9.

"Haah. Anjing ni jugalah yang dia orang bawa masa kes tanah runtuh kat batang kali tu."

Mina mencuit bahu Fathiah. "Thia! Tengok tu..."

Fathiah memandang rakaman video yang terpapar di skrin. Terpampang anggota TUDM yang sedang bersedia untuk menerbangkan pesawat mengikut isyarat daripada Marshal TUDM.

"Banggalah kau kan tunang kau bawa Sukhoi."

Usikan daripada sahabat-sahabatnya buat wajah Fathiah membahang. Degupan jantungnya jadi kencang. Sudah tentunya dia bangga menjadi pasangan kepada Kapten Iman Fathi. Bahkan, dibesarkan oleh Tuan Bahri juga menjadi kebanggaan Fathiah.

Ayahnya terkorban dalam satu kejadian tembak-menembak semasa memberkas markas dadah. Hingga ke titisan darah terakhir ayahnya masih berjuang demi negara. Sama juga dengan pengakhiran hidup Falah. Terkorban demi tanah air.

Sedikit sebanyak, Fathiah belajar bahawa anggota yang berkhidmat demi melindungi negara itu satu pekerjaan yang sangat murni. Bergadai nyawa demi keamanan rakyat.

"Hadirin sekalian teruskan memandang ke hadapan pentas kenamaan kerana sebentar lagi saksikan di ruang udara kami tampilkan kepada anda pesawat Sukhoi SU 30 MKM!"

Serentak dengan suara pengacara majlis yang begitu bersemangat, lima buah pesawat Sukhoi SU 30 MKM yang terbang di ruang udara begitu gah. Membuatkan semua mata-mata terpaku memandang aset negara. Masing-masing mengabadikan memori itu dengan merakam setiap aset yang mula dipertonton di ruang udara.

'Saya bangga dengan awak Kapten Iman Fathi.' Desis hati Fathiah dengan bibir yang mula melakar senyuman.

FATHI menanggalkan songkoknya seraya mencapai telefon pintar. Laju saja dia mencari nama Imani Fathiah. Rindunya dia buat tunangannya itu sudah seluas samudera. Sudah hampir dua minggu mereka tak membuat panggilan video kerana kesibukan masing-masing.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam. Baru selesai solat?" Fathi mengulum senyum melihat Fathiah yang sedang memeluk senaskah Al Quran. Cantik. Wajah gadis itu berseri dengan senyuman manisnya.

"Haah. Baru je."

"Tunggu aku jadi imam kau ya lepas ni. Tak adalah kita solat seorang-seorang lagi."

Senyuman Fathiah melebar. Dia mengangguk. Ya, dia sentiasa tunggu kepulangan Fathi untuk menjemputnya menjadi permaisuri pemuda itu.

"Muka kau nampak letih. Penat ya bawa Sukhoi?"

Tawa kecil Fathi meledak. Tercuit hati mendengar soalan polos Fathiah. "Kau datang tadi?"

"Mestilah! Aku bangga tau dengan perjuangan kau sebagai barisan hadapan. Sama macam arwah ayah. Arwah Falah..."

Entah mengapa, ada kerisauan mula menujah sanubari Fathiah. Dia mengalihkan pandangannya daripada menatap skrin telefon. Sudah dua orang insan kesayangannya terkorban semasa menjalankan tugas melindungi negara. Fathiah trauma. Tak mahu kehilangan Fathi dalam keadaan yang sama seperti Falah.

"Thia... aku pun bangga dapat pasangan yang berjuang mendidik anak-anak murid untuk jadi insan berguna. Tak mudah jadi guru kepada anak orang lain. Mulianya seorang guru tak ada bandingannya. Kerana guru, seseorang itu berjaya dalam hidup."

Kelembutan suara Fathi benar-benar menjentik tangkai hati Fathiah. Pandangannya bertaut lagi dengan Fathi. Sungguh, setiap kali melihat wajah sawo matang itu, hatinya rasa sejuk. Memang, inilah jodoh yang ditakdirkan buatnya.

"Kenapa kau nak jadi tentera sedangkan ayah kau meninggal masa kemalangan?" Timbul tanda tanya di benak fikiran Fathiah. Tak mahu berfikiran negatif lagi. Ayah Fathi meninggal dunia setelah terlibat dalam tragedi pesawat terhempas semasa bertugas.

"Sebab... aku tak faham kenapa ayah lebih pentingkan kerja berbanding keluarga. Aku nak rasa apa yang ayah aku rasa sepanjang dia jadi tentera. Bila dah 10 tahun berkhidmat... baru aku faham dan dapat jawapan yang aku nak."

Nada suara Fathi sedikit menggeletar. Dia menghela nafas berat.

"Apa jawapannya?"

"Jawapannya... keluarga dan negara sama-sama penting dalam hidup aku. Tapi, sebagai seorang perajurit, aku kena kentalkan hati tinggalkan keluarga demi tanggungjawab kepada negara. Walau seberat mana sekali pun aku nak tinggalkan orang yang aku sayang, nak tak nak aku kena kuat supaya orang yang aku sayang hidup dalam suasana aman."

Mendengar jawapan itu, Fathiah dapat rasakan darah satria dalam jiwa Fathi begitu kuat. Sama seperti arwah Falah. Ya Tuhan, Fathiah benar-benar berharap bahawa Allah akan sentiasa melindungi tunangannya daripada ancaman bahaya.

Kerana seorang Imani Fathiah mula tulus menyayangi Iman Fathi.

BERSAMBUNG...

RINDU YANG KEMBALIWhere stories live. Discover now