EPISOD 22

53 9 0
                                    

"THE number that you have dial is not in services. Please try again later."

Fathiah mengeluh berat tika panggilannya tak dijawab. Sudah dua hari dia tak berkomunikasi dengan Fathi. Sibuk sangatkah suaminya itu hingga tak menjawab panggilan? Ya Allah, Fathiah risaukan Fathi.

"Fathi sibuklah tu. Jangan risaulah. Thia ni cubalah belajar lawan trauma. Mama risau tengok Thia macam ni. Tengok muka tu pucat. Badan pun makin cengkung sebab tak makan. Ni kan dah migrain balik."

Puan Wati mengurut kepala Fathiah yang baring di atas ribanya. Kasihan melihat pengantin baru yang terpaksa berpisah dengan jarak. Tiga bulan Fathi dan Fathiah berjauhan, anaknya ini jadi pendiam semula. Ada kalanya, dia melihat Fathiah menangis sendirian di dalam bilik.

"Thia takut hilang Fathi macam Thia hilang arwah ayah dengan Falah. Thia takut ma..." Nada suara Fathiah bergetar. Entah mengapa sejak dua menjak ini ketakutan itu semakin menghantuinya. Emosinya juga jadi tidak stabil.

"Banyakkan berdoa, Thia. Kalau Thia asyik fikir benda negatif sampai bila-bila pun Thia akan hidup dalam ketakutan. Hah lepas tu Thia juga yang stres. InsyaAllah... Allah akan selalu lindungi Fathi daripada marabahaya. Doa seorang isteri sangat mustajab."

Perlahan-lahan, Fathiah bangun daripada pebaringannya. Pujukan Puan Wati sedikit melegakan hati Fathiah. Ya, dia ini sering saja berfikiran negatif tentang keselamatan Fathi. Trauma kehilanganlah yang buat Fathiah sentiasa ketakutan dan kerisauan.

"Mama..."

Tak semena-mena, Fathiah merasakan isi perutnya memulas. Buru-buru, gadis itu meluru ke tandas bagi memuntahkan isi perutnya. Sungguh, seluruh tubuhnya jadi lesu. Kepalanya semakin berdenyut sakit.

"Thia salah makan ke? Makin panas demam Thia ni. Kita pergi klinik ya. Mama risau tengok Thia sakit." Puan Wati mengusap lembut belakang tubuh Fathiah yang sudah terbatuk-batuk itu. Didemahnya leher jinjang Fathiah. Panas!

"Thia penat je ni ma..."

"Dah dekat seminggu kut Thia sakit macam ni. Dahlah. Mama bawa pergi klinik. Makin melarat karang..."

"Tak naklah ma..." Fathiah merengek. Dia mengesat bibirnya yang basah dengan tuala muka. Dia tak mahu ke klinik. Ubatnya saat ini hanya Iman Fathi. Penawar hatinya.

"FATHI..."

Luluh hati Puan Wati melihat Fathiah yang sudah meracau memanggil nama Fathi. Dia menuamkan air suam ke wajah Fathiah. Wajah manis itu sudah berubah pucat. Teruk benar demam rindu Imani Fathiah ini.

"Fathi..."

"Sabar Thia... Fathi akan balik juga." Perlahan-lahan, Puan Wati mengucup lembut ubun-ubun Fathiah. Dengan harapan kehangatannya bisa memberikan ketenangan buat si anak.

"Fathiah..."

Fathiah berkerut tatkala suara ibunya berubah. Perlahan-lahan, dia mencelikkan mata. Pandangannya bertaut dengan si empunya suara. Tak semena-mena, bibir Fathiah menggeletar. Air matanya mengalir ke pipi. Ya Tuhan... rindunya sudah kembali.

"Isteri abang rindu abang ya?"

Fathiah mengangguk lemah. Adakah ini mimpi? Kalau mimpi... dia tak mahu bangun daripada lena panjangnya.

"Abang dah balik sayang..." Fathi mengucup lembut kura tangan Fathiah. Tubuhnya dibaringkan di sisi Fathiah sebelum dirangkul erat.

"Abang memang dah balik ke? Thia tak mimpi kan?" Fathiah merengek sambil meraba-raba wajah Fathi. Seluruh tubuhnya benar-benar tak bermaya tika ini.

"Abang dah balik untuk Thia... Thia rehatlah. Abang ada kat sisi Thia..." Fathi mengucup lembut dahi Fathiah seraya mengeratkan lagi pelukan mereka. Ya Tuhan, sesak rasanya tatkala kepulangannya disambut dengan Fathiah yang sudah terlantar sakit di atas katil.

SUARA azan Maghrib yang berkumandang mengejutkan Fathi daripada lena panjang. Dia menerawangkan pandangannya ke sekeliling kamar yang malap. Hanya lampu sisi meja katil menerangi ruangan itu. Tatkala terasa usapan lembut di pipinya, Fathi tersenyum lebar.

"Sayang nak makan? Abang..."

"Jangan pergi mana-mana. Thia tak lapar. Thia cuma nak suami Thia je."

Suasana sepi buat seketika. Pasangan itu saling baring bertentangan antara satu sama lain. Fathi membiarkan saja jari jemari isterinya mengusap segenap wajahnya. Kasihan Fathiah, harus beradaptasi dengan hubungan jarak jauh mereka.

"Tak apa sayang. Ini tahun pertama kita. Tapi abang pasti tahun-tahun seterusnya Thia akan kuat jadi isteri abang. Thia janganlah risau pasal abang. Nanti Thia sakit. Abang minta maaf tak angkat call Thia."

"Risau tandanya apa?"

"Sayang."

Senyuman pahit terukir di bibir Fathiah. Dia mengucup lembut kura tangan Fathi. "Thia sayangkan abang... sebab tu Thia takut hilang abang."

Tawa kecil terletus di bibir Fathi. "Cinta? Thia cintakan abang?"

Wajah Fathiah membahang tika Fathi mula menyoal tentang cinta. Renungan Fathi menembus relung hati gadis itu. "Rindu Thia buat abang... lama-lama buat cinta Thia bersemi kembali untuk suami Thia. Thia cintakan abang... sepenuh jiwa dan raga."

Mendengar ucapan cinta Fathiah, Fathi kembali merangkul tubuh isterinya dalam dakapan. Akhirnya, setelah 15 tahun berlalu dia dapat cinta Imani Fathiah semula. Betapa bahagianya Fathi menjadi insan yang dicintai oleh isterinya.

"OH! Suami dah balik baru sihat ya? Macam tu je ke ubatnya Puan Fathiah?"

Fathiah tersengih sambil memeluk erat lengan Fathi. Hari ini, dia sudah kembali segar. Apatah lagi tatkala Fathi mahu membawanya pulang ke Kuantan. Mujur saja cuti sekolah telah pun bermula. Fathiah mahu mengabadikan masanya bersama Fathi.

"Anak mama manja." Fathi mencuit pucuk hidung Fathiah. Senang hatinya melihat Fathiah kembali ceria.

"Manja untuk abang juga kan."

"Hah! Bermanjalah puas-puas sebelum anak kau orang lahir." Puan Wati menjungkit-jungkitkan keningnya tatkala pandangannya bertaut dengan Fathiah. Senyuman nakal terukir di bibir wanita itu.

"Mama tak sabar nak dapat cuculah, sayang."

"Thia pun tak sabar... anak kita lahir." Fathiah tersenyum lebar. Debunga bahagia semakin mekar di ruang hati. Dia sudah membayangkan betapa meriahnya kehidupannya bersama Fathi dengan cahaya mata mereka.

Mendengar bicara Puan Wati dan Fathiah soal anak membibitkan tanda tanya di benak fikiran Fathi. Kenapa ya dia rasa ada sesuatu di antara dua beranak ini? Atau semuanya hanya perasaannya semata-mata?

"Hati-hati balik Kuantan. Kalau dah sampai bagi tahu mama. Pergilah honeymoon lepas rindu kau orang masing-masing. Mama doakan... semoga kau orang selamat sampai."

"Terima kasih ma." Fathi menyalami tangan Puan Wati seraya memasukkan bagasi ke dalam bonet kenderaan.

"Thia.. jaga diri baik-baik." Puan Wati mengusap lembut perut Fathiah yang kempis. Dia senang melihat wajah Fathiah kembali berseri. Alhamdulillah... nikmat Allah itu maha luas. Dia harap, Fathiah akan sentiasa bahagia.

RINDU YANG KEMBALIWhere stories live. Discover now