EPISOD 10

81 16 1
                                    

"TAK guna punya perempuan. Semua benda kau nak rembat daripada aku. Dulu, abang Falah sekarang Fathi pula! Tak boleh ke sekali je bagi aku peluang nak bahagia?"

Iffah mencampakkan bagasinya ke atas sofa. Sakit benar hatinya tika Fathi melayannya acuh tak acuh dan lebih banyak menghabiskan masa bersama Fathiah semasa majlis makan malam itu.

"Apa marah-marah ni sayang?"

Benjy merangkul pinggang Iffah yang sudah mencampakkan barangan di ruang tamu. Menenangkan gadis idamannya itu daripada diserang amukan tanpa henti.

"Thia tu! Dah pandai merenyam balik sekarang sejak ex dia muncul. Ish! Akulah kan nak aje aku pijak-pijak muka perasan cantik dia tu."

Iffah mendengus. Dia menolak kasar tangan Benjy seraya melabuhkan duduk di atas sofa. Rambutnya yang kusut disebak ke belakang. Sudahlah dia cemburu melihat suasana keluarga Fathiah yang bahagia. Tak sama macam keluarganya yang berantakan!

"Kes cemburulah ni?"

"I tak cemburu! I cuma tak suka orang lebih daripada I."

Benjy tertawa sinis mendengar jawapan Iffah. Muka saja cantik tapi otak cetek.

"Dia kan sepupu..."

"I tak kisahlah dia tu sepupu atau anak mak su I sekali pun! Apa yang I kisah... I tak nak dia bahagia di atas apa yang dia ada sekarang!"

Amarah Iffah semakin berkobar-kobar. Dia iri hati dengan setiap kejayaan yang dimiliki oleh Fathiah. Kalaulah dia boleh hapuskan gadis itu sebelum Falah meninggal lagi pasti dia sudah bahagia bersama Falah!

"You kena tolong I!"

"Tolong apa? I akan buat apa je yang you nak asalkan you happy."

Terherot senyum sinis di bibir Iffah tatkala Benjy bersedia untuk bertindak. Wajah Benjy yang meliar dengan jambang diusap lembut. Ini yang dia suka tentang kekasih gelapnya. Menurut perintah!

PINTU bilik yang terpelohong dipandang sepi. Sesekali, Fathiah meraup wajahnya tatkala perbincangan kaum tua masih belum selesai di tingkat bawah. Kenapa ya tegang saja suasana di ruang tamu? Soalan apa yang mereka ajukan kepada Fathi? Sudahlah Fathi berhadapan dengan pak long dan abangnya yang sama-sama menjadi orang atasan Fathi.

"Macam mana kalau dia orang tolak?"

"Tapi biarlah kalau dia orang tolak. Kau tak cintakan dia pun."

"Tapi... aku macam... dah mula sukakan dia balik. Ya Allah peningnya!"

Tak semena-mena hati Fathiah berperang lagi. Dia melabuhkan duduknya di birai katil. Memandang wajahnya melalui biasan cermin solek. Ada degupan yang semakin kencang memalu kuat jantungnya.

Kenapa dengan dia?

"Aku dah mula sayangkan Fathi balik ke sampai aku risau kalau pinangan tu ditolak?"

Fathiah tertunduk. Tak mengerti dengan gejolak yang mula mengucar-ngacirkan sang hati. Berkali-kali bibirnya melafazkan zikrullah untuk menenangkan hatinya yang bercelaru.

Di tingkat bawah, Fathi juga jadi tak keruan berhadapan dengan soalan bertubi-tubi daripada Major Mateen dan Brigadier Jeneral Hamdan. Kedua-duanya orang atasan yang buat dia kecut perut. Tapi, tak apa. Ini semua demi masa depannya bersama Fathiah.

"Tahu surah Ar Rahman?"

"Tahu sikit je, tuan."

"Sikit je? Berapa ayat yang kau hafal?"

Nada suara tegas Tuan Hamdan buat Mateen geli hati. Dia cuba mengawal senyumnya.

"Lima ayat daripada 78 ayat yang ada dalam surah Ar Rahman saja tuan." Fathi tak menipu. Hanya lima ayat yang mampu dia hafal.

"Apa yang kau tahu pasal surah Ar Rahman?"

Ya Tuhan, tadi dia disoal mengenai kesanggupannya berjauhan dengan Fathiah. Diuji bagaimana kesetiaannya terhadap hubungan mereka kelak. Kali ini, diuji tentang pengetahuan ilmu agamanya pula. Benarlah, menikahi Imani Fathiah akan melalui proses yang sangat mendebarkan.

"Kapten Fathi!"

"Tuan!" Fathi mengenggam kedua-dua belah tangannya. Tersentak daripada rasa gemuruh tatkala suara Mateen kedengaran.

"Tak tahu ke?"

"Saya tahu, tuan."

"Habis tu kenapa diam? Lambat kau berfikir. Nak kahwin dengan adik aku laju je kau jumpa aku."

Puan Wati menghidangkan minuman dan kuih-muih di atas meja kopi. Kasihan benar dia melihat wajah Fathi yang sudah pucat itu. Mahu menyampuk, dia tahu tujuan abang dan anak lelakinya melakukan soal jawab bersama bakal menantunya itu.

"Minum dulu. Mati kejung karang anak orang hadap kau orang punya soalan ni."

"Wati, kau jangan risau. Sebelum Fathi masuk tentera lagi dia dah kena teruk dengan jurulatih dia. Ni baru berdepan kita orang. Belum musuh di medan peperangan lagi." Tuan Hamdun menghirup kopi panas. Menghangatkan tubuhnya pada waktu hujan itu.

"Yalah. Wati sambung buat kerja kat dapur." Puan Wati berpamitan. Sempat lagi dia buat isyarat tangan semangat tatkala pandangannya bertaut dengan Fathi.

"Jadi, apa yang kau tahu pasal surah Ar Rahman?"

"Surah Ar Rahman selalu dijadikan mahar daripada pengantin lelaki buat pengantin perempuan. Banyak pengajaran tentang ilmu perkahwinan dalam surah ni. Salah satu terjemahan bermaksud nikmat manakah lagi yang akan manusia dustakan. Dalam potongan ayat ni, dapat dikaitkan dengan pernikahan adalah menyempurnakan separuh ad din dan sebagai rasa bersyukur dikurniakan pasangan, Surah Ar Rahman dijadikan mahar buat pengantin perempuan."

Fathi menghela nafas panjang. Berkat dia sering menghadiri majlis ceramah di kem lancar saja mulutnya menjawab soalan Mateen dan Tuan Hamdun.

"Surah Ar Rahman ni juga berkaitan dengan jodoh. Di dalam syurga terdapat pelbagai buah-buahan yang berpasang-pasangan. Dalam ayat ni pula kita dijelaskan bahawa Allah telah takdirkan segala sesuatu untuk berpasangan termasuklah tumbuh-tumbuhan yang ditanam. Inilah rahmat Allah buat makhluknya."

Seketika, Mateen menyandarkan tubuhnya sambil berpeluk tubuh. Pandangannya bertaut dengan Fathi yang tak kekok menjelaskan pengetahuannya tentang Surah Ar Rahman. Nampaknya, calon adik iparnya ini bukan calang-calang meskipun pada awalnya kelihatan gugup.

"Kenapa kau nak kahwin dengan adik aku? Kau tahu kan dah berbelas tahun dia bujang lepas je arwah tunang dia meninggal. Kau boleh terima ke kalau adik aku tak cintakan kau?"

Soalan Mateen benar-benar buat Fathi terkelu. Dia tahu bahawa hati Fathiah tak pernah berubah buat Falah. Bersediakah dia menerima keadaan tika cinta Fathiah bukan untuknya lagi?

"Mungkin sekarang kau boleh jawab kau terima tapi bila dah hidup dengan dia nanti macam mana keadaannya? Aku tak nak sebab isu ni je kau bergaduh dengan adik aku. Tak mudah untuk dia lupakan arwah Falah walaupun kau cinta pertama dia."

Fathi berdeham. Dia menerawang ke sekeliling ruang tamu rumah Puan Wati. Sungguh, hatinya seakan-akan ditusuk belati tajam dengan bicara Mateen. Dia tahu dia akan makan hati sepanjang perkahwinan mereka.

Tapi, dia mencintai Imani Fathiah. Fathi hanya mahukan gadis itu menjadi pasangan hidupnya.

BERSAMBUNG...

RINDU YANG KEMBALIWhere stories live. Discover now