EPISOD 23

52 11 0
                                    

ANGIN pantai yang bertiup lembut bersama desiran ombak di Pantai Cherating menjadikan suasana begitu tenang. Kelihatan beberapa orang pengunjung sedang bermain papan luncur di atas permukaan air laut. Sukan itu sentiasa menjadi daya tarikan pengunjung.

"Cantiknya senja."

"Abang tahu tak kenapa senja selalu setia dengan langit?"

Buat seketika, Fathi memandang figura Fathiah yang berpimpin tangan dengannya berjalan di tepi laut. Mereka melabuhkan duduk di atas tikar. Memandang keindahan senja di kaki langit.

"Kenapa?"

"Sebab langit selalu terima senja apa seadanya. Senja juga mengajar kita bahawa sesuatu yang dilihat itu indah tapi semuanya hanya bersifat sementara."

Suasana sepi buat seketika. Hanya suara pengunjung yang kedengaran. Fathiah tersenyum tatkala Fathi kelihatan terpegun dengan bicaranya. Dia merangkul lengan Fathi seraya melentokkan kepala di bahu pemuda itu.

"Tapi senja... bertambah cantik bila dilihat dengan orang yang kita cinta."

Fathiah tertawa tatkala Fathi juga mula berpujangga tentang senja. Pandangan mereka bertaut lagi.
"So Kapten Fathi... lepas ni kita nak buat apa? Anak kapal sedia menurut perintah tuan!"

Fathi mencubit pipi Fathiah tatkala gadis itu kembali ceria. Memberikan tabik hormat kepadanya. Alahal isteri, ada saja ulah Fathiah yang membuatkan Fathi mabuk cinta.

"Jom!"

"Pergi mana?" Fathiah mendongak. Dia menyambut tangan Fathi.

"Siapa sampai sana dulu dia menang."

"Ala! Kacang je tu. Ni Fathiah kot olahragawati kat sekolah dulu. Setakat nak lawan abang senang je." Fathiah berpeluk tubuh. Membuat riak sombong dan angkuh.

"Tapi abang olahragawan sekolah. Siapa lagi hebat? Abang ke Thia?" Fathi menjungkit-jungkitkan keningnya. Teringat dia dan Fathiah pernah menjadi pasangan yang hebat di mata rakan sekolah mereka. Kedua-duanya hebat dalam bersukan.

"Kalau kalah?"

"Denda!"

Fathi meluru ke gigi air. Senyumannya kian melebar tatkala Fathiah dapat mengejarnya. Nyata, Fathiah memang hebat tatkala isterinya itu sampai dahulu ke tempat sasaran.

"Abang kena denda..."

Tak semena-mena, Fathiah melopong tatkala Fathi memercikkan air ke wajahnya. Bajunya basah dek percikan air. Sungguh, Fathiah geram. Laju saja dia membalas. Tatkala Fathi merangkul pinggangnya, tawa Fathiah meledak jua. Geli hati dengan tingkah Fathi yang sama-sama buat mereka berendam di dalam laut.

Bersaksikan senja, terukirlah kebahagiaan yang tak ada penghujungnya buat Fathi dan Fathiah. Cinta mereka penuh dengan liku. Namun kekuatan cinta itu jugalah yang membuatkan mereka saling melengkapi.

"ABANG..."

"Ermm?"

Fathiah mencebik tatkala Fathi lebih sibuk menghias teratak kecil mereka di kuarters itu. Mahu dibantu, suaminya menegah. Jadi, Fathiah hanya mampu menjadi pemerhati Fathi yang sedang mencat dinding ruang tamu dengan warna hijau lembut. Suka benar Fathiah melihat kelincahan Fathi bekerja tanpa penat itu. Apatah lagi melihat urat-urat timbul di tangan suaminya. Maskulin!

"Kenapa sayang?"

Hampir saja Fathiah melopong tatkala pucuk hidungnya dicuit oleh Fathi. Kaget! Tangannya yang sedang menopang dagu di atas sofa diturunkan.

"Thia nak belajar benda baru pasal jet boleh?"

Sebenarnya, Fathiah hanya mahu dengar Fathi bersuara saja. Suaminya itu terlalu sibuk hingga tak melayan kehendaknya yang memerlukan perhatian ini.

"Okey... Thia nak tahu pasal apa." Fathi melabuhkan duduk di sebelah Fathiah. Secawan teh panas yang dihidangkan oleh si isteri dihirup.

"Cerita pasal kapal yang abang selalu bawa." Fathiah bersila di atas sofa. Pandangannya bertaut dengan Fathi. Menanti Fathi bercerita seperti anak kecil yang sudah bersedia mahu mendengar cerita sebelum tidur.

"Saja kan nak kacau abang buat kerja." Bukannya Fathi tak tahu isterinya ini mahukan perhatian. Tak apa. Fathi boleh bagi seberapa banyak mana yang Fathiah perlukan.

"Abang pernah bawa Hornet masa kemerdekaan dulu. Fungsinya berupaya menjalankan serangan maritim dan cuaca yang pelbagai termasuk digunakan untuk serangan pada waktu malam. Dalam Hornet pun ada keupayaan guna bom dari Siri Paveway dan peluru berpandu anti kapal Harpoon."

Fathiah angguk saja walaupun dia tak faham bahasa saintifik jet itu. Suka benar dia melihat reaksi Fathi bercerita tentang keistimewaan jet pejuang yang dibawanya. Teringat zaman sekolah mereka dahulu. Fathi memang suka jet pejuang sejak usia remaja lagi.

"Lepas tu ada Sukhoi. Hah Sukhoi ni abang suka."

"Apa istimewaannya?"

"Kelajuan tertinggi Mach 2.25 kira-kira 1500 batu sejam dan jarak. Penggunaan bahan api dalaman pula sebanyak 1900 batu nautika. Boleh beroperasi ketinggian 60,000 kaki di udara dan pendakian 55,1000 kaki seminit. Sebab tu kalau bawa Sukhoi abang rasa tengah merempit atas awan."

Nada suara Fathi yang kedengaran teruja membuatkan Fathiah tertawa kecil. Seolah-olah berhadapan dengan anak kecil yang bercerita tentang pengalaman menarik saja bila berhadapan dengan Fathi yang ralit bercerita pengalamannya sebagai juruterbang jet pejuang.

"Faham tak?

"Eh, dah habis?" Fathiah terpinga-pinga tatkala Fathi berhenti bercerita. Masih tak puas merenung wajah tampan suaminya itu.

"Banyak dah abang cerita. Pasal Sukhoi, Hawk, Hercules, Hornet."

"Ala... nak lagi."

Fathi mengulum senyum. Dia dekatkan wajahnya ke wajah Fathiah. Ada sesuatu yang tak kena dengan isterinya hari ini.

"Kenapa?"

"Thia cantik."

Wajah Fathiah membahang panas tatkala Fathi mula mengusik. Dia mengulum senyum tatkala pucuk hidung mereka sudah bersentuhan. Pandangan Fathi benar-benar buat Fathiah jatuh cinta.

"Abang ni kenapa?"

"Tak acilah Thia ambil kesempatan renung abang sambil dengar abang bercerita."

Fathiah memalingkan wajahnya tatkala Fathi sudah dalam mood miang keladi itu. Degupan jantungnya jadi kencang. Buru-buru, Fathiah bangun mahu ke dapur. Lebih baik dia buatkan kek untuk Fathi. Esok ulang tahun Fathi yang ke 34 tahun.

"Hey. Nak pergi mana?" Fathi menarik lembut tangan Fathiah sehingga tubuh isterinya terduduk di atas riba.

Fathiah berdeham. Ya Tuhan, habislah dia. Inikah dendanya kerana mengusik Fathi tadi?

"Abang..."

"Ermm?"

"Thia..."

Tak semena-mena, perut Fathiah kembali memulas. Isi perutnya seakan mahu terkeluar. Buru-buru, gadis itu meluru ke tandas memuntahkan isi perutnya. Ya Tuhan, alahan ini kembali datang. Membuatkan Fathiah tak selesa.

"Sayang sakit lagi ke?" Fathi mula risau melihat Fathiah tak henti-henti memuntahkan isi perut. Belakang tubuh Fathiah ditepuk-tepuk lembut.

"Alahan je ni."

"Alahan?" Fathi mula sangsi dengan isterinya. Kenapa ada yang aneh tentang Fathia sejak isterinya diserang demam panas?

Adakah... Fathiah sedang mengandung? Tapi, kalau ya kenapa Fathiah tak mahu memberitahunya?

RINDU YANG KEMBALIWhere stories live. Discover now