Bab 2

1.9K 54 2
                                        

Mulut Durrah terlopong. Wajah Encik Rahman, Pengurus Sumber Manusia Kolej BSC ditatapnya tanpa berkelip. "Betul ke, Encik Rahman?" Surat di tangan dan wajah selamba Encik Rahman dipandang silih berganti.

"Dah keluar surat dari pejabat Datuk tu, mestilah betul. Takkan saya nak buat lawak antarabangsa kat sini pula." Suara Encik Rahman bagaikan menyindir.

"Tapi Encik Rahman... saya tak ada kemahiran dan pengalaman dalam bidang tu. Boleh ke saya buat?" Kerutan di dahi Durrah makin berlapis.

"Puan Haniz yang rekomen. Dia dah tengok CV awak. Dia kata awak boleh buat. Lagipun dulu, awak pernah buat praktikal sebagai editor pelatih kat Alaf 21, kan? Bolehlah tu. Ada pengalaman kemahiran menyunting. Lagipun kami nak awak pelajari selok-belok kerja-kerja SE. Nanti boleh jadi mentor untuk SE baru."

"Hah? SE? Apa kebendanya tu?" Durrah terlopong lagi.

"Subject Expert. Nanti mereka akan jelaskan pada awak. Lepas ni kemas barang-barang dan naik atas jumpa Mr. Akshay Kumar. Dia Pengarah Projek MySkool. Mulai sekarang, awak terima arahan daripada dia."

Durrah mengangguk. Selepas itu, dia melangkah keluar dari bilik Encik Rahman ibarat zombi. Tangannya lincah mengemas barang-barang tapi fikirannya tiada di situ. Pindah jabatan? Apalah yang dia tahu fasal Projek MySkool? Berbual dengan Haniz pun tak pernah fasal kerja. Apa yang dia tahu fasal bidang tugas Haniz dan seluruh warga MySkool?

Lawaknya di Unit HR, memang tiada langsung dokumen berkaitan job description Projek MySkool. Pelik tapi benar. HR cuma simpan CV staf MySkool saja.

Berat sungguh langkah kaki Durrah hendak naik ke tingkat 10. Dengar cerita Projek MySkool ialah projek kesayangan Datuk Singah selepas Kolej BSC. Sebab itu pejabat MySkool diletakkan hanya setingkat rendah dari pejabatnya. Kata khabar angin lagi, Datuk Singah memang suka habiskan masa lapangnya di Projek MySkool.

Ketika lif terbuka di tingkat 10, Durrah disambut oleh barisan kerusi dan meja yang disusun macam medan selera. Eh? Tempat apa ni? Inilah pertama kali Durrah menjejakkan kaki ke tingkat itu. Selama ini, staf MySkool sendiri yang turun ke unitnya kalau mereka perlukan apa-apa. Besar betul mandat HR, kan?

Durrah terus menghalakan kakinya masuk ke pejabat MySkool. Mulutnya terlopong sekali lagi. Mak datuk...ramainya staf. Durrah mula membilang. Eh... bukankah memang ada 68 orang di situ? Buat apa nak kira? Dia nyaris tak mengetuk kepalanya sendiri dengan buku hitam di tangannya.

"Ya?" Tiba-tiba seorang lelaki tinggi lampai, bermisai macam Mustafa Kamal pelakon Hindi-Tamil berdiri di hadapan Durrah.

Terpaksalah Durrah yang comel itu mendongak. "I nak jumpa Mr. Akshay Kumar."

"I orangnya. Kenapa?" Wajah Mr. Akshay Kumar yang berasal dari Bangalore, India itu ceria, mesra dan terus berubah peramah.

"Staf baru, Encik Rahman suruh I..."

"Ya... ya... Datuk pun dah beritahu I mengenai you. Mari... I tunjukkan tempat you."

Durrah mengekori Mr. Akshay Kumar menuju ke sebaris kubikel berhampiran tingkap.

"Ini tempat duduk you dan ahli kumpulan you." Mr. Akshay Kumar menunjukkan ke arah seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan berkaca mata yang sedang berkerut-kerut merenung skrin. Nampak rajin benar.

"Ini Azri dan di sana tu, Fadillah."

Durrah hanya mengangguk dan tersengih memandang Azri. Dia meletakkan beg tangan, buku nota dan sebuah fail di atas meja sebelah kubikel Azri. Barang-barang lain masih di dalam beg membeli belah Jusco yang dah pun diletakkan di atas lantai.

Cinta Dorayaki [PUBLISHED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang