Bab 20

1.3K 40 0
                                        

Durrah tercengang sambil memandang wajah abangnya. "Jangan main-mainlah, abang long. Tak lucu tau!"

"Abang long tak main-main. Najwan tu kawan baik abang long. Hati budi dia abang long dah kenal. Sejuk hati abang long kalau angah terima dia," pujuk Dani.

"Abang long... tolonglah. Angah tak mahu fikir perkara ni lagi." Sambil bercakap, matanya memandang ke arah lelaki yang sedang mengisi lauk ke dalam pinggan.

Najwan, kawan baik Dani semenjak di universiti itu tak kurang segak di mata para gadis. Tapi hati Durrah masih tertutup buat orang lain kecuali... si lanun durjana yang tak sepatutnya ada di situ. Darah panas terus menyimbah ke mukanya. Alamak!

Najwan menghampiri mereka dan Dani pula yang bangun memilih makanan.

"Durrah tak makan?" tegur Najwan. Seulas senyuman terukir di bibirnya. Ikhlas.

"Saya dah pesan kuetiaw ladna."

Kulit wajah Durrah dah merah menyala. Bukan kerana malu kepada Najwan sebaliknya kulitnya terasa panas dengan renungan tajam Zharif. Bagaimana dia boleh ada di situ? Bukankah Zharif tak berapa menyukai masakan Melayu? Dia datang bersama Adele pula tu.

Dani pula hilang entah ke mana. Pilih makanan macam pilih baju raya. Dia mula tercari-cari.

"Cari Dani?" tanya Najwan. Dia dah mula menyuap nasi ke dalam mulut. "Dani kata dia ada hal. Dia balik ke pejabat dulu."

Durrah hampir tersedak. Tatkala itu dia sedang menyedut teh O ais limau. Tak guna punya abang long! cemuh Durrah geram. Nampak sangat abangnya sengaja nak mengenakan dia dengan janji temu buta itu. Siaplah dia nanti Durrah kerjakan.

"Durrah mesti tak selesa Dani buat macam ni." Najwan memulakan perbualan. "Saya dah larang. Tapi dia bertegas nak juga saya kenal Durrah."

Durrah terus menyedut minumannya dengan rakus. Tubuhnya terasa panas. Panas kerana marah dan panas kerana takut. Takut? Adakah dia takut dengan Zharif? Untuk apa? Dahi Durrah berkerut. Dari ekor matanya, dia masih dapat melihat Zharif yang masih memandang ke arah mereka. Adele dah hilang entah ke mana.

Makanan yang dipesan oleh Durrah tiba. Perlahan-lahan dia makan kerana masih panas berasap. Makin lamalah dia akan berhadapan dengan Najwan yang dah mula berborak kosong dan Zharif yang terus merenung tajam ke arahnya.

Tak tentu arah juga Durrah dibuatnya apabila terpaksa melayan Najwan dan berpura-pura seronok kerana tak mahu menunjukkan cuak di hadapan Zharif. Kalau Durrah nampak cuak, tentu Zharif akan ingat dia takut dengan lelaki itu. Lagipun buat apa Durrah nak berasa cuak? Bukannya dia melakukan apa-apa kesalahan pun.

Eh ya ke? Memang tak lakukan apa-apa kesalahan tapi rasa serba salah, kan? Bila Zharif ajak berjumpa, dia tolak. Tapi bila ada lelaki lain ajak, dia terima. Eh... ini tak boleh dikira sebab Dani yang aturkan. Hati dan perasaannya terus berdebat mencari salah. Makin tak tentu arah dia dibuatnya. Makan rasa macam tak kenyang. Minum rasa macam tak puas.

Walaupun dah ditegah, Najwan berdegil mahu menghantar Durrah ke pejabat. Terpaksa juga Durrah mengalah.

"Boleh saya jumpa awak lagi?" Najwan keluar dari kereta. Suaranya agak kuat.

Durrah berpaling ke belakang. Tika itu juga kereta Zharif berhenti di hadapan kereta Najwan. Wajah Durrah terus pucat lesi.

"Boleh?" Najwan mengulang soalannya. Tika itu Zharif dah keluar dari kereta dan menyerahkan kunci kepada pembantunya.

"Kalau awak sudi, esok saya nak ajak awak keluar makan lagi." Najwan benar-benar serius.

Durrah pula dah kelu. Zharif berlalu di sisinya. Sedikit pun lelaki itu tak menjeling ke arahnya. Wajah Zharif serius. Nampak seperti sedang menahan marah.

Cinta Dorayaki [PUBLISHED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang