"You tengoklah. Jangan pengsan pula." Ginny menghulurkan kamera Nikon DSLR dengan hati-hati.
Suasana di The Olive Oil masih tenang. Belum lagi diserbu oleh orang ramai yang nak mengisi tembolok tengah hari.
Durrah menyambut kamera mahal itu dengan berhati-hati. Mulutnya terlopong membelek satu demi satu gambar yang diambil oleh kamera Nikon DSLR D800 itu.
"I pun terkejut tau masa ambil gambar-gambar ni."
Durrah tersandar lemah pada kerusinya. Gambar-gambar Zharif masih dipandangnya. "Siapa sebenarnya dia, Ginny?" Lemah suaranya bertanya.
"Seseorang... maksud I, orang penting. Keluarga dia semua orang berpengaruh. You pasti ke nak serius dengan dia? I bukan nak dengki atau apa. Tapi kita ni orang biasa-biasa. Masa I ada kat majlis tu, I tak rasa macam I ada di KL. Macam Vegas saja. You faham maksud I, kan?"
Durrah mengangguk lemah. Wajah wanita cantik yang dilihatnya di pejabat Datuk dulu terbayang di mata. Entah siapakah dia? Wajah dan gayanya dah cukup untuk membuktikan gaya kehidupannya. Dan tengok sajalah si sotong gedik tu. Sentiasa bergaya ke pejabat dengan perhiasan berjenama. Gaya elit yang Adele tampilkan memang terserlah.
Durrah membelek dirinya. Siapalah dia nak bergandingan dengan keluarga elit macam tu? Dia cuma gadis biasa. Tak terlalu mewah dan tak juga susah. Keluarganya berasal daripada golongan pertengahan yang tinggal di kawasan luar bandar.
Sedangkan Ginny yang bukan beragama Islam juga berasa cuak dan canggung berada dalam majlis keraian yang jelas kebaratannya itu, apatah lagi dia? Bagaimanalah dia boleh terlibat dengan Zharif?
Selepas berjumpa Ginny, Durrah lebih banyak termenung daripada membuat kerja. Tumpuannya hilang entah ke mana. Semangatnya seakan-akan pudar. Selepas solat zuhur, baru dia dapat berfikir dengan jelas. Dia mula merancang masa depannya. Sungguhpun dia suka bekerja di situ, dia tak ada pilihan lain. Dia perlu segera menjauhi Zharif sebelum perasaannya hanyut lebih jauh. Kucing Parsi tak akan sebulu dengan kucing kampung.
Tiba-tiba LAN chatnya berkelip-kelip. Chat dari Zharif.
Zharif : Kenapa dengan you sejak akhir-akhir ni? Kurang tumpuan pada kerja.
Durrah : I tak dapat buat kerja kalau ada orang sentiasa mengganggu.
Zharif : You yang biarkan perasaan you diganggu bayangan sendiri.
Durrah : Apa-apa sajalah. I nak sambung kerja. You chatlah dengan si sotong tu!
LAN Chat dimatikan. Tapi tak berapa kemudian, nada dering WhatsApp pula yang berbunyi. Dia melihat telefon bimbitnya. Mesej daripada Zharif.
Zharif : You ni tak habis-habis nak cemburu pada Adele. Dia dengan I tak ada apa-apa pun.
Durrah : You dah tak ada kerja sangat ke ni? Kalau dah tak ada kerja, pergilah kasi ceramah sikit pada Fei Chucky tu. Tadi dia marah SE baru Math sampai budak tu bagitau I dia nak berhenti. Atau kalau you tak boleh uruskan Fei Chucky, you pergilah borak-borak dengan Dr Maria Kebayan. Dia tu dah psiko. Tadi jerit kat semua orang suruh senyap. Macamlah kita bising macam pasar borong!
Zharif : Rajinnya you taip panjang-panjang macam ni. Tentu jari you yang comel tu lenguh, kan? Apa kata datang sini kita bincang, boleh?
Durrah: Bolehlah sangat. BOLEH BLAH!
Tiba-tiba keadaan yang separa sunyi itu dikejutkan dengan suara orang bertempik kuat dan pintu dihempas. Beberapa orang SE perempuan berlarian dari arah tandas.
"Kenapa?" tanya Durrah separuh panik.
"Kak Mar menjerit tiba-tiba. Lepas tu hempas pintu. Terkejut aku!" Lela mengurut dadanya. Wajahnya kelihatan pucat. Terkejutlah tu.
"Apa kes dia jerit lagi? Takkan dalam tandas pun ada orang buat bising?" Naik pening kepala Durrah memikirkan sikap Dr Maria Kebayan yang tak padan dengan usia. Asyik menjerit saja kerjanya. Tak rasa malu ke dengan staf lain?
"Dia tensionlah tu. Tak boleh buat kerja." Azri sempat menyampuk ketika dia melintasi Durrah dan Lela.
"Kenapa? Siapa yang menjerit?
Durrah terdengar suara Zharif di belakangnya. Rasa macam dekat sangat. Dia tau kalau dia berpusing, mesti dia akan berlaga dengan lelaki itu. Lalu dia menjeling dari ekor mata. Memang sah! Zharif berdiri betul-betul di belakangnya. Hampir sangat. Kalau ikutkan hati, nak aje Durrah pijak kakinya. Tapi apa pula kata staf-staf lain yang ikut sama berdiri berdekatan?
"Kak Mar mengamuk!" Tiba-tiba Diba berlarian dari arah tandas.
"Kenapa kau lambat, Diba? Semua orang dah lari dulu tadi," tegur Lela.
"Aku tengah o'ok ler. Tak kan nak lari kot," jawab Diba. Sebaik ternampak Zharif, dia terus menekup mulutnya. Malu.
Durrah menahan gelak. Dia juga menekup mulutnya.
"Tak payah nak gelakkan orang. You pergi tengok." Zharif tunduk dan berbisik rapat ke telinga Durrah.
Durrah yang terkejut, nyaris tak melaung. Panjang kakinya melangkah ke hadapan, kelam-kabut menuju ke tandas. Sebaik tiba di hadapan tandas, dia mengurut dada. Cis, tak guna punya lanun. Dia menyumpah. Berani betul dia buat aksi macam tu depan staf lain. Malunya dia. Mana nak letak muka lepas ni?
Durrah menghela nafas panjang. Dia harus menumpukan perhatian kepada masalah yang baru diletakkan di atas bahunya. Memujuk Dr Maria bukanlah idea yang sangat bijak. Silap hari bulan, pencuci muka melayang ke wajahnya.
Baru Durrah nak mencapai tombol pintu tandas, dia terdengar suara Fei Fei.
"Nanti-nanti. Biar I yang bercakap dengan dia." Berlari-lari anak Fei Fei menerpa ke pintu tandas.
Durrah segera berundur ke belakang kerana tak mahu menghalang laluan Fei Fei.
"Terima kasih, Durrah!" Sempat lagi Fei Fei menghadiahkan senyuman plastik sebelum dia masuk ke dalam tandas.
Durrah kembali ke tempatnya. Mujur tiada sesiapa yang menunggu. Masing-masing dah duduk kembali. Mungkin Zharif yang suruh mereka buat kerja semula. Baru saja dia nak duduk, pintu bilik Zharif dah terbuka. Terjengul kepala lelaki itu sambil memberikan isyarat supaya dia masuk ke dalam bilik.
Durrah melepaskan keluhan keras. Dia perasan ada beberapa pasang mata sedang memerhati ke arahnya termasuk Adele yang jelas mempamerkan riak kurang senang. Inilah yang dia nak elakkan. Tak pasal-pasal dia boleh bermusuhan dengan staf lain gara-gara kerana rebutkan perhatian Zharif.
Sengaja Durrah biarkan pintu terbuka luas ketika dia masuk ke dalam bilik Zharif. Tapi Zharif dengan rajin bangun dan menutup pintu biliknya.
"Kenapa dengan Dr Maria?" Zharif duduk di hujung meja sambil berpeluk tubuh. Gaya macam seorang pegawai polis sedang menyoal siasat suspek pula.
Eh eh... macam Durrah pula yang buat salah. Tapi macam biasa, Durrah hanya pamer wajah selamba. "I tak tau. Belum sempat tanya, Fei Chucky dah masuk dulu. Baguslah. Psiko rawat psiko."
"Durrah!" Zharif memberikan amaran kepada Durrah supaya menjaga kata-katanya.
Durrah buat muka bosan sebelum bangun dan berhadapan dengan Zharif. "I hairanlah... apa istimewanya mereka berdua tu sampaikan pengurusan buat tak reti aje bila mereka buat perangai gila kat opis? Terganggu tau kesihatan mental kami!"
Zharif menarik nafas dalam-dalam. Agaknya dia tengah tahan marah. Tau pun marah. Kalau staf lain marah, dia boleh buat pekak badak. Kali ini Durrah pula marah. Tengok apa dia nak cakap?
"Maafkan I sebab tak dapat nak buat apa-apa mengenai mereka berdua. Arahan Datuk."
"Arahan Datuk atau you yang tak mahu pening-peningkan kepala layan mereka?"
"Kedua-duanya!" Mudah jawapan Zharif. Dia duduk di tempatnya. "Tengah hari ni keluar lunch dengan I. Ada sesuatu yang I nak bincang. Personal." Nada suara Zharif berubah daripada formal kepada santai. Lembut dan mesra dari tadi.
"I dah beritahu you banyak kali. Jawapannya sentiasa tak!" Durrah terus keluar tanpa memberikan peluang kepada Zharif untuk memujuk.
YOU ARE READING
Cinta Dorayaki [PUBLISHED]
Romance"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" "Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya buku nota tu." "Wei...penting. Nyawa aku tu." Malangnya buku nota keramat kepunyaan Durrah terlepas ke tangan Zharif sekali gus membuka ruan...