Persembahan modul pertama kumpulan Durrah ditolak mentah-mentah oleh Datuk Singah dan panelnya Mr. Abraham yang Durrah gelar Hobbit Hitam.
Terpaksalah Durrah dan anggota kumpulan barunya berhempas pulas memikirkan cara memudahkan penjelasan mengenai kedua-dua topik itu.
Dengan masa yang sedikit, tekanan yang semakin menghimpit, masing-masing seakan-akan ingin meletup marah. Hubungan mereka yang sebelum ini tak kenal maka tak cinta, sekarang semakin bercinta-cinta sehingga rindu dendam yang mencetuskan gaduh-gaduh sayang.
"Boleh siap petang ni tak?" Mr. Abraham si pengkritik bebas menyoal tegas.
Terkebil-kebil mata Durrah memandang lelaki pendek berkulit gelap dan bertubuh gempal itu.
"I tanya you ni? Janganlah buat muka tak faham!" herdik Mr. Abraham kemudian.
"I dah hantar pada GD hari Isnin lepas. Tapi tak boleh janji bila boleh siap sebab ada banyak pembetulan kena buat." Durrah cuba menyabarkan diri. Rasa hendak ditelannya hidup-hidup lelaki sepupu Hobbit itu.
"Boleh siap petang ni tak?" Suara Mr. Abraham semakin keras.
'Aik? Deja vu ke apa ni? Ulang soalan yang sama pula.' "Kami sedang berusaha nak siapkan. Bukannya kami tak mahu buat. Dan bukannya kami ni kerja main-main sesuka hati!" Tanpa sedar, nada suara Durrah turut berubah sedikit tinggi daripada tadi.
"Eh... cakap sopan sikit, boleh tak? Jangan kurang ajar tau!" tempik Mr. Abraham tiba-tiba. Ruang pejabat yang tadi agak bising, senyap tiba-tiba. Masing-masing memusatkan pandangan ke arah Mr. Abraham dan Durrah.
Mr. Akshay yang lalu tiba-tiba, terus melencongkan laluan ke lorong lain. Beberapa orang staf lain yang sedang berbincang, terus memandang ke arah Mr. Abraham yang sedang memarahi Durrah tanpa belas kasihan.
"Okey... saya minta maaf!" Durrah mengangkat tangan seolah-olah pencuri selipar yang berjaya dicekup AJK Masjid. "Maaf... okey!" Lafaz maaf hanya di mulut. Di dalam hati, Durrah menyumpah dalam pelbagai bahasa.
"Lain kali cakaplah baik-baik. Jangan kurang ajar!" Mr. Abraham terus berlalu.
Durrah terduduk di atas kerusinya. Dia termenung memandang skrin. Rasa marah dan geram berbuku-buku di dada.
"Hei... jom pergi makan. Dah pukul satu ni." Ginny menyentuh bahunya.
"Okeylah." Air mata sudah bergenang di tubir mata Durrah. Namun, dia cuba menahannya.
Sesampai di restoran yang biasa dikunjungi mereka, Ginny menolak pintu bilik makan privasi yang selalu diduduki oleh mereka.
Durrah sudah tidak dapat menahan perasaannya. Dia mula menangis dan mengongoi macam budak kecil. "I benci dia! Minta-minta ada lori sampah lalu, langgar dia sampai mati!" Tersedu-sedu Durrah menangis.
"Hei... sabarlah. I tak pernah tengok you macam ni." Ginny menggosok-gosok bahu Durrah.
"I benci semua ni!" Durrah rasa seperti mahu menjerit, melepaskan sebak dan sesak di dada.
"I dengar si pendek tu marah you tadi," kata Ginny. "Suka hati dia aje nak marah you. Datang pun tak bagi salam, terus nak bagi arahan itu ini kat kita. Entah siapalah dia tu?" Ginny meluahkan rasa tak puas hati yang berbuku di dadanya.
"Dia yang kurang ajar, kata I pula!" kata Durrah, kecewa. Sedunya masih bersisa.
"Makan dulu. You nak pesan apa?" Ginny mencelah apabila pelayan masuk ke bilik kecil itu.
"I tak nak makan." Durrah menggeleng. "Bagi teh O ais limau aje." Tangannya mencapai tisu di atas meja. Sisa-sisa air mata di wajah dikeringkan.
"Betul ke ni? Nanti sakit perut pula ni."
YOU ARE READING
Cinta Dorayaki [PUBLISHED]
Romance"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" "Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya buku nota tu." "Wei...penting. Nyawa aku tu." Malangnya buku nota keramat kepunyaan Durrah terlepas ke tangan Zharif sekali gus membuka ruan...