Ketiadaan Zharif di pejabat benar-benar dirasai oleh Durrah. Setiap minit yang dilaluinya terasa sukar. Selalu saja dia termenung memandang ke bilik Zharif dengan harapan lampunya bernyala. Tapi hari demi hari, dia menunggu bagai pungguk rindukan bulan. Kononnya setia ke hujung nyawa.
"Hari-hari I tengok you termenung. Kenapa ni? Kumpulan you kan dah jadi nombor satu. Apa you kisah lagi?" tegur Ginny sewaktu mereka keluar makan tengah hari bersama.
"Hati I tak gembiralah, Ginny. Jadi nombor satu tak bermakna kalau orang lain dengki dan nak tengok kita jatuh tersembam."
"Itulah... orang kat pejabat kita ni pelik. Kalau iri hati, lawanlah dengan cara elok. Bersaing secara sihat. Bukan minta kita jatuh bergolek-golek."
Bertuah betul Durrah rasakan kerana dapat seorang sahabat seperti Ginny. Meskipun berbeza agama dan budaya, mereka sependapat dalam banyak perkara.
"Seminggu Encik Zharif tak ada, hura-hara ofis Pak Abraham kerjakan. I pun dah tak tahan dah ni. Rasa macam nak berhenti."
"Janganlah, Ginny. Sekejap aje. Minggu depan Encik Zharif baliklah tu," pujuk Durrah. Dia tak mahu kehilangan rakan sebaik Ginny.
"Eh... mana you tahu minggu depan dia balik?" Ginny merasa curiga. Malah semenjak peristiwa kaki Durrah terseliuh hari itu, dia tak bosan-bosan bertanya macam-macam kepada Durrah mengenai kejadian itu.
"Er... I terdengar dia cakap dengan Pak Abraham." Durrah segera memberi helah.
"Ya ke ni? Tak percayalah!" Ginny tersenyum. "I rasa, Encik Zharif tu sukakan you. You pun suka dia, kan?" Senyuman bertukar menjadi ketawa.
Wajah Durrah dah mula memerah.
"Kan betul I cakap. Muka you dah macam udang." Makin galak Ginny mengusik.
"Jangan merepeklah, Ginny. You memang suka kenakan I. Jangan sampai orang lain dengar. Nanti ada yang cemburu tak tentu hala. Bukan you tak tahu... ramai yang minat pada Encik Zharif."
Durrah tak mahu kedudukan kumpulannya tergugat gara-gara perkara ini. Kalaulah hal dia dengan Zharif tersebar, tentu mereka akan tuduh Datuk Singah pilih kasih pada dia dan kumpulannya. Padahal mereka telah bekerja keras siang dan malam bagi menghasilkan papan cerita yang berkualiti dan menepati standard yang dikehendaki oleh Datuk Singah.
"Eh... yalah. Kalau orang lain tahu you dengan Encik Zharif ada apa-apa, pasti mereka dendam. Baik you hati-hati." Ginny memberikan amaran berbentuk nasihat.
Menjelang hari Jumaat, Durrah memang rasa seperti tak bernyawa kerana diserang penyakit rindu yang teramat. Parah betul keadaannya. Dia benar-benar dah jatuh cinta. Seminggu tak melihat wajah Zharif, bagaikan setahun lamanya. Parah memang parah.
Semasa membentangkan modul di hadapan Datuk Singah tadi pun, dia cuba melawan perasaan sayu yang menjenguk diri. Selalunya Zharif ada di situ, bersama-sama jadi pengkritik hasil kerja kumpulannya. Tapi minggu itu, hanya ada Datuk Singah dan Mr. Abraham.
Selesai persembahan modul, Durrah dan ahli kumpulannya kembali ke tempat masing-masing dan bersiap sedia untuk pulang. Hari masih awal. Lagipun persembahan mula lebih awal, pukul 4.30 petang tadi. Datuk Singah nampak macam nak cepat. Komen pun tak banyak.
Dengan mudah, modul mereka diluluskan. Kini giliran kumpulan Dr. Maria pula. Durrah dan lain-lain malas nak tunggu dan tengok. Dah tentu modul mereka lulus juga.
Sedang Durrah enak termenung, dia terdengar orang menjerit. Segera dia bangun dan mencari punca kejadian yang mengejutkan itu.
"Saya pernah bentangkan kertas kerja di Amerika sebelum ni. Bagaimana awak boleh kata bahasa Inggeris saya teruk?" bentak Fei Fei.
YOU ARE READING
Cinta Dorayaki [PUBLISHED]
Romance"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" "Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya buku nota tu." "Wei...penting. Nyawa aku tu." Malangnya buku nota keramat kepunyaan Durrah terlepas ke tangan Zharif sekali gus membuka ruan...