Seperti ada rerama yang sedang berterbangan di dalam perut Durrah tatkala jarum jam menginjak ke pukul 2.30 petang. Dah puas dia memujuk rayu Azri supaya menggantikannya.
"Aku mana tau tugas kau. Nanti aku cakap yang bukan-bukan. Lagi bala!" Azri menjauhkan dirinya dari Durrah.
"Kau nak duduk dalam kumpulan aku ke tak?" Durrah dah mula mengugut.
"Memanglah nak. Tapi akukan penterjemah. Mana tau nak buat storyboard macam korang." Azri berhelah. "Yang kau tiba-tiba takut pergi mesyuarat ni kenapa?"
Ha'ah ek, kenapa?' Durrah berfikir seketika. Takkanlah dia takut pada Devil in Disguise tu? Apa barang nak takut dengan dia? Bukannya lelaki itu boleh cam wajah Durrah lagi sebab hari tu kan muka dia dah macam pau terlebih kukus? Bukannya cun melecun macam hari ni. Durrah mula tekan butang lif naik sendiri.
"Okeylah." Dengan berat hati, Durrah mengatur langkah menuju ke bilik mesyuarat. Tika dia tiba, semua ketua kumpulan dah ada kecuali Devil in Disguise. Dia mengambil tempat di sebelah Kokila.
"Selamat petang semua!"
Tubuh Durrah terasa kaku tatkala mendengar suara itu dari arah belakangnya. Ketua-ketua kumpulan lain ada yang bangun sebagai tanda hormat. Hanya dia dan Dr. Maria saja yang berat punggung.
Lelaki itu mengambil tempat di kepala meja yang berbentuk oval. Mujurlah Durrah duduk agak jauh. Dapatlah dia menyembunyikan wajah buat seketika.
"Boleh perkenalkan diri masing-masing?"
Permintaan lelaki itu membuatkan darah Durrah semakin gemuruh. Bala semakin menghampirinya. Entah mengapa, dia rasa cuak. Padahal dia tak melakukan apa-apa kesalahan kecuali bersembunyi di bawah meja pagi tadi dan tak sengaja terlanggar lelaki itu sewaktu di klinik minggu lepas.
"Mulakan dengan you." Lelaki itu menunjukkan jari telunjuknya kepada seorang lelaki berumur berbangsa Cina yang duduk di sebelah kirinya.
"Saya Vincent. Ketua kumpulan Fizik." Vincent memperkenalkan dirinya. Lelaki bertubuh kurus dan sederhana tinggi itu melemparkan senyuman mesra.
Kemudian, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an pula bersuara. "Jack aaa Chemistry...Kami harap encik aa...boleh pimpin kami aaa...buat kerja yang betul. Itu Mr. Akshay aa...tak faham budaya kerja kerja kita...aa...sebab dia orang asing...."
Kembang telinga Durrah mendengar Jack Hijacker bercakap. Entah apa-apa tah. Nak mengipas saja kerjanya. Kerja sendiri pun tunggang-langgang.
"Okey... you?" Devil in Disguise nampak macam kurang berkenan dengan cara Jack bercakap.
Durrah tersenyum. Sekurang-kurangnya Si Hijacker tu tak boleh nak kipas lelaki ini. Agaknyalah.
"Saya Fei Fei, maths dan add maths. Moga encik berikan tunjuk ajar." Plastik sungguh senyuman Fei Fei.
Ginny dah mula julingkan mata.
"You?" Lelaki itu mengangkat kepala ke arah Kokila.
"Kokila Dewi, biologi." Tergagap-gagap Kokila bercakap.
Durrah pun rasa yang sama juga sebab gilirannya selepas Kokila.
"Dan you?" Dahi lelaki itu nampak berkerut sedikit tatkala memandang Durrah yang dah gelabah.
Moga-moga dia tak cam aku semasa di klinik dan tak cam warna tudung aku pagi tadi, doa Durrah sepenuh hati. "Err... Durrah, BM."
"Oh... you Durrah?" Kening lelaki itu terangkat seketika.

ANDA SEDANG MEMBACA
Cinta Dorayaki [PUBLISHED]
Romance"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" "Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya buku nota tu." "Wei...penting. Nyawa aku tu." Malangnya buku nota keramat kepunyaan Durrah terlepas ke tangan Zharif sekali gus membuka ruan...