"Ingat Durrah, kalau you tak perform, berambus!" kata Mr. Abraham sebaik saja ternampak kelibat Durrah yang baru duduk di tempatnya. Tanpa sempat Durrah membalas, dia terus berlalu pergi.
Sakit hati Durrah. Pagi-pagi lagi Mr. Abraham dah mencabar kesabarannya. Wajahnya yang manis terus berubah masam mencuka. Seperti biasa dia menyimpan beg di dalam laci sebelum menghidupkan komputer.
"Terlebih makan jeruk ke? Macam mana kerja nak siap kalau asyik merajuk."
Berdesing telinga Durrah. Dia mengetap gigi dan berpaling memandang Zharif yang baru saja melintasi tempat duduknya. Rasa ringan saja tangannya hendak mencapai bakul sampah dan melemparkannya ke tubuh lelaki itu.
"Hoi... pandang macam nak telan. Kenapa?" Akid yang baru tiba menegur Durrah. Dia turut sama memandang ke arah Zharif yang sedang berbincang sesuatu dengan ketua kumpulan Biologi.
"Mulut dia tu tak pandai nak berbahasa. Tau nak menyakitkan hati orang aje," kata Durrah penuh rasa geram.
"Chill lah... Adoi!" Belum sempat hendak mengelak, pembaris panjang besi dah hinggap pada badan Akid.
"Sekali lagi kau suruh aku chill..." Durrah menuding pembaris ke muka Akid.
"Huh... garang betul kau ni. Nanti tak ada sesiapa yang nak, padan muka." Selepas berkata-kata, Akid pantas melarikan diri ke tempatnya.
"Mulut tak ada insurans!" marah Durrah lalu duduk kembali di tempat duduknya.
Dari jauh, rupa-rupanya Zharif sedang memerhati dengan penuh minat. Dia tersenyum tatkala menyaksikan adegan lawak antara Durrah dengan Akid tadi.
Berdebar-debar dada seluruh ahli kumpulan Durrah tatkala mereka mempersembahkan modul yang dah siap kepada Datuk Singah.
Dah berbaris-baris doa Durrah lafazkan. Dia tak mahu kumpulannya kecundang buat kali ke-5. Dia tahu Datuk Singah punya kesabaran terhad. Kalau moodnya tak baik petang itu, memang selamatlah mereka sekumpulan ditendang 'kuluar', memetik kata-kata Mr. Abraham yang bagaikan tak sabar-sabar nak mencampakkan ahli kumpulan seterusnya ke jalanan.
"Hmm... seterusnya."
Giliran Lela pula. Diba dah boleh menarik nafas lega sebab seksa dah lepas. Durrah masih bernafas sikit-sikit. Masih tak mampu lagi hendak menarik nafas lega. Sesekali pandangan matanya jatuh kepada Zharif yang duduk di belakang Datuk Singah.
Setiap kali pandangan mereka bertemu, Zharif sering kali tersenyum. Bukan senyuman suka ataupun senyuman mesra. Tapi senyuman nakal. Boleh tahan miang juga dia ni ya, fikir Durrah geram.
Selepas lima minit Lela mempersembahkan modulnya....
"Hmm... seterusnya." Datuk Singah memanggil.
"Lagi?" Selang lima minit selepas Fazlah membentangkan modulnya, dia memanggil lagi.
Alfian dengan yakin mempersembahkan modulnya pula. Sambil itu dia memandang ke arah Datuk Singah yang sedang mengurut dagunya yang licin.
Lima minit berlalu.
"Ada lagi?" tanya Datuk Singah.
"Ada. Ni 'kepala' dia pula yang akan present." Zharif menyampuk tiba-tiba.
Durrah dah mengetap bibir. Mulut Zharif memang nak dicili. Selepas membaca macam-macam doa sekali lagi, dia menekan tetikus memulakan persembahan. Dia langsung tak mempedulikan Zharif yang sedang memandang tepat ke wajahnya. Sengaja nak buat dia rasa gelabahlah tu. Tak berkesan. Dia lebih takut jika modulnya gagal daripada takut hatinya terpikat.
"Eh... nanti. Berhenti kat situ. Idea siapa ni?" Datuk Singah memandang Durrah.
Durrah yang sempat mengelamun, terpinga sebentar. "Err... idea saya dan dibantu oleh Akid Al Cap... Akid Affandi." Sekali lagi hampir saja lidahnya tak tergeliat. Ketika itu, dia perasan Zharif dah merenungnya dengan kerutan di dahi. Air muka yang sama ketika dia tersebut Hobbit Hitam di hadapannya dulu.
"Idea ni bagus. Ini yang saya mahukan. Bila you persembahkan satu idea, mesti terus berikan contoh. Saya suka slaid yang ni. Seterusnya."
Durrah menekan tetikus bagi meneruskan persembahan slaid. Apabila slaidnya habis dipersembahkan, dia memandang Datuk Singah; menunggu keputusannya. Suasana ketika itu dirasakan terlalu sunyi. Agak-agaknya kesemua ahli kumpulannya dah berhenti bernafas. Tika itu dia dah tak nampak Zharif lagi. Hanya Datuk Singah menjadi tumpuannya.
"Kerja yang bagus!"
Ahli kumpulan Durrah dah berpelukan gembira. Durrah tersandar lega pada kerusinya.
"Ini pertama kali Datuk cakap macam ni. Minggu lepas ada kumpulan dapat sampah." Tiba-tiba Mr. Abraham bersuara. Kipaslah tu.
Durrah memaksa senyuman plastik. Hanya itu yang mampu ditunjukkan di hadapan Mr. Abraham yang nyata mahu mengampu dirinya.
"Minggu depan, I nak tengok lima lagi presentation yang ada kualiti macam ni," arah Datuk Singah.
"Err... Datuk... kami tak cukup GD." Durrah memberanikan diri bersuara.
"GD you ada berapa orang?"
"Dua. SE ada lima. Yang ni pun kami terpaksa bekerja keras siang dan malam nak menyiapkannya."
Datuk Singah menoleh ke arah Zharif. "You selesaikan perkara ni. Tambah seorang lagi GD dalam kumpulan mereka."
Seorang? Durrah hampir melaung memprotes. Tapi Zharif lekas-lekas memberikan renungan amaran kepadanya.
Durrah hanya mengangguk, berpura-pura ceria.
Selepas tamat persembahan untuk hari itu, ahli kumpulan Durrah sudah bersorak gembira.
"Eh... kau orang. Jangan gembira sangat. Minggu depan kena kayuh lagi laju sebab dia harapkan yang lebih bagus dari hari ini." Durrah mengingatkan.
"Chill la... aaaa" Akid lari lintang pukang apabila dikejar oleh Durrah. Tapi tiba di hadapan lif, kena juga.
Sekuat hati Durrah menghayunkan buku notanya ke tubuh Akid. "Bagi aku sebiji peti aislah kalau nak aku chill!"
Teman-teman yang lain dah ketawa gelihati.
"Adoi." Wajah Akid berkerut-kerut sambil mengusap bahunya yang terasa sengal kerana terkena buku nota Durrah yang berkulit tebal itu.
"Sekali lagi kau suruh aku chill, siap kau!" ugut Durrah sambil melangkah masuk ke dalam lif yang terbuka.
Sebaik saja mereka tiba di pejabat, terdengar tepukan dan ucapan tahniah.
"Wah... Durrah. Tahniah! Kau berjaya jadi kumpulan pertama yang lulus saringan Datuk!" Vincent masih bertepuk tangan.
"Durrah, bagaimana you lakukannya?" Fei Fei tersenyum sampai ke telinga dengan gelagat ceria yang terlebih dos.
"Hah... err... kalau you nak ubah kumpulan you, you sendiri kena ubah diri you dulu. Baru you dapat lakukan perubahan yang you mahukan." Durrah pun tak faham apa yang cuba dia sampaikan. Hanya itu yang dapat difikirkannya.
"Oh... terima kasih kerana berkongsi." Fei Fei masih tersenyum lebar.
Senyuman di bibir Durrah nampak kekok. "Okey... I nak balik. Dah lewat ni." Segera dia melarikan diri ke tempat duduknya.
"Durrah, nak ikut kami tak? Kami nak raikan kejayaan kat kedai mamak hujung tanjung tu." Ceria betul wajah Lela.
Durrah rasa inilah pertama kali dia melihat seri di wajah gadis tinggi lampai itu semenjak dia kerja di situ.
"Hmm... tak apalah. Aku nak balik. Dah janji nak lepak dengan kawan." Durrah menyandang beg tangannya. "Berseronoklah puas-puas. Hari Isnin aku buli korang semua lagi. Muahaha..." Dia buat-buat gelak jahat.
Dua pintu lif terbuka serentak. Lekas-lekas Durrah melangkah masuk sebaik saja ternampak Zharif keluar dari pintu lif yang satu lagi. Butang tutup segera ditekan berkali-kali. Bimbang juga kalau-kalau Zharif ternampak dia. Dia bersandar lega pada pintu lif sebaik saja ia tertutup rapat dan menuju ke bawah.
'�u'@;�

YOU ARE READING
Cinta Dorayaki [PUBLISHED]
Romance"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" "Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya buku nota tu." "Wei...penting. Nyawa aku tu." Malangnya buku nota keramat kepunyaan Durrah terlepas ke tangan Zharif sekali gus membuka ruan...