Hari itu Durrah pulang awal daripada biasa. Dia perlu kuatkan hati. Dia perlu jarakkan diri daripada Zharif. Pendiriannya tak cukup kuat. Bila-bila masa saja imannya boleh digugat nafsu. Moga Allah melindungi dirinya daripada melakukan perkara maksiat.
Wajah Durrah bungkam sepanjang malam. Dia tak boleh menenangkan hatinya yang bergelora.
"Kau ni kenapa, Durrah? Dari petang tadi aku tengok kau macam ada masalah aje," tegur Timah sambil menghidangkan mangga muda yang dah dipotong kecil-kecil. Sambal kicap pun ada sekali.
"Orang tengah gila bayang. Jangan diganggu." Jenab menyertai mereka. Sambil menonton televisyen, mereka mengunyah mangga.
"Kau gila bayang dengan siapa, Durrah? Cerita menarik ni." Teruja Timah mahu tahu.
"Dengan bos baru dia yang handsome tulah," giat Jenab sungguh-sungguh.
"Biasa ajelah muka dia. Sebabkan kulit dia cerah aje dia nampak handsome. Cuba kulit dia gelap macam si Hobbit tu. Pasti 'huduh'!" tempelak Durrah.
"Alah, Durrah. Pura-pura tak suka pula. Kalau tak suka, mengapa kau angau macam ni? Macam orang kecewa putus cinta pun ada juga." Jenab tetap tak mahu mengalah.
"Aku takutlah." Durrah akhirnya membuat pengakuan.
"Takut apa?" soal Timah dengan serius.
"Takut dengan diri aku sendiri."
"Kenapa? Cuba jelaskan. Janganlah cerita separuh-separuh. Kau ni... buat aku tak sabar!" desak Jenab yang sememangnya dah tak sabar untuk mendengar cerita Durrah.
"Aku takut aku yang main perasaan sendiri. Dia tak ada apa-apa pun kat aku. Kot-kot aku yang terlebih sudu daripada kuah," akui Durrah. Dengan teman serumahnya itu, dia tak perlu sembunyikan apa-apa. Merekalah sahabat terbaik yang dia ada.
"Kau tanyalah dia. Zaman sekarang ni dah tak ada malunya perigi mencari timba. Siti Khadijah dulu pun meminang Nabi. Kenapa kita pula yang nak rasa malu memulakan langkah dulu," nasihat Timah. "Yang penting dia tu masih bujang dan belum berpunya. Kau dah siasat ke status dia?"
"Dia tu duda a.k.a bujang empat." Teringat Durrah akan pengakuan Zharif mengenai status dirinya.
"Vah... vah..." Jenab menggerak-gerakkan kepalanya ala-ala pelakon Hindustan pula. "Duda katanya! Dah ada anak ke?"
"Belum. Tapi bukan itu masalahnya."
"Jadi apa masalahnya sekarang? Dah pasti dia tak berpunya. Apa lagi...masuklah meminang sebelum orang lain kebas," kata Jenab.
"Hisy... ingat aku suka-suka aje boleh mengaku suka kat dia. Kalau dia tolak perasaan aku, macam mana? Mesti aku rasa tak best nak kerja kat situ. Udahlah sekarang ni kerja susah nak dapat."
"Eh wadon... kalau dia tak suka kat kau, kenapa dia sanggup datang pagi-pagi buta jemput kau pagi tadi? Dan kenapa dia sanggup susah payah hantar kau depan pintu malam tadi?"
"Wah... Kenapa aku tak tau cerita ni?" Timah tak puas hati kerana menjadi orang terakhir yang tahu kisah cinta Durrah yang berliku.
"Itulah kau. Tidur awal, bangunnya lambat!" Sempat Jenab menempelak Timah.
Durrah terdiam. Dia menekup wajahnya dengan kedua-dua tapak tangan. Beranikah dia bercinta dengan adik Datuk Singah? Bagai langit dan bumi saja darjat mereka.
"Hisy... tak bolehlah. Dia keturunan kucing Parsi. Aku keturunan kucing kampung. Keturunan kita orang tak sama." Durrah beralasan.
"Macam tu pula. Ni zaman modenlah. Mana ada orang pandang darjat lagi." Timah menolak dakwaan Durrah yang tak berasas itu.
YOU ARE READING
Cinta Dorayaki [PUBLISHED]
Romansa"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" "Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya buku nota tu." "Wei...penting. Nyawa aku tu." Malangnya buku nota keramat kepunyaan Durrah terlepas ke tangan Zharif sekali gus membuka ruan...