Setengah jam kemudian, Durrah tiba di pekan lama Sungai Besi. Setelah meletakkan keretanya di stesen LRT, dia melintas jalan menuju ke deretan gerai makan yang dah dipenuhi pengunjung. Dia tercari-cari kelibat Timah dan Jenab, rakan serumahnya.
"Sinilah, Durrah!" Jenab dah melambai tangan. "Kenapa lambat sangat? Kami dah habis makan." Dia menyedut jus oren.
"Biasalah... presentation depan Datuk, mana ada istilah sekejap. Eh... mana pelayan ni? Aku dah kebulur." Durrah tercari-cari kelibat pelayan gerai. "Alo, adik. Nak order." Dia melambai ke arah seorang budak lelaki yang baru selesai membersihkan meja.
"Nak order apa, kak?" Pelayan itu segera menghampiri.
"Nasi goreng paprik seafood satu. Limau suam satu. Korang tak mahu makan lagi ke?" Durrah memandang wajah teman serumahnya.
"Hmm... boleh gak. Kerang bakar satu," pesan Timah.
"Buruk lantak betul. Baru makan nasi goreng kampung sepinggan dengan tomyam, lapar lagi ek?" cemuh Jenab.
"Alah... kerang tu kecik aje. Sekadar buat taik gigi." Selamba Timah menjawab. Dia memandang ke arah Durrah yang sibuk menyelongkar beg tangannya. "Kau cari apa, Durrah? Cemas semacam aje."
"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" Pucat wajah Durrah tika itu.
"Buku nota keramat?" Hampir tersedak Jenab mendengarnya. "Penting sangat ke buku tu sampai kau cuak semacam?"
"Pentinglah. Segala rahsia ada dalam buku tu." Durrah memandang jam di tangannya. Dah hampir 10.00 malam. Masih awal lagi kalau dia hendak berpatah balik ke pejabat. "Eh... aku nak pergi ambil kejap. Korang boleh tolong tapaukan makanan aku tak?" Kelam-kabut Durrah bangun hingga terbalik kerusi dibuatnya.
"Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya buku nota tu," tegah Jenab.
"Wei... penting. Nyawa aku tu." Durrah dah berlari-lari anak berkejar ke keretanya.
"Kalut betul minah senget sorang ni." Timah menggeleng. "Entah apalah yang penting sangat buku nota buruk tu?"
Buku nota itu amat-amat penting. Terkandung pelbagai rahsia di dalamnya. Dengan cemas Durrah memandu ke arah KESAS sebelum membelok ke Lebuh Raya MEX untuk menuju ke Lebuh Raya Persekutuan. Dia tak boleh membenarkan sesiapa pun membuka buku nota itu kerana di dalamnya terkandung satu rahsia besar iaitu....
Buku nota keramat ini kepunyaan Durrah Dorayaki. Kenapa aku panggil diri aku dorayaki? Sebab, satu: Kuih dorayaki sangat comel macam aku...muahaha. Perasan tekan butang lif naik sendiri.
Dua: Kuih dorayaki amat sedap dan menjadi kesukaanku.
Tiga: Semenjak kebelakangan ni hidup aku dah macam tertekan sebab tanpa rela ditukarkan jabatan dan jawatan. Orang atas tekan suruh perform. Orang bawah tekan suruh berhenti menekan. Dahnya aku sorang-sorang terpenyek kat tengah macam kuih dorayaki daaa...
Teman Serumah:
Jenab Jawa... keturunan Jawa Bagan Datoh. Pandai masak dan perangai macam mak-mak. Suka membebel ke arah kebaikan. Kellassss you!
Timah Tenun... Fatma Hand Made Loom and Embrodery... nama butik dia kat One Utama New Wing. Client dia semua mak-mak Datin, Puan Sri, Toh Puan, tengku-tengku segala bagai. Lagi kellassss!
Kumpulan Marhaen:
Ginny Mulan...wah... heroin kegemaran aku. Ginny suka berlagak macam pahlawan sebab nak selamatkan orang lain yang kena buli dengan team Elite
Azri Soul Brother... si Azri yang sentiasa dalam dunia dia sendiri
Lela Manja... udah nama dia Lailatul Faezah... nak panggil apa lagi?
Diba Dibo Dibo Ding... siapa suruh panggil Diba? Dah macam nama Dibo the Gift Dragon. Siapa nak hadiah? Nyanyilah Dibo Dibo Dibo Ding... lalalala
Akid Al-Capone... mafia gengster yang baran tak ingat tapi pandai pujuk orang dengan coklat. Memang tak sesuai langsung!
Dr. Maria Kebayan... ni nenek kebayan yang sangat jahat sebab suka cakap bukan-bukan pada Datuk mengenai orang lain
Fei Chucky... sungguh senyuman dia amatlah plastik. Sekali tengok dah macam Chucky si patung jahat tu. Dua kali tengok pun serupa Chucky juga. Seram!
Vincent Maruku Chan... sebab dia suka makan maruku yang dibawa oleh Captain A dan Budak Tembikai dari India
Jack Hijacker... sebab dia suka hijack presentation orang lain dengan komen yang entah apa-apa
Kokila Fumakila... suka pasang ubat nyamuk Fumakila kat opis sebab dia kata ada banyak nyamuk bawah meja dia
Imas Jutawan... laki dia kaya raya you... huhuhu
Captain A a.k.a Mr. Akshay Kumar yang menjadi ketua pemberontak... hahaha
Budak Tembikai... sebab Sivaranan kata tembikai itu kata nama khas. Apalah yang dia tahu pasal bahasa Melayu? Urdu dia pandailah
Alfian Pedagogi... pakar pedagogi bahasa Melayu yang unggul tiada tandingan...hahahaha
Kumpulan Diktator:
Hobbit Hitam... Mr. Abraham yang paling dibenci. Dahlah pendek macam Hobbit. Hitam pula tu. Kaki ampu kipas hoverkraf kuasa lima!
Dan... the ultimate lanun of the century... team member jahat terbaru... siapa lagi kalau bukan Encik Zharif... eh Hobbit Hitam panggil dia Tuan Zharif... uweekkk. Devil in Disguise yang sesuai dipanggil Lanun!
Termengah-mengah Durrah berlari ke tempatnya. Dia menarik nafas lega apabila buku nota keramatnya masih terletak elok di atas meja. Tanpa membuang masa, buku nota hitam itu dimasukkan ke dalam beg tangan. Segera pula dia berlari-lari anak menuju ke arah lif. Sebaik saja pintu dibuka, dia terus melangkah masuk.
Belum pun sempat lif hendak tertutup, ia kembali terbuka. Durrah mengangkat kepala memandang penumpang lif yang baru melangkah masuk itu. Zharif? Serta-merta tekaknya menjadi kering. Lantas dia mematikan diri, bernafas dengan perlahan-lahan.
Tiba-tiba lif terhenti dengan mengejut. Segera Durrah mendongak memeriksa keadaan. Mulanya dia panik sebab fikir mereka dah terkurung di dalam lif. Tapi apabila melihat Zharif rupa-rupanya yang menekan butang berhenti, dia mula tertanya-tanya.
"Kenapa Encik Zharif hentikan lif ni?"
"Tak sangka... you ni bukan kreatif buat storyboard. Tapi kreatif juga berikan nama jolokan pada orang lain." Sinis saja bunyi suara Zharif.
Berikan nama jolokan pada orang lain? Durrah mengulang di dalam hati. Apakah maksudnya? Dia semakin tertanya-tanya. Adakah... Durrah terfikir sesuatu. Ah... tak mungkin! Dia segera menidakkan andaian yang terbit di kepala. Tapi tak mustahil. Dia memberanikan diri memandang Zharif.
"Berhenti berpura-pura, Cik Dorayaki. Rahsia you dalam tangan I."
Hampir luruh jantung Durrah mendengar nama jolokan yang baru disebut oleh Zharif. Kan dah kata! Dia mesti terbaca buku nota tu. Perlahan-lahan dia melorot turun ke atas lantai lif dan terduduk tak bermaya. Dia rasa sangat kecil seperti seekor ameba yang tak berdaya.
Zharif menghampiri Durrah dan duduk bertinggung di hadapan gadis itu. "Cik Dorayaki, kalau tak mahu rahsia you terbongkar, you kena ikut cakap I." Dia dah tersenyum jahat.
Benci betul Durrah melihat wajahnya yang persis lanun itu. Benci! Benci! Benci! Tiga kali benci. Dah macam tajuk novel Ayu Imelda pulak!

YOU ARE READING
Cinta Dorayaki [PUBLISHED]
Romance"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" "Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya buku nota tu." "Wei...penting. Nyawa aku tu." Malangnya buku nota keramat kepunyaan Durrah terlepas ke tangan Zharif sekali gus membuka ruan...