Surya

382 17 5
                                    

"Hahaha..."

Riuh gelak tawa pelanggan di Warung Zali Pendek. Ada yang senak menekan perut. Ada yang mengetuk-ngetuk meja. Dan bermacam-macam ragam yang dipamerkan. Begitu seronok. Pelbagai cerita yang diceritakan. Isu-isu semasa, isu-isu berbangkit malah pernah menjadi tempat perdebatan penduduk kampung, selain menonton perlawanan bola.

"Hehe... Haa... Pak Zali, kira..." Haron mula mengatur langkah untuk pulang.

"Alahh... Lepak dulu Haron. Zohor pun jauh lagi." Sulaiman masih kemaruk melepak di warung.

"Tak apalah Leman. Bini aku memasak tu. Kenalah makan. Nanti merajuk pula..."

Pak Zali datang mengira. Dengan hanya mencongak... "RM 4.50... Sekali dengan nasi lemak dua."

Selepas menghulurkan ongkos, Haron menghidupkan motornya. Motor C70 pemberian arwah ayahnya itulah yang dibawa ke hulu ke hilir, dan untuk ke dusun.

*

"Pelik Haron ni lepas berbini..." Sulaiman seakan aneh melihat rakannya.

"Dah kenapa peliknya? Macam gitulah dia. Bila Zohor balik. Cuma hari ni ajelah awal sikit." Sufiyan tidak menduga apa-apa.

"Kau perasan tak, tubuh dia macam dah lain? Macam makin cengkung, kurus." Dia sahutan daripada Sufiyan. Hanya hirupan teh o panasnya saja kedengaran.

"Kalau kau tengok dia tu macam tak bahagia je... Oii, kau dengar tak?!" Sulaiman menyiku Sufiyan yang duk membelek telefon bimbitnya. Membaca Facebook.

"Ya... Ya.. Aku dengar. Haa... Tapi kan, aku tak pernah tengok bini dia lepas hari nikah tu..."

*

"Sayang? Abang dah balik ni... Sayang?"

Tiada sahutan. Keadaan rumah begitu sunyi. Seakan tiada manusia yang tinggal di dalamnya. Langkah Haron perlahan menuju ke dapur. Isterinya dipanggil lagi. Kelihatan di atas meja hidangan yang baru siap dimasak. Masih berasap.

"Abang..."

Sedikit terlompat Haron apabila namanya dipanggil lembut dari belakang. Mengucap Haron melihat isterinya berbedak sejuk.

"Abang. Mari makan. Surya tahu, abang dah makan di warung tadi..." Senyuman sinis cukup menyeramkan.

Haron hanya duduk di meja makan. Mencedok nasi yang dihidangkan. Tangannya sedikit menggigil. Surya memegang tangan suaminya, mengambil senduk. Menolong suaminya.

"Abang makan sayur ni, ya. Penat Surya petik di kebun di belakang. Hehe..." Hilaian Surya menggedik. Tapi suara nyaringnya seakan bergema di ruang makan itu.

***

"Awak... Awak... Tolong saya! Ada yang kejar saya...!!" Gadis itu merayu-rayu minta ditolong. Wajah pucatnya, mata sembamnya, dan sedikit lebam serta luka-luka bagai dihiris pisau halus meliputi tubuhnya. Seakan diseksa. Gadis itu terus memeluk Haron. Gila barangkali. Ucap lubuk hatinya.

Mata Haron mengintai-intai di belakang. Tiada manusia mengejar. Tiada juga susuk tubuh manusia. Aneh. Disuluh juga di semak tepi-tepi jalan. Masih tiada gerakan mencurigakan. Langkahnya untuk ke masjid menunaikan solat Maghrib terhenti akibat gadis ini.

"Sis... Sis... Siapa pulak kejar awak ni?"

Masih diam. Matanya melilau seperti begitu takut. Nasib baik tiada manusia yang lalu lalang di situ. Kalau tidak, mahu dibawanya ke pejabat tok kadi malam itu juga.

"Awak... Mari. Saya bawa ke rumah ibu saya..."

*

"Ya Allah... Anak dara mana pulak kau culik ni Haron?"

"Astaghfirullah, ibu... Kalau Haron culik, tidaknya dibawa balik ke rumah. Dia sesat mungkin. Gayanya macam trauma."

"Iyalah... Meh meh. Bawa dia ke atas. Kau pergilah masjid. Dah azan ni."

Usai solat Isyak, bergegas Haron pulang ke rumah. Tidak diendahnya Sulaiman memanggilnya dari belakang. Ajak mengumpatlah tu. Tapi, hal gadis tadi membuatkannya mahu tahu. Untuk tahu apa yang sedang menghantui gadis itu.

"Assalamualaikum, ibu..." Kakinya melangkah laju menaiki tangga. Melihat ibunya meletakkan jari dibibir, bermakna ibunya suruh diam.

"Pelik budak ni. Tadi masa ibu solat, dia meracau-racau. Dia sebut apa entah. Ibu tak faham."

"Meracau? Kenapa pula ibu...?"

"Kalau ibu tahu, tak adalah ibu gelabah macam ni... Tu dia tidur tu, baru aje diam."

Pagi itu, keadaan sunyi sepi. Haron hanya duduk di pangkin di bawah pokok mangga tidak berbuah melepaskan kepulan-kepulan Dunhillnya. Merenung jauh seakan begitu besar masalahnya.

"Awak..." Suara gadis menyinggah gegendang telinganya. "Terima kasih tau..." Senyuman gadis itu cukup menawan. Tidak seumpama semalam. Seolah baru disampuk setan.

"Ahh... Ye... Sama-sama. Nama..."

"Surya..."

Bermula tika itu, mereka menjadi mesra. Walaupun sebagai orang luar, Surya masih dilayan seumpama ahli keluarga Haron. Cuma batasnya masih perlu dijaga. Kerana iyalah. Kehidupan sebagai melayu di dalam kampung tipikal melayu, walaupun si gadis duduk sedepa, dan cuma tersenyum pun sudah dijaja cerita hingga ke kampung seberang, bercerita yang bukan-bukan.

Namun, pada suatu malam. Tiada kubur yang berasap. Tetapi hati ibu Haron yang berasap. Begitu hebat cerita yang dijaja, dan ibu Haron juga dihasut dengan manusia lidah beracun. Haron difitnah berkhalwat dengan Surya sedangkan Haron baru pulang dari masjid. Tanpa memanjang cerita, mereka terpaksa berkahwin.

***

"Perempun ni psiko!" Haron sedikit menjerit. Batang pisang didusun arwah bapanya ditumbuk deras. Tiada yang patah.

"Haron... Oii..." Sulaiman muncul entah dari mana. Umpama hantu. Nyaris dilibas Haron dengan parang. Tapi nasib baik pantas dielak.

"Leman. Aku nak cerai dengan perempuan tu!"

"Eh... Kenapa pula?!" Sulaiman aneh. "Tapi aku nampak kau pun macam tak bahagia."

"Perempuan tu bukan manusia! Dia syaitan!"

"Kau jangan main-main Haron. Sungguh ke?"

"Kau gila ke nak kata aku main-main? Kalau bagi laki makan ulat sampah, daun entah apa-apa, ulat, bangkai, tu bukan syaitan ke?!"

"Weh, kau biar betul?!"

Bergegas Sulaiman diheret menaiki motor dan dipecut laju. Sampai di rumah, Surya tiada. Terus Sulaiman dibawa ke dapur. Periuk nasi dibuka.

"Kau tengok! Ni beras ke ulat?!"

"Weh... Kau... Oiii..." Sulaiman ke singki. Muntah semahunya.

"Abang... Dah balik...?"

Haron cuba melarikan diri. Surya muncul dihadapannya. Persis hantu.

"Nak pergi mana, bang...? Surya belum masak lagi ni... Hehehe..." Mata Surya membuntang. Memandang Sulaiman yang masih lemah selepas muntah. "Ini lauk kita malam ni... Hehehehehe..."

"Syaitan!!!"

"Abang...... Hehehehehe....."

CERPENWhere stories live. Discover now