Happy birthday Yaya!"
Jeritan suara Dalia dan rakan-rakan lain memeranjatkan Surya yang baru saja membuka pintu rumahnya. Di hadapan matanya kini kelihatan wajah-wajah rakan sekelasnya dan juga Papa dan Mamanya. Kerana terlalu gembira, reaksi Surya hanyalah mampu menahan air matanya daripada mengalir.
Dalia menghampiri Surya sambil membawa dulang berisi kek yang disaluti coklat cair serta beberapa biji buah strawberi yang menjadi kegemarannya setiap kali sambutan hari lahirnya.
"Okay, tiup."
Surya memejamkan mata beberapa ketika dan meniupnya sebaik membuka mata. Serantak itu riuh suasana ruang tamu rumah dengan jeritan kegembiraan penghuninya dan bunyi konfeti yang diletupkan. Dalia membawa Surya ke tengah kawasan ruang tamu yang mana terletaknya meja besar dan juadah yang terhidang. Mereka bersama-sama bergambar dan menjamu selera. Masakan Puan Sofea memang menyelerakan. Jadi tidak dinafikanlah skil memasaknya yang cukup bagus sehingga dia mampu membuka syarikat katering untuk penduduk sekitar kawasan perumahannya. Dan mereka menggemarinya.
"Alhamdulillah. Anak Mama dah 18 tahun. Anak mama dah besar."
Kata-kata Puan Sofea itu membuatkan Surya seakan berat untuk menerima. Fikirnya, apakah dia akan mula berjauhan dengan mama dan papanya kelak? Tidak. Dia tidak mahu berjauhan dengan mereka berdua. Kerana mereka berdua sajalah keluarga untuknya.
"Yaya dah besar pun, tapi Yaya nak duduk dekat mama aje. Tak nak jauh dari mama."
Puan Sofea hanya membalas dengan senyuman. Pelukan erat diberikan seiring dengan ciuman di dahi serta pipi anaknya. Senyuman Surya yang terpamer begity bermakna baginya.
*
"Betul ke awak still nak teruskan hajat ayah awak tu?" Suara Puan Sofea mula memecah lamunan Mustafa.
Mustafa menoleh ke kiri dan kanan melihat kalau-kalau Surya ada berhampiran mereka. Ternyata Surya berada jauh di ruang tamu, masih khusyuk melayan rakan-rakannya. Mustafa menganggukkan kepala perlahan. "Ini hasrat ayah saya. Dan dia mahukan juga saya bagi benda ni pada Surya. Malah, masa dia sudah hampir nazak pun masih mengingatkan saya perihal ni. Jadi, saya terpaksa. Ini amanah..."
"Terserah pada abanglah. Saya mula tak sedap hati." Puan Sofea terus meninggalkan pangkin di luar rumah dan menyertai Surya.
Bagi Mustafa, ianya masih bingung. Bahkan dia tidak tahu, kenapa ayahnya mati-matian mahu dia memberi barang pusakanya itu kepada Surya.
"Berikan aja. Kau pasti akan lebih bahagia... Hehe..."
Mustaga bangkit. Dia bagaikan punya semangat baru. Menuju ke biliknya selepas melepasi kumpulan remaja yang sedang berbual kosong di ruang tamu. Seketika kemudian, dia muncul dengan satu kotak kecil.
"Surya... kemari kejap. Ayah nak bagi something."
Surya hanya menurut perintah bapanya.
"Apa dia Papa?"
"Nah. Ini hadiah dari Papa."
"Apa ni? Bukan Papa dah bagi ke tadi?"
"Ini hadiah kedua. Tapi papa bagi kemudian sebab ianya istimewa sedikit." Mustafa menyeringai sedikit. Manakala Surya hanya membelek kotak itu dan membukanya perlahan.
"Cincin? Wah cantiknya. Permatanya warna hijau. Tapi macam cincin lelaki."
"Ini barang antik. Papa jumpa di pasar karat sana. Papa rasa cantik, jadi papa mahu berikan pada Surya. Surya suka?"
Surya hanya pamer senyuman manis. "Mhm. Suka... terima kasih, Papa." Pelukan manja diberikan.
*
"Bye papa, mama. Drive kereta elok-elok."
Surya melambai ke arah kedua ibu bapanya yang sudah mula meninggalkannya dari perkarangan kolej kediaman. Senyuman mesra Surya mula kendur melihat ibu bapanya sudah meninggalkannya lagi di situ.
Di dalam kereta, Mustafa hanya berdiam diri. Begitu juga Puan Sofea hanyalah memandang permandangan hijau di kiri jalan. Dia sendiri tidak tahu mahu bualkan apa.
"Saya dah bagi."
"Oh..." Dingin. Sedingin hawa yang dihembus pendingin hawa kereta.
Mustafa memandang Puan Sofea sekali sekala. Namun, Puan Sofea masih membuang pandangannya ke luar. " Saya terpaksa awak. Saya sendiri pun tak tahu apa yang saya fikirkan."
"Awak tahukan cincin itu bukan sebarangan cincin?"
"Saya tahu..."
"Habis? Kenapa awak masih bagi padanya? Bagaimana kalau apa-apa jadi pada Surya. Apa kita mahu buat? Sudahlah dia saja satu-satunya anak kita. Haih. Kalaulah saya takde masalah..."
"Sudah, jangan diungkit kisah itu. Awak sendiri akan sakit nanti."
Puan Sofea terpaksa membuang fibroid selepas menghadapi ketumbuhan pada organ tersebut selepas setahun melahirkan Surya. Akibatnya rahimnya tidak boleh berfungsi secara asal semula dan tidak boleh mengandung lagi. Sudah pasti keselamatan dan kebahagiaan Surya adalah keutamaannya. Ibu mana yang tidak bimbang akan anaknya.
"Sudah... kita doakan ya.... ya Allah!!"
"Abang!!!"
*
"Takziah, Surya. Kami harap kau bertabah ye."
Suara Adila yang muncul dari belakang. Mata Surya tidak berkaca pun. Tapi wajahnya nampak kelam dan tidak ceria seperti sebelumnya. Salwa hanya memandang Adila yang semakin menghampiri Surya sebelum memeluknya.
"Kau tenang ye. Kami ada dengan kau." Suara Adila mulai sebak. Tidak lama kemudian Salwa menyertai Adila. Ketiga-tiga mereka mula dibanjiri tangisan.
*
"Surya..."
"Kau siapa?!"
"Kau tak perlu tahu sekarang aku siapa. Kita akan berkenalan sebentar lagi. Hehe."
Pandangan dihadapan matanya kini memutih. Bagaikan satu gedung yang besar tanpa penghujungnya. Sekadar ruangan putih yang sejauh mata memandang. Surya berdiri kaku di situ. Matanya memandang kiri dan kanan, penuh kebingungan.
"Aku di mana!?" Sunyi. Tiada sahutan. Suara tadi juga hilang.
Satu desiran angin meniup dari arah belakang. Helaian rambut Surya juga mulai beralun mengikut arah angin. Ketika itu juga, retina matanya mula menangkap satu figura. Figura yang merangkak menghampirinya. Sekali imbas kelihatan umpama seekor harimau, sambil menyeringai mempamer taringnya.
"Kau siapa?!"
"Haha. Sudah lama aku tunggu saat ini, Surya. Sudah lama."
"Bagaimana kau kenal aku?! Kau siapa?!"
"Gelojoh kau ni. Kau akan kenali aku sebentar nanti, Surya. Haha!" Makhluk itu hilang dari pandangan. Suara gelak tawanya sahaja yang bergema disaentero ruang.
Surya tiba-tiba rebah terlentang. Matanya terbeliak hingga hilang mata hitamnya. Mulutnya ternganga luas. Tangannya mengenggam erat hingga terhasil sedikit darah. Tubuhnya terangkat sedikit ke atas. Satu jisim halus menembusi dada Surya.
"Argh!!!"
"Ya Allah, Surya?! Kau okay tak?!" Adila mendapatkan Surya yang tiba-tiba menjerit. Dahinya basah oleh keringat. Matanya membengkak dan menghasilkan lebam. Bibirnya pucat. "Salwa. Jom bawak Surya pergi klinik. Demam teruk ni."
"Ha.. ya. Kejap. Aku pakai tudung."
"Surya... sabar ya. Kita pergi klinik."
"Hehee... bagus Surya. Bagus. Hehe"
****
YOU ARE READING
CERPEN
RandomKoleksi cerita-cerita pendek yang tercetus dari benak otak kiri kanan depan belakang atas bawah.