Aku sekadar bersandar pada tingkap. Lokasi aku kini di kerusi paling belakang di dalam sebuah bas antara-bandar menuju jauh keluar dari kota raya ini. Aku perlu keluar selepas kejadian yang menimpa diri aku dan sekeliling aku. Mataku hanya merenung jauh ke arah sekumpulan manusia yang duduk di bangku ruang menunggu itu. Mereka ada yang ketawa terbahak-bahak. Ada juga yang hanya leka dengan gajet di tangan dan telinga mereka disumbat dengan earphone bluetooth. Alangkah bahagianya jika aku ada teman yang ramai.
Aku adalah manusia yang hidup sebatang kara. Selepas ibu bapa aku pergi meninggalkan aku di sebuah taska ketika aku berusia 2 tahun, aku hanya sendirian. Hal ini pun aku ketahui beberapa minggu lalu, apabila perempuan yang aku sudah anggap seperti ibu kandung aku itu memberitahu hal sebenar selepas aku menjumpai sekeping surat mengenai aku yang ditinggalkan dengan niat. Tetapi, aku masih tidak teringin untuk menjejak semual kasih sayang ibu bapa kandung aku. Tidak pula sekelumit aku merindui mereka. Cukuplah kasih sayang Mama Zawiyah yang dia berikan sehingga aku kini sudah 22 tahun.
Ah, bercerita perihal sendiri pula. Tapi aku mahu keluar daripada kota raya ini kerana aku berhasrat untuk kembali ke pangkuan Mama Zawiyah. Dia kata dia rindukan aku. Kebetulan juga, selepas kejadian yang berlaku ke atas aku kelmarin, membuatkan aku ingin keluar terus dari kawasan ini.
Bagaikan satu perkara gila, apabila aku berkawan dengan manusia yang sebegitu aneh. Malah, aku sendiri sudah anggap dirinya bagai abang aku sendiri. Tidak sangka juga dialah urban legend yang cukup terkenal dengan kebolehannya untuk mencabut nyawa orang dengan melukis potret. Ianya satu yang gila. Perkara ini telah membuatkan Pasar Seni yang terkenal dengan pelukis-pelukis potret jalanan, terpaksa menghentikan aktiviti mereka kerana rakyat takutkan hal ini. Malah, ada juga netizen yang membunuh beberapa pelukis-pelukis yang malang ini, akibat terlalu paranoid.
Tetapi, selepas melihat sendiri hasil lukisan-lukisan Tobi pada malam kelmarin, membuatkan aku tahu perbezaan pembunuh potret ini dengan pelukis-pelukis jalanan yang lain. Dia tidak akan menandatangani atau menulis nama mereka di atas lukisan mereka. Sebaliknya mereka akan membuat sesuatu tanda aneh. Sepeti Tobi, dia akan membuat tiga garisan horizontal dengan pen yang pendek yang berlain saiz ketebalannya di bawah tarikh lukisan itu disiapkan. Jadi ianya akan membezakan pelukis yang normal dan urban legend ini.
Tanpa aku sedar, bas sudah meninggalkan platfom. Aku membelek telefon bimbitku untuk membuka aplikasi muzik. Aku tidak mahu kebosanan di dalam bas ini. Melihat diluar tingkap, salji masih lagi menebal di bahu jalan.
*
Dua jam perjalanan, aku tiba kini di Terminal Bersatu Bandar Temerloh. Sudah berbeza aku lihatnya sejak diubahsuai beberapa tahun lalu. Bandar ini juga sudah cukup berbeza. Semakin maju dan mulai banyak bangunan-bangunan tinggi. Sehinggakan aku sedikit kehairanan, bagaimana pekerja bangunan ini bekerja di bawah salji tebal sebegini. Bahkan, anginnya jugak agak kuat.Aku duduk dibangku dahulu, setelah memberitahu kepada Mama Zawiyah mengenai ketibaan aku di sini. Jadi, aku perlu menunggu 15 minit untuk dia sampai mengambil aku. Boleh saja aku menggunakan perkhidmatan tram yang disediakan di sini, tapi, aku teringin untuk bermanja dengan Mama Zawiyah. Malas mahu menunggu.
"Hai... Sini, ada orang?"
Tegur seorang gadis kepadaku. Aku sekadar membuat isyarat tangan bermakna tiada orang. Terus dia merebahkan punggungnya di atas bangku kayu itu. Sesekali mendengar dia menghela nafas lega.
"Nak pergi mana?" Dia mula bertegur sapa.
"Ah... Nak balik rumah..."
"Oh... Rumah awak kat area sini ke? Atau dekat mana-mana?"
"Saya dari KL. Nak balik rumah kat sini. Tepat lagi, Taman Temerloh Maju."
"Wah, kebetulannya, sama taman. Tapi kenapa tak naik tram ye?"
Aih... Perempuan ni, banyak tanya pula. Dia pun, kenapa tak naik tram? Nasib baik lawa. "Ah... saja, tunggu mak saya ambil. Awak? Kenapa tak naik tram?" Ah... Aku pula yang banyak tanya.
"Oh... Mama saya datang ambil juga. Dia kata dia memang nak kebandar, jumpa seseorang. So, kebetulan begitu, alang-alang biar sekali harung aje."
"Oh..."
Perbualan mati di situ saja, selepas aku melihat dia beransur menuju ke sebuah mesin vending. Aku, sekadar menyumbat earphone ke dalam telinga, menikmati lagu-lagu lama tahun 2010's. Lagu-lagu masa ini masih lagi ada nyawanya tersendiri meskipun sekadar berkisar dengan nafsu seks dan cinta semata. Tetapi mendengar suara penyanyi lagenda seperti Selena Gomez, Justin Bieber dan Coldplay, membuat dirinya lebih selesa berbanding lagu sekarang.
"Nah..." Secawan kopi dihulur di hadapan muka.
"Eh... Susah-susah aje. Saya bayar semula..."
"Tak payah. Saya belanja."
Setelah beberapa minit, kelihatan Mama Zawiyah muncul entah dari mana. Pada wajahnya tergambar kegembiraannya melihat gayanya melambai-lambai sambil menjerit-jerit nama aku.
"Haaa... Elok. Mira pun ada dekat sini. Senang kerja mama, tak payah tunggu-tunggu. Jum Asyraf, Mira. Kita balik."
Eh... Perempuan ini anak mama ke? Kenapa aku tidak tahu langsung?
Sepanjang perjalanan pulang itu, hanya suara Mama Zawiyah saja yang kedengaran memecah sunyi. Manakala aku dan gadis bernama Mira ini sekadar diam membisu sambil masing-masing menghadap gajet di tangan. Bukan tidak mahu melayan saja, tetapi perasaan janggal itu menular ke dalam diri hingga menjadikan suasana perjalanan ini hambar.
*
"Awak pun melukis potret?""Yup. Kenapa? Cara awak bertanya macam awak pun melukis potret aje."
"Eh, tidaklah begitu. Saya ni bukan berseni sangat pun. Kalau lukis orang lidi, bolehlah. Mahu guna yang digital pun tak reti."
Melihat Mira tersenyum membuatkan aku sedikit gembira. Seperti timbul sedikit suka kepadanya. Seperti tidak sangka Mira ini adalah Mira anak Mama Zawiyah yang dahulunya gemuk dan bulat. Tidak langsung kelihatan seperti manusia ketika itu berbanding seekor panda. Bezanya tidak punyai ekor, tidak ada lebam hitam di mata dan memakai baju. Beza umurnya dengan aku cumalah 5 tahun. Tetapi selepas aku meninggalkan Temerloh atas sebab masuk ke sekolah swasta yang menyebabkan aku menyambung pelajaran terus di universiti ternama negara, tidak memberi peluang langsung untuk aku pulang dan bertemu Mama Zawiyah. Jadi, aku tidak melihat perubahan Mira yang akhirnya menjadi seperti gadis secantik ini. Dengan rambutnya yang diikat sanggul dan kulitnya yang sawo matang, dengan wajah seakan-akan anak cina. Mungkin kerana baka Mama Zawiyah yang berasal daripada pasangan Cina Muslim.
Aku hanya melihat Mira melukis satu potret. Potret seorang lelaki yang kelihatannya seperti seusia 30-an. Dengan kumis sedikit tebal dan memakai cermin mata berbingkai tebal. Aku tidak mahu mengganggu Mira mengenai gambar itu. Wajahnya juga serius mengukir grafit di atas kertas itu.
Mataku tertangkap sesuatu apabila lukisan itu sudah siap. Aku melihat Mira tidak menandatangani lukisannya. Sebaliknya sekadar menulis tarikh dan tiga garis berbeza saiz ketebalan di bawahnya. Hal ini membeliakkan mata aku sebelum aku berdiri dengan secara mengejut, menyebabkan Mira sendiri terkejut.
"Jangan, kata awak juga..."
"Awak nampak ke?" Wajahnya cuak. "Dont tell this to anyone. Please. Even Mama. Please. Im begging you. Please!"
"No... Mustahil. Tobi!"
YOU ARE READING
CERPEN
RandomKoleksi cerita-cerita pendek yang tercetus dari benak otak kiri kanan depan belakang atas bawah.