30 tahun lalu
Hujan turun mencurah ke muka bumi selepas beberapa hari tidak turun. Dedaunan di dahan mula segar menerima titisan hujan bagi memudahkan proses pertumbuhan. Kanak-kanak juga bergembira bermain di lopak-lopak air di atas jalan yang lengang sebelum dimarahi oleh ibu bapa masing-masing. Bau hujan. Cukup menyenangkan aku. Aku. Masih bersandar pada tembok batu di bawah bangunan parkir. Badan aku sengal-sengal. Bibir yang terluka sudahpun kering darahnya. Lebam di bawah mata juga masih berbisa. Tangan aku, masih berbekas kesan darah pekat kering. Bukan darah aku. Tapi darah manusia bangsat yang mengkhianati aku. Jangan risau. Aku tak bunuh orang. Cukuplah aku mempertahankan aku dan melukakan si bangsat itu dengan senjatanya sendiri. Sebelum dia berambus.
“Dasar manusia bangsat!” Itu kata-kata terakhir sebelum aku menerbangkan penumbuk pertama aku di perutnya. Dan bermula juga adegan ganas di hadapan khalayak ramai. Seperti biasa. Manusia hanya lalu lalang sahaja sambil tangan memegang telefon bimbit dan merakam. Dan beredar selepas salah seorang dari kami melarikan diri. Anehnya tiada seorang pun yang menelefon polis atau badan bandaraya. Jadi tidaklah aku begitu terancam dengan hukuman yang mungkin aku kena jika tertangkap.
Bukanlah khianat sangat pun. Cukuplah dia menghina pekerjaan aku sekarang, dan menjahanamkan segala lukisan aku dan barang aku di bawah pondok ini. Sambil-sambil itu dia menghina juga keluarga angkat aku yang meninggal dunia yang kononnya aku menjadi punca. Selepas memberi tumbukan dan sepakan, dia masih mampu berlari walaupun dalam keadaan terhuyung-hayang.
“Haih, Brian… Brian.” Aku mengeluh berat. Melihat sekeliling. Manusia yang ada masih berbisik-bisik.
Seorang makcik pencuci menolong mengangkat easel kayu aku yang masih elok dan letakkannya di sebelah aku, selepas bertanyakan keadaan aku. Kemudian, dia beransur selepas menghulurkan setin air dan ubat sapu.
“Ni, jangan lupa pergi klinik.”
Aku hanya mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Anak mataku melihat makcik itu beredar dengan senyumannya. Sudah banyak aku berbual dengan makcik ni setiap kali aku melukis di sini, tapi aku masih tak tahu namanya. Makcik itu meredah hujan yang mula renyai-renyai menyeberang ke tempat kerjanya di bangunan pasaraya di situ.
*
Pintu rumah aku dibuka perlahan. Beg alatan lukisan diletakkan saja di tepi pintu. Tubuh aku direbahkan di atas sofa. Bisa menumbuk dan ditumbuk Brian tadi mula berkurang. Mata aku memandang ke siling kosong, fikiran aku berlayar memikirkan cara terbaik untuk aku terus bangkit dan menghapuskan mulut-mulut kotor yang terus menghina aku.“Hoi. Hei… pandang sini…”
Satu suara muncul entah dari mana.
“Siapa?!” Suara aku sedikit menjerit. Aku masih dalam keadaan baring. Tubuh aku seluruhnya bagaikan dikunci. Statik di atas tilam. Dan suara itu bagai sedang ketawa kecil.
“Kau tak perlu tahu siapa aku. Tapi kau akan berterima kasih dengan aku selepas ini, jika aku menolong kau…”
“Tolong aku?! Tolong apa pula?!”
“Aku tahu kau banyak masalah, jadi aku mahu tolong kau hapuskan segala masalah yang ada di hadapan kau. Dengan bakat kau, yang pastinya… hehehe…”
“Tapi kau siapa?!”
“Ah… Tak perlu tahu siapa aku. Tapi dengan kelebihan kau ini, kau juga akan terus kekal usia ini dan hidup selama-lamanya. HAHA!”
YOU ARE READING
CERPEN
RandomKoleksi cerita-cerita pendek yang tercetus dari benak otak kiri kanan depan belakang atas bawah.