***
"Wah, cantiknya lukisan awak..."
Seorang gadis muncul di hadapan aku. Wajahnya cukup manis dengan senyuman membuatkan aku sedikit leka memandangnya dan lukisan aku menjadi sedikit comot. Rambutnya yang panjang hingga ke atas bahu dibiar bebas. Wangian badannya sedang-sedang sahaja tidak terlalu wangi.
"Awak... hei."
"Oh... maaf." Muka aku kemerahan barangkali. Panas terasa naik di pipi.
"Lukisan-lukisan awak ni cantiklah. Saya perhati dari minggu lepas lagi. Saya lalu belakang awak, depan awak beberapa kali. Tapi awak khusyuk aje melukis. Selalu tengok awak dengan budak-budak, kucing. Then, tiba-tiba hari ni ada courage nak tegur awak. Awak belajar dekat mana melukis ni?"
Banyak cakap perempuan ni aku rasa. "Oh... awak perhatikan saya? Hehe." Damn. Awkward. "Saya belajar sendiri je..."
"Wah, belajar sendiri. Hebatnya." Dia kelihatan teruja dengan wajahnya yang tersenyum lebar sambil kedua tangannya bertepuk perlahan. "Hah. Memandangkan saya tak tahu nak buat apa petang ni, saya temankan awak. Okay?"
"Eh. Tak bosan ke? Saya tak banyak berbual kalau melukis." Ah sudah...
"Tak apa. Saya suka tengok awak melukis. Hah, saya pergi belikan air."
Terus saja dia berlalu menuju ke mesin vending air yang terletak tidak jauh dari kedudukan aku. Mata aku memandangnya yang sedang memilih air. Aku sedikit tersenyum. Bukan selalu ada yang menemani aku melukis. Biasanya kanak-kanak yang teman sebelum mereka diheret ibu bapa masing-masing kerana takut aku apa-apakan anak mereka. Kadang-kala kucing atau anjing yang temani aku. Kucing tidak apa lagi. Anjing, sedikit takut memandangkan aku pernah ada sejarah hitam dengan anjing.
Ketika mata aku masih memandang ke arahnya, tubuhnya berpaling ke arah aku. Sambil tangannya memegang dua botol air mineral sejuk. Di wajahnya masih lagi melekat senyuman manisnya. Cepat-cepat juga aku mengalih pandangan memandang semula ke arah kertas lukisan aku.
"Nah. Air mineral aje. Boleh kan?" Aku mengangguk, dan dia meletakkan botol di tepi aku. Dia merebahkan punggung disebelah.
Aku menyambung semula melukis. Dan aku akui aku hendak berbual. Tapi, aku seperti kekeringan idea untuk memulakan topik. Jadi aku memilih berdiam sahaja. Aku senang ada yang meneman. Tapi untuk berbual, biasanya suasana akan jadi janggal.
"Ha... saya lupa nak perkenalkan nama. Nama saya Anna. Nama awak?" Anna namanya.
"Saya, Billy."
"Oh. Billy. Awak memang selalu melukis dekat sini ke? Sebab saya baru aje pindah sini dua minggu lepas. Lepas tu nampak awak minggu lepas."
"Hm... selalu juga. Tapi, ada juga saya melukis tepi tasik sana." Tanpa memandang ke arahnya, aku masih melukis. Segan hendak memandangnya tiap kali berbual. Itulah aku. Tidak akan membuat eye-contact secara tetap, setiap kali berbual.
*
Hari ini hujan lagi. Nampak gayanya hujan ini mungkin sampai ke malam. Dengan suhu mula menurun sejak dua menjak ini, aku sudah mula untuk menyediakan persiapan yang sepatutnya menghadapi musim sejuk. Dan, mungkin aku tidak dapat melukis di taman lagi untuk masa terdekat ini. Maknanya aku tidak akan bertemu Anna. Tapi tidak mengapalah. Siapalah aku hendak dia bertemu selalu.
Satu mesej sampai di telefon bimbit.
"Billy, boleh tak saya datang rumah awak?"
Mesej dari Anna. Sedikit terkedu. Jemari aku juga sedikit kaku. Tidak tahu mahu respon apa. Tidak pernah sesiapa yang akan datang ke rumah aku. Jika perlu, aku akan gigihkan diri untuk keluar. Meskipun aku tidak suka terlalu banyak interaksi dengan manusia, aku lebih tidak suka jika orang datang ke rumah aku.
"Kenapa pula?" Aku bertanya.
"Please. I need to talk to you. Urgent."
Ah... silap pula memberitahu Anna kedudukan rumah aku di mana. "Okay. Datanglah." Aku mengeluh berat. Telefon bimbit aku letakkan di atas meja semula. Aku merebahkan punggung aku di atas kerusi empuk. Menunggu Anna yang mahu datang.
Tidak sampai setengah jam, kedengaran pintu diketuk separa kuat. Mendengar sayu-sayu saja suara Anna di balik pintu kayu itu. Nada suaranya bagaikan sedikit depresi.
"Maaf, sebab susahkan awak pula. Sudahlah hari hujan. Saya pula datang secara mengejut begini." Katanya sambil matanya memandang tepat ke lantai. Tidak langsung mendongak memandang ke arah aku.
"Eh. Tak apa. Awak duduklah dulu."
Terlalu berat untuk aku menyatakan perasaan aku yang aku tidak selesa bila ada yang datang ke rumah. Tapi melihat Anna yang keadaan sedemikian, aku pendamkan saja. Aku meninggalkan Anna yang sedikit basah dan seperti kesejukan sendirian, mendapatkan tuala dan segelas air suam untuk dia memanaskan tubuh.
"Billy. Awak kena tolong saya." Anna memandang tepat ke iris mata aku. Wajahnya benar-benar serius. Sedikit kerut di dahinya seperti betul-betul mengharap agar aku dapat membantunya.
"Awak kena tolong saya. Awak ikut saya balik rumah saya. Ada something saya nak tunjuk." Anna berubah air mukanya memandang aku. Selepas beberapa minit dia mendiamkan dirinya, kali ini dia bersuara.
"Bila? Sekarang?"
"Ya... sekarang."
Anna betul-betul serius kali ini. Dia membawa aku ke rumahnya. Tidak pernah aku menjejaki ke rumahnya. Malah, buat pertama kalinya aku menjejakkan kaki di dalam kawasan rumah milik orang, melainkan kawasan taman dan tasik, ataupun kedai-keai serbaguna yang berdekatan.. Mujur ianya rumah Anna, kerana aku sudah mula selesa dengannya. Tapi, masih lagi punya rasa janggal.
Anna menunjuk ke sebuah bilik. Tapi tidak pula dia menyatakan sesuatu. Malah, dia hanya mendiamkan diri sejak kami berdua menjejakkan kaki ke rumah ini. Aku juga berasa pelik. Wajahnya juga hanya tertunduk suram. Seram juga aku rasa tiap kali dia memandang aku dengan pandangan yang tajam.
"Buka." Pintanya. Dan aku hanya menurutinya.
Agak memeranjatkan aku apabila retina mataku menangkap satu tubuh yang terbaring di atas katil. Dari jauh kelihatan seperti seorang wanita dengan tangannya didepakan dan kaki yang agak terkangkang. 'Siapa ni?' Hati aku mahu bertanya, tetapi tidak terluah. Seiring itu, aku melangkah ke ruangan bilik itu tanpa mempedulikan Anna yang masih di luar. Mendekati wanita itu. Wajahnya kelihatan serabai. Seperti sudah lama tidak menguruskan diri. Hendak kata mati, aku nampak dadanya bergerak turun naik. Kedengaran juga nafas beratnya. Aku menoleh mencari Anna.
"Anna?" Kosong. Anna tidak kelihatan di muka pintu. Aku kembali melihat wanita yang terbaring itu. Suasana suram di dalam bilik membuatkan sedikit perasaan seram mula timbul. Aku merapatkan wajah aku dengan kepala wanita itu. Mulutnya bergerak-gerak sedikit seperti cuba bercakap dengan aku, tetapi tidak jelas kedengaran sepatah pun. Matanya terbuntang ke siling, sebelum memandang ke arah pintu.
"La... ri..."
"Hah?!"
"Hehehe..." suara Anna kedengaran di muka pintu.
Kali ini dia kelihatan tidak seperti Anna yang aku kenali. Serabai, dan menyeramkan. Wajahnya tertunduk ke bawah. Tetapi aku nampak senyumannya yang lebar dan matanya yang tepat memandang ke arah aku. Tapi aku kaku. Tak mampu untuk bergerak.Otak aku bagaikan terhenti. Segala refleksi juga tidak bertindak balas. Apakah aku sudah lumpuh? Tidak. Aku masih mampu berdiri.
"Hehehe. Billy. Selamat datang... hehehe..." Tangannya memegang sebilah pisau pemotong daging. Langkahnya juga perlahan merapati aku sambil tangannya mengacu-acukan pisau itu ke depan.
Haih. Sebab hendak mengelakkan berkawan dengan psikolah aku rela bersendirian dan tiada kawan. Keluh hati aku.
***
YOU ARE READING
CERPEN
RandomKoleksi cerita-cerita pendek yang tercetus dari benak otak kiri kanan depan belakang atas bawah.