Qaseh menyarungkan tubuhnya dengan telekung, bersiap sedia mahu menunaikan solat Isyak. Rizqy pula baru berpeluang memasuki bilik setelah seharian melayan tetamu hari ini. Saudara-saudara Qaseh pula sibuk menemu ramah dia dari tadi. Macam-macam soalan Rizqy terpaksa jawab. Macam mana boleh kenal Qaseh lah, kenapa pilih Qaseh lah. Sampai dah tak terlarat Rizqy nak jawab. Akhirnya dia meminta diri untuk naik ke bilik dek kerana penat di badan yang semakin terasa.
"Awak, pergi la ambil wudhuk. Kita boleh solat sama-sama. Saya tunggu," ajak Qaseh masih mampu tersenyum walaupun sudah seharian dia tersenyum meraikan hari bahagia dirinya bersama Rizqy. Hari ini majlis kenduri di sebelah Rizqy. Mujur lah tiada persandingan, kalau tak mungkin mereka akan lebih penat dari sekarang. Qaseh yang menolak untuk bersanding. Katanya tak suka menjadi tatapan umum.
"Awak solat dulu lah ya. Saya sakit perut." Tergagap-gagap Rizqy bertutur sambil memegang perut bersama mimik muka yang keruh menahan sakit.
"Okey..." balas Qaseh sepatah. Sejadah dibentang lantas Qaseh khusyuk menunaikan solat menyembah Yang Maha Esa. Walaupun penat kian terasa, tanggungjawab yang satu itu tetap dilunaskan. Kerana Allah Yang Maha Pengasih, Qaseh punya umur yang panjang dan kesihatan yang baik untuk sama-sama mendirikan masjid bersama Rizqy. Dan kerana Allah Yang Maha Menentukan, Qaseh bertemu dengan Rizqy dalam pertemuan yang langsung tidak diduga. Sebuah pertemuan yang singkat dan berakhir dengan hubungan yang halal. Hubungan yang Qaseh belum tahu setakat mana keteguhannya, namun Qaseh akan cuba bertahan dengan izin Allah.
"Fuh..." Rizqy menarik nafas lega. Tuala dicapai lantas kaki diatur melangkah ke bilik air. Tubuhnya yang melekit dengan peluh sangat merimaskan Rizqy. Pili air dipusing. Tenang air yang mengalir dari pili air tersebut. Berlawanan dengan hati Rizqy yang sedang berkecamuk. Tanpa menunggu lama, air sudah memenuhi tab mandi.
Rizqy merebahkan tubuh dalam tab mandi. Segar tubuhnya bila air membasahi tubuh. Fikiran Rizqy kusut. Bukan dia tidak mahu mengimamkan isterinya solat tetapi Rizqy belum bersedia. Solat pun baru ditunaikan penuh lima waktu tiga minggu yang lalu. Baca Al-Quran pun masih merangkak-rangkak. Bagaimana dia mampu menjadi imam untuk Qaseh? Mujur lah Ustaz Taufiq sudi mengambil dirinya sebagai anak murid dan mengajar Rizqy mengaji kembali. Setidak-tidaknya dia sudah mampu membaca beberapa surah pendek. Tapi untuk menjadi imam, dia belum cukup yakin dengan diri sendiri.
Rizqy menarik nafas. Kepalanya diselamkan seketika. Kadangkala cara itu mampu menenangkan hati Rizqy yang sedang gusar.
"Janji dengan kakak ya? Qaseh akan tolong Riz..." suara kakak Rizqy tiba-tiba bergema di ruang mandi.
Mata Rizqy langsung terbuka.Terlupa kepalanya diselamkan, Rizqy cepat-cepat bangun. Tercungap-cungap dia mencuri nafas. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, selalu saja dia mendengar bisikan suara arwah kakaknya.
Selesai membersihkan diri, Rizqy mengambil wudhuk. Tuala yang tersangkut di tempat penyangkut Rizqy tarik perlahan. Tubuhnya dikeringkan. Kata-kata kakaknya masih berlegar di ruang fikiran. 'Mungkin aku perlu berterus terang dengan Qaseh,' detik hati Rizqy.
Pintu bilik air dikuak dari dalam. Kedengaran suara isterinya sedang mengalunkan ayat suci Al-
Quran. Merdu! Buat seketika hati Rizqy merasa tenang. Namun rasa tenang itu bertukar sebak. Rasa rendah diri mula memenuhi ruang hati Rizqy. Isterinya mampu mengalunkan kalam Allah dengan baik sekali tapi dia?
Kain pelekat dan baju pagoda yang sudah tersedia di atas katil Rizqy sarungkan ke tubuh. Qaseh menyudahkan bacaan. Al-Quran dicium lalu diletakkan di atas rak yang tersedia. Qaseh beralih tempat, memberi ruang untuk Rizqy menunaikan solat.
Usai melipat telekung Qaseh duduk di birai katil. Ralit dia memerhatikan Rizqy solat. Qaseh tersenyum. Pada pandangan Qaseh, suaminya itu langsung tiada cacat cela. Hormat orang tua, sayangkan dia, baik, penyayang. Namun jauh di sudut hati Qased, dia dapat merasakan Rizqy ada menyimpan sesuatu dari pengetahuannya. Tapi, apa yang Rizqy sembunyikan?
YOU ARE READING
Encik Gula
RomancePertemuan demi pertemuan tanpa sengaja telah menemukan MUHAMMAD AMMAR RIZQY dan QASEH QASHDINA. Bagi RIZQY, pasti ada maksud di sebalik setiap pertemuan. Mustahil dia dipertemukan dengan QASEH tanpa sebarang hikmah. Di sisi lain, QASEH tak habis-hab...